HALAMAN SANTAI

Ahad, 11 Jun 2017

Kementerian Pengangkutan Nafi Tiga Kamera AES Akan Dipasang Di Miri

MALAYSIAN DIGEST

 
KUALA LUMPUR -- Kementerian Pengangkutan hari ini menafikan laporan laman web See Hua Daily tentang dakwaan tiga kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dipasang di tiga lokasi di Miri, Sarawak pada tahun ini.

Kementerian itu dalam kenyataan berkata pihaknya hanya mengenal pasti tujuh lokasi baharu sistem AES yang digabungkan dengan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) bagi membentuk Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas), yang berkuatkuasa sejak 15 April lepas, di Semenanjung Malaysia.

"Laporan yang menyatakan bahawa terdapat 831 unit kamera akan dipasang di seluruh negara dengan 18 unit daripadanya akan dipasang di negeri Sarawak juga adalah tidak benar," menurut kementerian itu.

Kementerian Pengangkutan tidak pernah menetapkan sebarang jumlah kamera yang akan dipasang, sebaliknya pemilihan lokasi pelaksanaan sistem Awas akan melalui proses kajian terperinci dengan mengambil kira pandangan masyarakat setempat dan kekerapan berlakunya kemalangan di lokasi cadangan.

"Kementerian Pengangkutan juga ingin menafikan laporan sama yang turut mendakwa bahawa sistem Awas akan mengambil alih semua bidang kuasa penguatkuasaan kesalahan had laju pihak polis dan penguatkuasaan kamera bergerak," kata kenyataan itu.

Kedua-dua penguatkuasaan terbabit masih di bawah bidang kuasa pihak polis.

Kementerian Pengangkutan menyeru semua pihak untuk sentiasa merujuk kementerian bagi maklumat terkini dan tepat mengenai sistem Awas.-- BERNAMA


Tiada ulasan: