HALAMAN SANTAI

Ahad, 11 Jun 2017

Cukai pelancongan: Pemuda Amanah dakwa kewangan negara makin tenat

 MALAYSIA DATELINE

visit malaysia

Pemuda Amanah Nasional bimbang keputusan kerajaan untuk mengenakan cukai pelancongan bermula 1 Julai akan menjejaskan industri perhotelan dan pelancongan di negara ini.

Timbalan ketuanya Faiz Fadzil (gambar) berkata, cukai pelancongan yang dikenakan pada kadar antara RM2.50 dan RM20 untuk penginapan semalaman adalah terlalu tinggi dalam keadaan rakyat terpaksa membayar caj perkhidmatan sebanyak 10% dan cukai barang dan perkhidmatan (GST) 6%.

Faiz Fadzil"Statistik juga telah menunjukkan kemerosotan industri pelancongan di mana menurut Laporan Tahunan Program Transformasi Negara, resit pelancongan tahun 2015 merosot 4 peratus kepada RM69.1 bilion berbanding RM72 bilion bagi tahun 2014. Dengan bayaran tambahan ini, dibimbangi industri pelancongan akan lebih terkesan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata pelaksanaan kutipan cukai akan mula dikenakan terhadap hotel dan rumah penginapan yang berdaftar.
Mengulas lanjut, Pemuda Amanah menyifatkan pelaksanaan cukai itu sebagai langkah mundur kerajaan dalam mencari sumber kewangan tambahan.

"Kami juga berpendapat cukai pelancongan ini adalah langkah terdesak kerajaan untuk mencari dana tambahan dengan memerah poket rakyat seolah-olah kerajaan sudah kekeringan idea untuk menjana pendapatan.

"Jangkaan kutipan sebanyak RM654.6 juta setahun sudah pasti membantu kewangan kerajaan dan bukan bertujuan untuk membantu industri pelancongan bagi meningkatkan perkhidmatan perhotelan kerana industri perhotelan dimiliki secara persendirian tanpa diberikan suntikan subsidi," katanya.

Langkah terdesak ini tegasnya, berpunca daripada salah urus tadbir kerajaan sehingga pendapatan negara terjejas akibat rasuah dan ketirisan perbelanjaan selama ini.

"Hutang negara yang mencecah RM683.9 bilion yang bersamaan 54.46 peratus KDNK serta kejatuhan nilai ringgit diakibatkan kehilangan kepercayaan pelabur tidak mampu dipulihkan oleh kerajaan.

"Oleh sebab itu, kerajaan tiada pilihan selain daripada mengenakan cukai baru yang mundur dan terdesak ini," tegasnya.

Faiz berkata, kerajaan seharusnya memperkenalkan pelbagai insentif mesra rakyat bagi meningkatkan industri yang memberikan banyak manfaat kepada rakyat negara ini.

Peningkatan caj hotel katanya, pasti menjejaskan industri pelancongan yang akan memberikan kesan kepada peluang pekerjaan, pendapatan dan perniagaan rakyat yang bergantung kepada industri ini.

"Justeru, Pemuda Amanah Nasional mendesak kerajaan mengkaji semula cukai pelancongan ini. Ekonomi rakyat perlu didahulukan mengatasi ekonomi Putrajaya," katanya.

Tiada ulasan: