HALAMAN SANTAI

Isnin, 19 Jun 2017

Azmin desak penyangak dinamakan DoJ diseret ke mahkamah

KEADILAN DAILY

 

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggesa anggota-anggota Parlimen daripada Pakatan Harapan dan BN untuk memenuhi sumpah tugas mereka dengan bersama-sama mendesak agar penyangak-penyangak yang dinamakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dalam pemfailan mereka diseret ke mahkamah.

Menurutnya, tanggungjawab tersebut perlu dipenuhi dalam memikul amanah yang diberikan rakyat.

“Saya menyeru semua penggubal undang-undang tidak kira apa jua kecenderungan politik, kesekutuan atau parti mereka agar menegaskan pendirian secara bersama dengan dipandu sumpah jawatan sebagai anggota Parlimen supaya menuntut agar kleptokrat ini tanpa mengira siapa atau di mana mereka berada, diseret ke muka pengadilan.

“Tanggungjawab kita adalah memenuhi amanah rakyat dan bukan mengkhianatinya. Tanggungjawab kita adalah berkhidmat kepada negara dan memelihara kekayaan negara, dan bukan membenarkan ia dijarah atau menutup mata begitu sahaja apabila ada pihak berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kenyataan sama, Azmin turut membidas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang memandang remeh pemfailan tersebut.

Menurut Azmin, kenyataan Khalid yang menganggap pemfailan tersebut sebagai proses sivil semata-mata seolah-olah satu cubaan untuk melindungi individu dan pemimpin yang rasuah daripada siasatan dan dakwaan.

“Dalam hal ini, ketua polis negara sangatlah mengarut apabila mencadangkan hal ini sebagai proses sivil semata-mata.

“Umu mengetahui rampasan harta dalam kes ini adalah sebahagian daripada siasatan jenayah pencabulan undang-undang Amerika Syarikat.

“Aset yang cuba dirampas DoJ disyaki diperolehi daripada aktiviti jenayah berkaitan konspirasi antarabangsa untuk membersihkan wang yang dicuri daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya.

Dalam pemfailan mahkamah DoJ di Amerika Syarikat Jumaat lalu, agensi tersebut mendakwa sebahagian daripada USD620 juta yang dikatakan dipulangkan oleh pegawai tertinggi Malaysia yang dikenali sebagai MO1 kepada “penderma” digunakan untuk membeli rantai dan loket permata merah jambu 22 karat buat isteri MO1 yang bernilai USD27.3 juta.

DoJ juga mendedahkan hartawan Jho Low membeli 27 bentuk rantai emas 18 karat dan gelang kepada isteri MO1 yang keseluruhannya bernilai USD1.3 juta.

Tahun lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan mengenal pasti MO1 sebagai Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun Abdul Rahman menegaskan nama Najib tidak disebut dalam dokumen DoJ dan ia menunjukkan perdana menteri tidak tertakluk kepada siasatan AS.

Najib setakat ini menafikan beliau menyalahgunakan dana awam, manakala Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan perdana menteri tidak terbabit dalam sebarang salah laku.
Najib dan Apandi mendakwa dana bernilai USD681 juta itu adalah derma daripada seorang bangsawan Arab Saudi.


Saman DoJ: Satu agenda politik keji terhadap Najib, Kerajaan, pemimpin UMNO ‘serang’ balik

KUALA LUMPUR, Jun 19 :Pemimpin utama kerajaan dan UMNO membidas saman sivil Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) yang disifatkan mempunyai satu agenda politik keji terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak  dan kerajaan pimpinanya.
 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan merupakan pihak dalam saman sivil Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ), kata Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Dalam kenyataan , beliau yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri  menjelaskan bahawa aset yang didakwa diperoleh secara tidak betul dan mohon di rampas DoJ itu sebenarnya dibeli oleh entititi yang tidak dimiliki atau dikawal secara sah oleh 1MDB.
“Ternyata, siasatan DoJ berpunca daripada aduan yang dibuat individu tertentu. Saya mengesyaki aduan ini sebenarnya dibuat rakyat Malaysia sendiri yang mempunyai agenda politik keji terhadap Perdana Menteri dan kerajaan,” katanya.
Rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui siapakah pengadu ini dan oleh itu, DoJ patut dedahkan identiti mereka dengan segera,” katanya.
 Walaupun DoJ berhak…..
Abdul Rahman, berkata walaupun DoJ berhak untuk memfailkan saman sivil, tetapi saman itu perlulah berdasarkan fakta yang boleh dibuktikan dan tidak mengandungi kenyataan bersifat retorik serta tidak berasas.
Beliau berkata:”Lebih penting lagi, tuduhan DoJ iu perlulah dibuktikan di mahkamah sebelum ia boleh diterima sebagai fakta.”
“Sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia telah melakukan penyiasatannya sendiri. Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara yang berpengaruh dan bersifat dwipemihak khususnya, yang dianggotai pemimpin kanan daripada pihak kerajaan dan pembangkang, tidak menemukan sebarang bukti bahawa wang berkenaan diseleweng daripada 1MDB,” katanya.
 Pengumuman terbaharu Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak tertumpu kepada perkara utama iaitu mengenai jenayah yang didakwa dilakukan di bumi Amerika Syarikat.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata sebahagian besar kenyataan DoJ pada 20 Julai dan Khamis lepas menyebut tentang apa yang berlaku secara dalaman di Malaysia, dan sebahagian lebih besar tidak mempunyai kaitan dengan subjek sama ada jenayah telah dilakukan di bumi Amerika Syarikat seperti didakwa.
“Isu utama di sini bukan Amerika Syarikat atau DoJ tetapi mereka memetik daripada aduan yang mereka terima.
Jadi isu di sini ialah siapakah pihak-pihak yang membuat aduan itu kepada Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat?,” Salleh mempersoalkan dalam blog beliau https://sskeruak.blogspot.my.
 Campurtangan Amerika Syarikat
 Beliau mengambil contoh mengenai campurtangan Amerika Syarikat dalam politik Malaysia semasa tahun 1998 hingga 2003, Salleh berkata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sangat marah dengan Amerika Syarikat kerana apa yang dikatakan campurtangan kuasa besar itu dalam politik Malaysia.
Salleh menarik perhatian bahawa Mahathir begitu kecewa sehingga menggelar Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai agen Amerika — dan pada 2003 Anwar menyaman New Straits Times kerana melaporkan perkara itu.
“Mahathir merungut bahawa apabila Anwar melawat Amerika syarikat, beliau diberi sambutan dengan tembakan 21 das walaupun beliau hanya Timbalan perdana Menteri sedangkan sebagai Perdana Menteri, beliau tidak diberi sambutan permaidani merah yang sama.
“Amerika Syarikat kemudian menggelar Anwar sebagai “Prisoner of Conscience” (tahanan politik) dan ini menimbulkan lagi kemarahan Mahathir,” kata beliau.
Salleh menyebut bahawa, bagi Mahathir, politik Malaysia adalah urusan dalaman Malaysia dan pihak luar tidak harus campurtangan dalam hal ehwal dalaman Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa sebenarnya, itu telah menjadi amalan antarabangsa untuk sekian lama.
“Negara-negara, sudah tentu, boleh mengulas mengenai hal ehwal dalaman negara lain jika ia melibatkan seperti hak asasi manusia, kebebasan sivil, buruh kanak-kanak, seks kanak-kanak, pembunuhan beramai-ramai dan sebagainya.
“Selain daripada itu, anda perlu menghormati kedaulatan negara lain,” kata beliau.
 Sementara itu Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menuntut Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat supaya mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan terbaru mereka berkait isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Katanya tanpa mengemukakan bukti yang kukuh, sebarang dakwaan atau kenyataan terhadap individu tertentu hanya akan menjejaskan reputasi dan kredibiliti DoJ.
“Jangan buat kenyataan demi kenyataan tanpa mengambil tindakan, bila mereka dakwa, mereka perlu juga ambil tindakan supaya yang didakwa itu boleh ada ruang untuk menjawab dan bersihkan nama masing- masing.
“Sekiranya mereka tidak mengambil tindakan, kredibiliti DoJ itu sendiri boleh dipertikaikan orang ramai,” katanya.
Beliau berkata sekiranya dakwaan tanpa tindakan ini berterusan, pihak-pihak tertentu akan ‘menangguk di air keruh’ dengan menggunakan kenyataan DoJ untuk kepentingan politik mereka.Ditanya sejauh mana dakwaan terbaru DoJ akan memberi kesan kepada UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14, Hishammuddin, yang juga Naib Presiden UMNO berkata rakyat yang akan menentukannya.
Katanya walaupun terdapat banyak isu berkaitan nasional pada hari ini, masyarakat di peringkat akar umbi mahu melihat nasib mereka terbela di peringkat setempat.
“Pengundi mahu nasib mereka terbela dan bagi mereka masalah setempat lebih penting, saya yakin dengan cara dekati rakyat yang betul kami pasti boleh melawan kenyataan DoJ,” katanya.
Malaysia tidak perlu campur tangan asing dalam menyelesaikan masalah berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sepertimana tindakan Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat memfailkan saman sivil terhadap syarikat itu baru-baru ini, kata Anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Irmohizam Ibrahim.
Beliau berkata tindakan itu sangat tidak rasional dan profesional, seolah-olah satu konspirasi sedang dirancang untuk menjatuhkan pentadbiran kerajaan Malaysia di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
- See more at: http://www.themalaysiantimes.com.my/saman-doj-satu-agenda-politik-keji-terhadap-najib-kerajaan-pemimpin-umno-serang-balik/#sthash.otKS7Lcr.dpuf

Tiada ulasan: