HALAMAN SANTAI

Ahad, 18 Jun 2017

Kabinet perlu ikut integriti Hussein Onn, kata Kit Siang

 
Pemimpin DAP itu berkata Hishammuddin Hussein tersalah apabila menegaskan tindakan terbaru DoJ akan alih perhatian dari agenda besar kerajaan.


lim-kit-siang-doj-hussein-onn 

PETALING JAYA: Pemimpin DAP Lim Kit Siang mahu Kabinet menjadikan tindakan mahkamah terbaru Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) agenda utama mesyuarat seterusnya.

Ahli Parlimen Gelang Patah berkata 36 menteri kerajaan persekutuan terutama anaknya Datuk Seri Hishammuddin Hussein perlu mengikut integriti bekas perdana menteri Tun Hussein Onn yang memimpin negara dari 1974 hingga 1981.

Menyifatkan dokumen 251 halaman dalam saman itu sebagai “paling mengejutkan”, beliau berkata para menteri perlu memutuskan bagaimana untuk membersihkan Malaysia daripada dakwaan yang dibangkitkan.

Beliau mendakwa ia bukan sahaja mendedahkan “penipuan dan pengkhiatan untuk mencuri berbilion ringgit dana 1MDB untuk kegunaan peribadi dan mengagungkan kedudukan, tetapi juga betapa hina beberapa orang Malaysia yang bersedia untuk mencuri dan memperkayakan diri dengan berbilion ringgit wang rakyat daripada komplot 1MDB itu”.

“Saya menyeru kempen seluruh negara menuntut peletakan jawatan Kabinet jika 36 menteri itu tidak mampu berbuat apa-apa dalam mesyuarat mereka,” katanya, dan menambah reputasi Malaysia sebagai kleptokrasi perlu dibersihkan.

“Menteri yang belum membaca tindakan terkini DoJ terhadap 1MDB setebal 251 halaman itu menjelang mesyuarat Kabinet Rabu ini perlu tampil, kerana mereka jelas tidak layak berada dalam Kabinet,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua ahli Parlimen DAP itu mempersoalkan adakah ada “Hussein Onn moden” dalam Kabinet sekarang, merujuk kepada perdana menteri ke-3 yang menurut beliau mempunyai integriti yang cemerlang dan membenci rasuah.

Beliau menambah Hishammuddin, yang juga menteri pertahanan, Jumaat lalu tersalah apabila menegaskan tindakan terbaru DoJ itu akan mengalihkan perhatian dari agenda besar kerajaan.

“Tiada agenda lagi besar dari memastikan demokrasi di Malaysia tidak bertukar menjadi kleptokrasi dan menegakkan integriti,” katanya.

Lim mendakwa Hussein akan bersetuju dengaNnya.

“Saya yakin jika Malaysia dituduh sebagai ‘kleptokrasi’ semasa Hussein menjadi perdana menteri, beliau akan menjadikan penyelesaiannya sebagai agenda utama,” katanya.

Hussein juga tidak akan teragak-agak untuk meletakkan jawatan perdana menteri jika beliau gagal membersihkan nama negara, tambahnya.

“Adakah Hishammuddin bersetuju dengan saya, atau saya tersilap adanya kualiti tidak mahu berkompromi dengan komitmen kepada integriti dalam bapanya, perdana menteri ke-3?”

Beliau berkata rakyat akan tahu menteri mana yang patriotik serta bersedia membuat pendirian berprinsip dengan meletakkan jawatan jika Kabinet tidak mampu atau tidak bersedia menjawab perkara itu.

Kit Siang berkata tiada rakyat Malaysia yang setia dan patriotik yang boleh membaca dokumen undang-undang itu tanpa rasa malu, bingung dan seram.

Beliau mendakwa ia adalah aib terbesar negara dalam sejarah 60 tahunnya sejak kemerdekaan.
DoJ melalui tindakan terbaru yang difailkan di California mahu menyita AS$540 juta (RM2.3 bilion) aset termasuk karya seni, barang kemas dan hak filem yang dibeli dengan dana yang didakwa digelapkan dari 1MDB.

Aset yang disebut dalam permohonan itu termasuk hak filem ke atas 2 cerita komedi, “Dumb and Dumber To” yang dibintangi Jim Carrey dan “Daddy’s Home” yang dibintangi Will Ferrell.

Pembikian filem itu didakwa dibiayai jutaan dolar dari dana pelaburan milik kerajaan itu.
Saman sitaan Julai tahun lepas mahu mendapatkan kembali semua aset termasuk tetapi tidak terhad kepada Hotel Park Lane di New York, sebuah hotel mewah di Beverly Hills, kondominium di New York, jet mewah, karya seni, serta pembiayaan filem Martin Scorcese “The Wolf of Wall Street”, yang dibintangi Leonardo DiCaprio.

Tiada ulasan: