HALAMAN SANTAI

Rabu, 7 Jun 2017

ILMUAN Sokong Dr Kamarul Dedah Agenda Kristianiasi Di Malaysia



ILMUWAN mengikuti dengan penuh prihatin polemik yang timbul apabila Pengarah MAPAN Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff secara bersiri mengulas beberapa kenyataan pemimpin-pemimpin DAP yang begitu agresif menyerang kehendak umat Islam Malaysia memperkasakan undang-undang Syariah dengan alasan ia bertentangan dengan perlembagaan Malaysia yang didakwa sekular dan terpisah dari agama (Islam) oleh DAP.

Namun, pada masa yang sama, Dr Kamarul Zaman berjaya mengemukakan fakta-fakta berupa rekod-rekod pandangan/ucapan pemimpin DAP sendiri yang aktif bercita-cita menjadikan impian politik mereka berakarkan agama kristian evangelis.

1- Dr Kamarul Zaman Yusoff sebagai ahli akademik berhujah berdasarkan fakta terutama daripada sumber tulisan pemimpin DAP dalam buku autobiografi ‘Becoming Hannah,’ karangan YB DAP Hannah Yeoh, speaker DUN Selangor. Dr Kamarul Zaman juga bersusah payah menggali arkib, rekod-rekod ucapan, laporan berita dan sumber peristiwa untuk menyokong penghujahan beliau sesuai dengan kaedah ahli akademik yang mengupas sesuatu berdasarkan sumber yang jelas.

2- Sumber lain seperti buku ‘Sang Nila Utama & the Lion of Judah: Dominionism and Christian Zionism in Malaysia’ (terbitan 2015) tulisan Iain Buchanan, ahli akademik dari New Zealand juga sarat dengan fakta (apa, siapa, bila, kenapa) dan rekod gerakan kristian evangelis yang turut mengaitkan pemimpin DAP dan Pulau Pinang sebagai pusat gerakan.

3- Tujuan utama penulisan Dr Kamarul Zaman Yusoff hanyalah mengupas secara akademik hipokrasi DAP yang sering melaungkan pemisahan agama daripada politik terutama dalam menentang Rang Undang-undang 355 berkaitan had hukuman syariah. Beliau bukan mempersoalkan kebebasan beragama untuk penganut kristian atau bimbang terpesongnya akidah umat Islam dengan membaca buku biografi itu.

4- Namun, beliau diserang secara peribadi, diancam dengan laporan polis, saman, dicaci-maki dan dipersoal ijazah PhDnya dan institusinya, UUM, yang dikenali antara universiti terbaik rantau ini dalam bidang sains sosial.

5- Serangan ini beliau hadapi berseorangan dan ditentang ramai pemimpin DAP dan sekutunya daripada Parti Amanah Negara, Pakatan Harapan serta aktivis-aktivis yang condong memperjuang liberalisme.

6- Kupasan akademik Dr Kamarul Zaman yang sarat dengan fakta & rekod sepatutnya dibalas dengan hujah berfakta juga daripada DAP dan sekutunya.

7- Sebaliknya, ILMUWAN mendapati ia dibalas dengan serangan peribadi dan cuba dikaitkan pula seolah-olah Dr Kamarul Zaman sebagai pembawa kebencian, anti-kristian, perkauman, beragenda politik, diupah dan berbagai lagi nista.

8- Serangan-serangan peribadi seperti ini menunjukkan kegagalan DAP, Parti Amanah Negara dan sekutunya membahaskan persoalan hipokrasi & ketidakselarasan (inconsistency) mereka mengikut budaya masyarakat sivil, kebebasan berbeza pendapat dan kebebasan akademik yang kononnya mereka perjuangkan.

9- Serangan peribadi yang tidak berasas berserta dakwaan-dakwaan beliau anti non-muslim dan pemecah-belah ini amat tersasar daripada skop penghujahan akademik yang dialu-alukan oleh Dr Kamarul Zaman.

10- Serangan DAP dan sekutunya terutamanya pemimpin Parti Amanah Negara setakat ini menepati penghujahan manusia jerami (strawman argument) – penghujahan yang tidak menjawab fakta asal, bahkan dipesongkan ke arah menjatuhkan individu yang menyuarakan persoalan untuk menutup kebenaran fakta yang dibawa dengan serangan karakter (character assasination).

11- ILMUWAN menyeru pimpinan DAP dan sekutunya kembali menjawab hujah-hujah akademik Dr Kamarul Zaman dengan hujah ilmiah yang setaraf dan sesuai dengan perjuangan kebebasan bersuara dan akademik yang dilaungkan-laungkan mereka. Ia akan menjadi satu pendedahan yang baik kepada rakyat dalam mengurus perbezaan pendapat.

12- ILMUWAN sebagai sebuah NGO yang memayungi ahli-ahli akademik dan profesional tanahair yang istiqamah dalam membangunkan negara & ummah secara holistik juga amat berharap agar polemik ini tidak dikaitkan dengan sentimen perkauman, anti-kristian dan non muslim yang sentiasa terjamin hak mereka disisi perlembagaan negara.

Teruskanlah berhujjah dengan hikmah.

Profesor Madya Dr Mohd Fuad Mohd Salleh
Presiden Ikatan Ilmuwan Nasional (ILMUWAN) 2017




Tiada ulasan: