HALAMAN SANTAI

Khamis, 15 Jun 2017

Asri sokong Qatar, berdoa diselamatkan

 
Dasar memencilkan Qatar oleh Arab Saudi dan sekutunya dikecam mufti Perlis.


asri-qatar


PETALING JAYA: Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin secara terbuka menyatakan sokongannya kepada Qatar di sebalik usaha Arab Saudi dan beberapa jiran Arab untuk memencilkan negara Teluk itu atas alasan melawan keganasan.

“Semoga Allah menyelamatkan Qatar dari rancangan jahat pihak yang ingin memusnahkannya,” tulis Asri dalam coretan ringkas Facebook.

“Qatar sebuah negara kecil, rakyatnya lebih sedikit daripada rakyat Perlis sahaja. Namun jiwa mereka besar, maka kadar keberaniannya pun besar,” katanya.

Arab Saudi dan beberapa sekutunya seperti Mesir, Bahrain dan UAE menuduh Qatar menyokong organisasi yang disifatkannya sebagai “pengganas”, serta bersimpati dengan kumpulan Ikhwanul Muslimin dan Iran.

Mereka turut menamakan beberapa kumpulan dan individu, termasuk tokoh ulama Yusuf al-Qaradawi, sebagai pendokong keganasan, dan menyekat badan penyiaran dinaungi Doha, Al Jazeera, daripada beroperasi di negara masing-masing.

Arab Saudi dan sekutunya juga memutuskan hubungan udara dan darat yang menjadi laluan penting untuk mendapatkan bekalan harian, memaksa Qatar mendapatkan bekalan makanan daripada Turki dan Iran.

Langkah memencilkan Qatar menerima sokongan pentadbiran Presiden Donald Trump, yang baru-baru ini menyertai Arab Saudi dan beberapa negara Islam termasuk Malaysia dalam persidangan mengenai keganasan.

Asri berkata dasar Qatar terhadap nasib umat Islam perlu dipuji dan menyelar musuhnya.

“Pendirian Qatar dalam banyak isu umat Islam boleh dipuji khususnya dalam isu rakyat Palestin.
Channel Al-Jazeera sekali pun ada kekurangan, sekurang-kurangnya dapat mengimbangi pembohongan media anti-Islam.

“Ya Allah! Selamatkan umat ini daripada ditipu oleh musuh-musuh mereka,” kata Asri.

Tiada ulasan: