HALAMAN SANTAI

Khamis, 15 Jun 2017

Kementerian Pengangkutan perlu teliti akta sebelum dakwa pesalah trafik

Kumara Sabapatty
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai melepaskan konvoi anggota pengkuatkuasa yang terdiri daripada PDRM, JPJ, Bomba & Penyelamat dan SPAD sebagai gimik pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu bersempena dengan perayaan Hari Raya Aidilfitri peringkat kebangsaan tahun 2017 di KL Sentral. foto SAFWAN MANSOR
 

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan perlu meneliti kandungan Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengheret pesalah trafik biasa yang tanpa kompaun ke mahkamah.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya tidak boleh sewenang-wenangnya mendakwa mana-mana pesalah trafik ke mahkamah tanpa kompaun selepas ini.

“Ini bukan melibatkan pesalah serius kemalangan maut, kita kena meneliti secara mendalam kandungan seksyen dalam akta berkaitan sebelum buat pindahan yang dikehendaki.

“Kamu tidak boleh sesuka hati menuduh pesalah berkompaun di mahkamah tanpa saman, nanti mahkamah akan jadi sesak.

“Kita ada Sistem Pemberian Mata Demerit Jalan Raya (Kejara) dan Sistem Pemantauan Automatik (AWAS) memberi keberkesanan yang mana sebanyak 75,000 saman dikeluarkan dibawah AWAS.

“Tidak mengapa, kita akan lihat nanti (pindaan akta untuk tuduh pesalah trafik di mahkamah).Lagipun dengan sistem sedia ada kita memperbaiki kuatkuasaan undang-undang dari semasa semasa ke semasa,” katanya dalam sidang media di ibu negara.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengenai kesediaan polis mengheret pesalah trafik ke mahkamah tanpa kompaun sekiranya kerajaan boleh meminda akta pengangkutan berkaitan.

Terdahulu beliau telah melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2017 di KL Sentral di sini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata buat masa ini, hanya pesalah trafik serius melibatkan kemalangan maut dituduh dan dihukum di mahkamah.

Bagaimanapun, beliau mahu Jabatan Peguam Negara mempercepatkan proses pendakwaan pesalah serius ini supaya hukuman terhadap pesalah berat itu dapat dipercapatkan oleh mahkamah.

“Untuk pesalah trafik yang menyebabkan kemalangan maut hukuman berat iaitu penjara maksimum 10 tahun dan penggantungan lesen dilaksanakan.

“Kemalangan maut ini macam kamu sengaja bunuh orang, kamu seksa nyawa lain sehingga mati, ini satu kesalahan serius.

“Kami harap Peguam Negara boleh mempertimbangkan perkara ini segera,” tegasnya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: