HALAMAN SANTAI

Jumaat, 16 Jun 2017

Dakwaan Noh tidak berasas - Iskandar

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Dakwaan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar bahawa kerajaan negeri Selangor tidak mengambil berat tentang pangsapuri di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka disifatkan tidak berasas.
 
ADUN Chempaka Datuk Iskandar Samad yang menyangkal dakwaan itu berkata, kerajaan negeri telah membelanjakan peruntukan dan sudahpun merancang untuk kemudahan penduduk terutamanya di pangsapuri-pangsapuri kos rendah, termasuk di kawasan itu.
 
"Untuk makluman, sehingga hari ini kerajaan negeri telah menawarkan peruntukan sebanyak RM2.7 juta kepada sembilan kawasan pangsapuri untuk dibaikpulih di bawah Skim Baikpulih Negeri Berkebajikan atau CERIA.
 
"90 peratus dari kerja-kerja itu telah siap dan sudah dapat dinikmati oleh penduduk.
 
"Kerajaan negeri juga telah membelanjakan RM792,000 melalui skim baikpulih jalan di pangsapuri-pangsapuri kos rendah yang melibatkan 3 kawasan pangsapuri kos rendah di dalam kawasan Chempaka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Mengulas lanjut, Iskandar yang merupakan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar berkata peruntukan sejumlah RM1.1 juta juga telah diperuntukkan bagi membiayai empat unit lif di dua kawasan pangsapuri di Chempaka yang akan bermula Julai tahun ini.
 
"Peruntukan ini adalah sebahagian dari RM30 juta di bawah program baikpulih dan penyelenggaraan lif di bawah program SMART LIFE untuk seluruh negeri bagi tahun 2017," tambahnya.
 
Katanya, kerajaan negeri akan terus konsisten membantu penduduk perumahan berstrata khususnya penduduk pangsapuri-pangsapuri kos rendah.
 
Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar yang membuat tinjauan sekitar kawasan DUN Chempaka melahirkan rasa terkejut dengan keadaan flat yang seolah terabai. 
 
Dakwanya, walaupun kawasan itu dimenangi Iskandar yang juga exco kerajaan negeri, keadaan rumah di kawasan itu teruk sekali.
 
Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor turut membidas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan meminta rizab negeri yang terkumpul digunakan bagi memperbaiki keadaan perumahan negeri.
 
“Saya pun dah turun dua, tiga tempat dan ada banyak lagi yang perlu dibantu dan belanjalah duit kerajaan negeri yang menteri besar tak tahu nak guna itu," sindir Noh.
 
 

Tiada ulasan: