HALAMAN SANTAI

Khamis, 15 Jun 2017

Anwar fail 'permohonan penzahiran' terhadap Najib, Shafee

Hafiz Yatim
 

Peguam kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan permohonan penzahiran atau 'discovery application' terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Permohonan itu dibuat supaya mereka mendedahkan penyata kewangan berhubung dakwaan bayaran yang diterima Shafee sebanyak RM9.5 juta daripada akuan perdana menteri.

Latheefa Koya memberitahu Malaysiakini bahawa dokumen itu telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur susulan permohonan Anwar yang difailkannya terhadap kerajaan minggu lalu.

"Dalam permohonan ini, kami telah meminta Najib dan Shafee mengemukakan penyata dalam tempoh tertentu (semasa bayaran dibuat)," katanya.

Minggu lalu, Anwar telah memfailkan permohonan untuk mengetepikan sabitan kes liwat keduanya berikutan bayaran RM9.5 juta yang dibuat oleh Najib kepada Shafee melalui dua kali pembayaran.

Dalam permohonan itu, Anwar meminta Najib mendedahkan penyata akaun bank yang dimilikinya antara Ogos 2013 dan Oktober 2013 dan Januari 2014 hingga Mac 2014

Ia terutamanya berhubung pembayaran yang dibuat kepada Shafee pada 11 September 2013 sebanyak RM4.3 juta dan 17 Februari 2014 sebanyak RM5.2 juta.

Beliau juga memohon penyata kewangan daripada Shafee dalam tempoh yang sama berhubung pembayaran yang diterima.

Kedua-duanya diminta memberikan maklumat dalam tempoh 14 hari daripada tarikh perintah mahkamah.

Tiada ulasan: