HALAMAN SANTAI

Jumaat, 16 Jun 2017

Kedah bimbang tidak ada air ketika sambut Aidil Fitri

MOHD ALI HASHIM

Tong air yang dibekalkan oleh kerajaan negeri lebih kepada promosi dari perkhidmatan.

Rakyat negeri Kedah amat bimbang dengan krisis air yang sedang berlaku di negeri ini dan kebimbangan itu meletup-letup apabila dekatnya Aidil Fitri.

Apa yang lebih membimbangkan mereka ialah berulangnya krisis terputusnya bekalan air menjelang lebaran sepertimana yang berlaku pada tahun lalu.

Mereka bimbang pengalaman pahit tahun lalu, ketika semua anak cucu berkumpul untuk sambutan hari raya, tidak ada air yang hendak mereka gunakan.

Atas kesedaran inilah pimpinan Pakatan Harapan (PH) Kedah telah mengambil pendekatan segera mendesak kerajaan negeri yang dipimpin oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah supaya mengambil tindakan segera.

Dr Ismail SallehMenurut Pengerusi Parti Amanah Negara Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh (gambar), kerajaan negeri serta Syarikat Air Darul Aman (Sada) harus bersikap adil dalam pengagihan bantuan tong air kepada semua rakyat dalam negeri ini.

"Tong air yang dibekalkan oleh kerajaan negeri haruslah diberikan kepada semua kawasan termasuk kawasan yang diwakili oleh pembangkang juga.

"Kerajaan negeri mestilah bersikap lebih adil dalam membantu rakyat yang menghadapi masalah bekalan air yang belum dapat diselesaikan sehingga kini.

"Sebagai sebuah kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat, kerajaan negeri dan Sada mestilah bertindak secara adil dan tidak memilih kasih dalam memberikan bantuan dan bekalan air yang mencukupi kepada semua rakyat, " jelasnya ketika ditemui.

Beliau juga berkata adalah suatu yang malang bagi rakyat Kedah, sekiranya kerajaan negeri hanya mengagihkan bantuan tong air hanya kepada kawasan BN sahaja.

Sementara itu Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang turut hadir juga berkata, sekiranya masalah bekalan air berulang sekali lagi sepertimana yang berlaku pada Aidilfitri tahun yang lalu, beliau tidak akan teragak agak untuk mengambil tindakan yang lebih
drastik bagi mendesak kerajaan negeri mengatasi masalah ini.

"Kita akan himpunkan anak-anak perantauan yang balik ke Kedah dengan baldi kosong sebagai tanda protes di kediaman Rasmi MB di Seri Mentaloon.

"Tindakan ini akan dilaksanakan pada hari raya pertama atau kedua sekiranya MB masih lagi gagal memastikan kejadian tahun lalu tidak berulang lagi tahun ini.

"Rakyat Kedah sudah hilang sabar dengan kerenah serta kelemahan kerajaan negeri dalam mengatasi masalah bekalan air sehingga menjejaskan kehidupan mereka terutamanya menjelang sambutan Aidilfitri, " tegasnya.

Manakala Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung pula berkata, masalah air merupakan masalah yang dihadapi oleh semua rakyat Kedah.

"Bantuan mesti diberikan oleh kerajaan negeri tanpa mengambil kira fahaman dan ideologi politik mereka.

"Air merupakan keperluan yang amat diperlukan oleh semua golongan masyarakat tidak kira samada mereka adalah penyokong BN maupun sebaliknya.

"Oleh kerana itu Ahmad Bashah mesti pastikan tiadanya diskriminasi yang berlaku dalam pengagihan bantuan bekalan air kepada rakyat Kedah menjelang Aidilfitri minggu depan, " ujarnya.

Baru-baru ini kerajaan negeri mengumumkan akan membekalkan tong air bagi bekalan air bersih kepada kawasan yang hanya diwakili oleh BN.

Ekoran pengumuman tersebut, pelbagai bantahan telah diutarakan termasuklah tindakan yang disifatkan tidak adil serta meminggirkan rakyat marhaen yang berada dalam kawasan yang diwakili pembangkang.

Tiada ulasan: