HALAMAN SANTAI

Selasa, 13 Jun 2017

Jangan laksana cukai pelancongan, kata pakar ekonomi

Shawaliah Hadir

Cukai tersebut tidak sepatutnya dikenakan secara langsung kepada pihak hotel yang akhirnya akan menjadikan pelanggan sebagai mangsa untuk menanggung kenaikan kadar penginapan.

KUALA LUMPUR: Tidak perlu laksanakan cukai pelancongan jika ia hanya akan menjejaskan pelbagai pihak, kata Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Amir Hussin Baharuddin.

Cukai ini katanya dilihat kurang memberi kebaikan sebaliknya hanya akan mewujudkan kekecohan akibat daripada ketidakpuasan hati pelbagai pihak kelak termasuklah pelancong.

“Saya rasa elok timbang semula pelaksanaan itu. Cukai itu tidaklah perlu dilaksanakan tergesa-gesa seperti GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan).

“Idea itu baik tapi ia menjejaskaan banyak perkara contohnya apa yang jadi sekaranglah (tindakan Sarawak keluar daripada Lembaga Pelancongan Malaysia).

“Kita kalau boleh industri yang banyak membawa kebaikan macam pelancongan ini jangan banyak olah sangat,” katanya kepada BeritaDaily.

Beliau berkata demikian mengulas perkembangan terbaru apabila Sarawak mengumumkan menarik diri daripada Lembaga Pelancongan Malaysia berkuat kuasa serta-merta.

Tindakan ini dibuat susulan daripada perang mulut di antara Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan,
Belia dan Sukan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz yang mempunyai pendirian yang bercanggah mengenai perkara ini.

Jelas Amir Husin, industri pelancongan sepatutnya menampilkan ciri-ciri yang memudahkan pelbagai pihak yang berkenaan kerana ia menyumbang kebaikan kepada negara kerana menambah pendapatan khususnya.

“Kita mahu jadikan industri pelancongan ini orang kenal sebagai industri yang tidak ada karenah cukai seperti ini,” ujar beliau.

Terdahulu Nazri berkata pelaksanaan Cukai Pelancongan yang akan menyaksikan kadar antara RM2.50 dan RM20 untuk penginapan satu malam akan tetap diteruskan mulai 1 Julai ini.

Sementara itu seorang lagi pakar dalam bidang ekonomi Prof Madya Dr Barjoyai Bardai berkata cukai tersebut tidak sepatutnya dikenakan secara langsung kepada pihak hotel yang akhirnya akan menjadikan pelanggan sebagai mangsa untuk menanggung kenaikan kadar penginapan.

Sebaliknya beliau mencadangkan agar syarikat perhotelan yang dikenakan cukai ini berdasarkan tahap pendapatan tertentu kerana ia pada akhirnya tidak akan menjadi beban kepada bukan sahaja pelancong dari luar negara namun rakyat khususnya.

“Cukai pelancongan ini sudah pasti akan dikenakan kepada pelanggan ke atas bil hotel itu yang akan menjadikan ketegangan nanti.

“Cukai itu ditanggung oleh syarikat bukan pelanggan. Itu adalah lebih baik kerana yang memperoleh keuntungan lebih adalah syarikat-syarikat dalam bidang pelancongan, bukan pelanggan,” katanya.

Beliau dalam masa sama menggesa agar setiap keputusan yang dibuat di peringkat nasional khususnya Kementerian Pelancongan terlebih dahulu mengambil kira pandangan di peringkat pentadbiran di setiap negeri agar tidak mengundang kekecohan.

“Kedua-dua pihak perlu bertenang, dan kemudian satu polisi baru perlu dirombak semula mengambil kira apa yang terbaik untuk kesemua negeri-negeri di Malaysia, kerana setiap negeri mempunyai kelebihan dan mempunyai produk pelancongan masing-masing.

“Kalau kita boleh mewujudkan satu kompromi dan satu strategi yang lebih baik mungkin ia datang dari satu kaedah lain untuk mengutip pendapatan atau menambah pendapatan kerajaan dari sektor pelancongan, tidak daripada pengenalan cukai,” tambahnya.

Tiada ulasan: