HALAMAN SANTAI

Khamis, 15 Jun 2017

Cukai pelancongan: Apa jadi apabila pelancong pilih Airbnb?

 
Badan pemikir itu berkata, Putrajaya perlu menangani cabaran dihadapi industri perhotelan dahulu berbanding memfokuskan hasil yang ia boleh kutip.


Azrul-Mohd-Khalib_pelancong_600


PETALING JAYA: Ketika perbincangan mengenai cukai pelancongan kontroversi berterusan, sebuah badan pemikir berkata, model Putrajaya itu mungkin tidak mampan.

Ia memberi amaran cukai itu boleh mendatangkan komplikasi pada masa depan disebabkan perubahan trend dalam industri pelancongan dan hospitaliti.

Bercakap kepada FMT, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) berkata, cukai pelancongan yang akan dilaksanakan mulai 1 Julai ini, meletakkan beban kutipan cukai yang tidak adil kepada penyedia penginapan, seperti hotel.

“Dengan kadar penginapan di hotel berdaftar umumnya sekitar 40%, caj tambahan mungkin menyebabkan pelancong memilih penyedia penginapan tidak berdaftar seperti hotel haram dan Airbnb,” kata Pengurus Hubungan Luar Ideas, Azrul Mohd Khalib.

Isu ini menjadi kebimbangan peserta industri hotel kerana penyedia penginapan kurang daripada 10 bilik dikecualikan daripada cukai baharu itu.

Sebelum ini, wakil industri – Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Pemilik Hotel (Maho) dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) – mempersoalkan bagaimana hotel haram dan Airbnb dimasukkan dalam sistem cukai pelancongan kerana mereka tidak berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Mereka turut mengeluh ketidaksaksamaan dihadapi kerana sudah mematuhi pelbagai peraturan sedia ada, termasuk membayar yuran perniagaan, lesen dan kadar komersial utiliti, manakala pengusaha hotel haram dan Airbnb tidak tertakluk kepada peraturan itu.

Memahami peningkatan populariti Airbnb

Azrul berkata, Airbnb ialah satu perubahan dalam industri pelancongan dan hospitaliti global, termasuk di Malaysia.

“Ia menjadikan aset swasta yang tidak aktif sebelum ini produktif, memberi pilihan baharu dan pelbagai kepada pelancong dan kejutan kompetitif kepada industri.

“Perkongsian rumah menawarkan penyelamat ekonomi untuk ramai orang, khasnya keluarga kelas pertengahan yang ingin mencari pendapatan tambahan.”

Azrul berkata, Airbnb turut menawarkan alternatif lebih murah dan lebih fleksibel berbanding hotel konvensional kepada mereka yang mencari penginapan.

Ini katanya, menyebabkan model Airbnb lebih menarik kepada penyedia Airbnb dan pengguna.

Trend ini boleh dilihat menerusi pertumbuhan Airbnb yang bermula secara kecil-kecilan pada 2008 dan bertukar menjadi syarikat bernilai kira-kira AS$30 bilion (RM127 bilion). Perkhidmatannya kini boleh didapati di 191 negara di seluruh dunia.

Malah, dalam 1 memorandum bersama mengenai cukai pelancongan yang diserahkan MAH, Maho dan MyBHA kepada kerajaan baru-baru ini, mereka menegaskan hanya 3,126 penyedia penginapan berdaftar dengan kementerian yang automatik termasuk dalam skop cukai itu.

Sebaliknya, mereka berkata, terdapat 6,452 penyedia penginapan tidak berdaftar di Agoda.com dan 11,698 penyedia penginapan di Airbnb setakat April lalu.

Kadar dikenakan Airbnb di Malaysia serendah RM44 setiap malam sehingga lebih RM1,000 untuk sebuah rumah yang boleh memuatkan 10 orang atau lebih, dengan beberapa kemudahan seperti kolam renang peribadi.

Apa jadi apabila lebih ramai pilih Airbnb berbanding hotel?

“Jika terdapat perubahan dramatik terhadap sektor ini dan kerajaan memutuskan untuk menyasarkan pemilih bilik atau rumah perkongsian untuk mengutip dan membayar cukai pelancongan, ia akan menimbulkan isu serta komplikasi cukai baharu.

“Sekiranya mereka mendaftar sebagai perniagaan? Adakah mereka akan dianggap perniagaan kecil dan dikecualikan cukai ini?

“Mengapa hanya inap desa dikecualikan?” soalnya sambil menyenaraikan beberapa persoalan mungkin timbul.

Beliau berkata, walaupun cukai tambahan seperti cukai pelancongan boleh meningkatkan pendapatan kerajaan, beban yang diletakkan ke atas industri hospitaliti boleh menambahkan kesukaran dihadapi pemain industri dalam suasana yang sudah mencabar.

Jika Airbnb disasarkan untuk cukai pelancongan pada masa depan, ia akan menyukarkan orang ramai untuk menyertai aktiviti penginapan perkongsian, menafikan individu dan keluarga daripada pendapatan amat diperlukan.

Belajar daripada pengalaman Uber, Grab di Malaysia


Tetapi jalan ke hadapan, Azrul berkata, tidak berada dalam memansuhkan cukai pelancongan, kerana kebanyakan negara-negara maju dan bandar-bandar utama mempunyai cukai pelancongan.

Sebaliknya, beliau berkata Putrajaya terpaksa menangani isu-isu yang berpunca daripada trend dalam industri hospitaliti terlebih dahulu sebelum memikirkan ringgit dan sen yang diperolehi daripada cukai pelancongan.

Azrul berkata, daripada menghapuskan cukai pelancongan yang dilaksanakan di kebanyakan negara membangun dan bandar utama, Putrajaya perlu menangani isu berpunca daripada trend dalam industri hospitaliti terlebih dahulu sebelum memikirkan kutipan daripada cukai itu.

Katanya, kerajaan perlu belajar daripada pengalaman Uber dan Grab di Malaysia dengan tidak menunggu sehingga dipaksa mengawal selia Airbnb.

Ketika perkhidmatan perkongsian kenderaan, Uber dan Grab pertama kali muncul di Malaysia pada 2014, pengusaha teksi menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap perkhidmatan “haram” itu, walaupun mereka popular.

Dua tahun kemudian, selepas pelbagai bantahan pemandu teksi dan rayuan persatuan pengguna – Kabinet memberi lampu hijau kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk mengawal selia perkhidmatan itu.

Azrul berkata, kerajaan sepatutnya sudah memulakan perbincangan untuk mengawal selia Airbnb dengan pakar undang-undang, pihak berkepentingan dan peserta industri.

“Kita perlu memulakan proses ini sekarang kerana kita akan sampai ke tahap ia perlu ditangani. Ia perlu ditangani sebelum cukai pelancongan dilaksanakan. Jika tidak, ia akan memudaratkan industri hotel.”

Katanya, hanya selepas Airbnb dikawal selia dan pengusaha didaftarkan sebagai pemilik perniagaan atau pengusaha, cukai itu boleh dikenakan ke atas Airbnb secara sistematik.

Semakin banyak bandar di seluruh dunia mengawal selia hartanah disewakan untuk jangka pendek, seperti Airbnb.

Sejak beberapa bulan lalu, Kansas City di Missouri, Amerika Syarikat (AS) dan Toronto di Kanada mencadangkan peraturan ke atas Airbnb, termasuk menetapkan yuran permit.

Bukan itu sahaja, Airbnb dan pengusahanya perlu mematuhi peraturan, seperti mengutip cukap penginapan – cukai hampir sama dengan cukai pelancongan.

Di sesetengah kawasan seperti Amsterdam di Belanda dan San Francisco di AS, Airbnb akan mengutip cukai secara automatik daripada pelanggan dan menyalurkannya kepada agensi percukaian tempatan bagi pihak pengusahanya.

Di Australia, mereka yang menyewakan sebahagian atau seluruh hartanah mereka menerusi laman web atau aplikasi perkongsian penginapan seperti Airbnb perlu menyimpan rekod semua pendapatan yang diperolehi.

Mereka perlu mengisytiharkannya dalam laporan cukai pendapatan dan membayar cukai pendapatan untuk sewa yang diterima.

Untuk industri perhotelan, Azrul berkata, perkembangan terkini dalam sektor itu, khasnya kemunculan Airbnb perlu dilihat sebagai satu bentu persaingan untuk industri berkenaan.

Ini memerlukan inovasi, perubahan dalam amalan hospitaliti dan pemahaman lebih baik mengenai keperluan pelancong yang mempunyai kuasa pembelian terhad dalam keadaan ekonomi mencabar.

“Airbnb memberi respons kepada cabaran ini dengan memenuhi keperluan itu. Sudah tiba masanya untuk hotel melakukan perkara sama.”

Guna hasil cukai untuk pelancongan

Azrul berkata, dalam melaksanakan cukai pelancongan, kerajaan perlu menjamin hasil yang dikutip akan disalurkan untuk membina dan menambah baik infrastruktur pelancongan tempatan.

Katanya, ia perlu menjadi proses telus supaya orang ramai dan peserta industri dapat melihat berapa banyak pendapatan yang dikumpul dan bagaimana ia dibelanjakan.

“Kerajaan juga perlu melakukan kerja lebih baik untuk berkomunikasi dengan rakyat Malaysia dan media antarabangsa mengenai rasional dan kewajaran pelaksanaan cukai pelancongan.”

Baru-baru ini, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen menepis kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz yang hasil cukai pelancongan itu akan digunakan untuk mempromosikan Malaysia di luar negara.

Katanya, hasil cukai itu boleh disalurkan ke dana disatukan.

April lalu, ketika berbahas di Dewan Rakyat untuk meluluskan Rang Undang-undang Cukai Pelancongan 2017, Nazri dilaporkan berkata, cukai pelancongan boleh memberi kutipan sebanyak RM654.62 juta jika kadar penginapan bagi keseluruhan 11 juta bilik di negara ini mencapai 60%.

Cukai itu akan dikuatkuasakan 1 Julai ini di semua hotel dan rumah penginapan berdaftar dengan bayaran tambahan RM2.50 hingga RM20 bagi penginapan semalaman

Tiada ulasan: