HALAMAN SANTAI

Rabu, 7 Jun 2017

Bekas IGP: Akaun Najib sudah tutup, bagaimana bayar Shafee?

Alyaa Azhar


Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan mempersoalkan kesahihan laporan Sarawak Report yang mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membayar peguam terkemuka Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebanyak RM9.5 juta.

Beliau pada mulanya merujuk laporan Malaysiakini bertarikh 8 Ogos 2015, tetapi kemudiannya menjelaskan ia adalah laporan bertarikh 15 Ogos yang bertajuk "US$650m from Najib's account sent abroad" yang menyatakan bahawa akaun Najib di Ambank telah ditutup pada 30 Ogos 2013.

“Jadi macam mana kalau akaun sudah tutup (tetapi) wang RM9.5 juta ini boleh dibayar kepada peguam tersebut?

“Saya rasa benda ini tidak betul kerana akaun dah tutup pada 30 Ogos tapi bayaran (dibuat) pada 11 Sept 2013 dan 17 Feb 2014.

“Jadi bagi saya tidak betul,” katanya.

Walau bagaimanapun, pasukan petugas khas pada 9 Julai 2015 mendedahkan bahawa Najib mempunyai sekurang-kurangnya dua akaun Ambank Islamic - yang lain telah ditutup pada 9 Mac 2015.

Pasukan petugas khas yang ditubuhkan untuk menyiasat skandal berkaitan dengan 1MDB dan SRC International, terdiri daripada bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Minggu lalu, Sarawak Report yang memetik kertas siasatan yang kononnya bocor melaporkan bahawa Najib membayar Shafee dari akaun sama miliknya di mana dana SRC dipindahkan. SRC adalah sebuah firma milik negara, dan bekas anak syarikat 1MDB.

Shafee bertindak sebagai ketua pendakwa dalam kes liwat II membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila perkara itu dibawa ke mahkamah rayuan dan persekutuan.

Malaysiakini tidak dapat untuk mengesahkan kesahihan laporan Sarawak Report itu.

Najib, sebelum ini berulang-kali menafikan beliau menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan peribadi.

Menolak dakwaan Sarawak Report yang dianggap sebagai fitnah, Musa berkata beliau juga adalah mangsa dakwaan seumpama itu apabila beliau menyiasat pertuduhan liwat pertama terhadap Anwar pada tahun 1998.

“Dulu masa saya menyiasat kes liwat pertama, saya pun difitnah, mengatakan saya terima RM5 juta daripada Mahathir, diletakkan dalam akaun saya di Singapura.

“Bagi saya tak betul la kerana saya tak terima pun duit RM5 juta,” kata Musa.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: