HALAMAN SANTAI

Rabu, 14 Jun 2017

BERITA GEMBIRA UNTUK MALAYSIA

shahbudindotcom


Di sebalik sikap berdiam diri Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat atau DOJ yang agak lama sejak ia mengumumkan tindakan saman sivil untuk merampas harta-harta bernilai AS$1 bilion berkaitan dana 1MDB yang diselewengkan, ramai yang beranggapan atau setidak-tidaknya mengharapkan saman itu tidak  lagi menjadi kenyataan.

Kata mereka, DOJ hanya "main gempak" saja kerana ia sebenarnya kekurangan bukti untuk proses yang seterusnya.
Dengan yang demikian, ramailah yang bertempik, barangkali kerana terlebih  dedak, tiada kesalahan dan penyelewengan dana 1MDB seperti yang didakwa itu.

Akhirnya, kata mereka, bukan saja 1MDB tiada kesalahan apa-apa, malah Najib Razak yang dikaitkan dengan skandal kewangan syarikat pelaburan bermasalah itu tetap suci bersih sifatnya.

Namun, dengan berita terbaru permohonan di mahkamah untuk merampas sebuah penthouse dan pejabat milik Jho Low di London oleh DOJ membuktikan mereka tidaklah duduk diam saja sebagaimana yang disangka, bahkan terus menyambung kerja-kerja yang belum sempurna itu.

Ia tentunya jauh sekali daripada kemungkinan menggugurkan kes tersebut.

Penthouse  bernilai £77 juta dan pejabat berharga £42 juta itu didakwa dibeli menggunakan dana 1MDB yang diselewengkan, sama seperti harta-harta yang mahu dirampas DOJ sebelum ini.
"Low membeli penthouse dan pangsapuri di Stratton menggunakan hasil 1MDB. Low juga menggunakan dana yang dikesan diselewengkan daripada 1MDB untuk membeli pejabat di Stratton," kata DOJ dalam kenyataannya.

Selain itu, DOJ juga mengesan perbuatan Jho Low mencuci wang haram 1MDB yang diselewengkan sebanyak AS$50 juta dengan menggunakan sebuah syarikat tanpa aset untuk membantu pembelian sebuah syarikat tenaga, Coastal Energy bernilai AS$2.2 bilion pada 2013 dan 2014.

Bersama saman sivil sebelumnya dan yang terbaru ini, semua tindakan DOJ ini adalah berita gembira buat rakyat Malaysia yang  sekaligus juga pastinya membuatkan golongan pendedak terus tersedak dibuatnya.

Ini kerana tentu ada berita-berita lain yang terus mengilukan mereka akan muncul lagi selepas ini.


Dalam masa yang sama, meskipun  didakwa sudah mengupah seorang pelobi di AS sana, hajat Najib mahu berselfie dengan Donald Trump masih belum kesampaian jua.

Malah, berdasarkan gambar di Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini, bukan saja berselfie tidak menjadi kenyataan, malah Trump langsung tidak menunjukkan kemesraannya terhadap Najib.


Tiada ulasan: