HALAMAN SANTAI

Isnin, 19 Jun 2017

Kalimah Allah: KDN diperintah failkan laporan pakar

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta Mahkamah Tinggi hari ini untuk memfailkan laporan pakar berhubung persoalan sama ada penggunaan kalimah Allah hanya eksklusif di kalangan umat Islam dalam permohonan semakan kehakiman oleh Jill Ireland Lawrence.
 
Peguam Annou Xavier, peguam yang mewakili Jill, seorang wanita beragama Kristian dari kaum Melanau selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Datuk Nor Bee Ariffin, dimana laporan pakar itu akan difailkan oleh KDN menerusi Jabatan Peguam Negara.
 
"Laporan perlu difailkan sebelum atau pada 14 Julai ini dan pihak kami perlu menunggu laporan pakar itu bagi melihat isi kandungannya," katanya.
 
Mahkamah juga menetapkan tarikh 19 September ini untuk pendengaran merit dalam permohonan semakan kehakiman berkenaan.
 
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, mewakili KDN dan kerajaan selaku responden berkata pihaknya akan bekerjasama dengan kementerian itu bagi mengenal pasti pakar yang terbabit dalam laporan tersebut.
 
Jill memfailkan permohonan semakan kehakiman pada Ogos 2008 supaya lapan CD yang mengandungi kalimah Allah dipulangkan kepadanya atas alasan dia berhak menyimpan, menggunakan dan mengimportnya.
 
CD berkenaan bertajuk 'Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah', 'Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah' dan 'Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah', dirampas daripada Jill, dari Sarawak, sebaik tiba di Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) di Sepang pada 11 Mei 2008.
 
Pada 21 Julai 2014, Mahkamah Tinggi memerintahkan CD berkenaan dipulangkan kepadanya tetapi tidak mengeluarkan pengisytiharan seperti dipohonnya, bahawa dia berhak untuk menyimpan, menggunakan dan mengimport CD itu.
 
Pada 23 Jun 2015, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan memerintahkan Kementerian Dalam Negeri memulangkan lapan CD itu selepas menolak rayuan kementerian terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.
 
Mahkamah Rayuan memerintahkan kementerian memulangkan CD itu dalam tempoh sebulan dari tarikh keputusan itu.
 
Panel itu turut memerintahkan Mahkamah Tinggi mendengar permohonan Jill bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa dia boleh menyimpan, menggunakan dan mengimport CD itu.
 
 

Tiada ulasan: