HALAMAN SANTAI

Jumaat, 16 Jun 2017

Kempen banteras buli akan dibuat lebih agresif

MALAYSIA GAZETTE
Rohani Abdul Karim memeluk ahli keluarga mendiang T. Nhaveen yang meninggal dunia akibat dibuli dan didera rakan.


PULAU PINANG – Kempen memerangi gejala buli di sekolah akan dijalankan secara lebih agresif selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Katanya, kempen itu juga akan menjadi sebahagian daripada kempen kesedaran mengenai Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016 dan jenayah seksual.

Menurut beliau, menerusi kempen itu, pihaknya akan mengenal pasti semua tindakan yang boleh diambil ke arah mengentikan sepenuhnya gejala buli termasuk hukuman yang berat terhadap pelakunya.

“Bagi saya penalti yang sebenarnya bagi kes buli ini adalah yang seberat-berat mungkin, ini bukan semata-mata kerana kita mahu menghukum, tetapi lebih kepada menghindar dan membanteras perlakuan buli ini daripada terus berlaku,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melawat keluarga mangsa buli, mendiang T. Nhaveen, 18, di Krematorium Batu Gantung, di sini pagi ini.

Nhaveen meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang petang semalam selepas hampir seminggu tidak sedarkan diri akibat dipukul dan diliwat sekumpulan remaja di Jalan Kaki Bukit, Glugor di sini awal pagi Sabtu lalu.

Dalam pada itu, Rohani turut menyeru seluruh anggota masyarakat memainkan peranan masing-masing dalam memerangi gejala buli.

Menurut beliau, institusi kekeluargaan memainkan peranan penting dalam memupuk nilai-nilai positif dan kasih sayang seterusnya mendidik setiap anggota menolak kepada perlakuan keganasan.

Dalam pada itu, mengulas insiden membabitkan Nhaveen, Rohani memaklumkan pasukan kaunseling sudah dihantar bagi bertemu ahli keluarga mangsa sebagai sokongan psikologi.

Bagaimanapun, dalam masa sama, kata beliau, pihaknya perlu memberi ruang kepada polis bagi menjalankan siasatan kes berkenaan yang kini diklasifikasikan sebagai bunuh.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berkongsi rasa sedih dengan mereka yang terpaksa berdepan kejadian seperti ini.

“Apa yang saya kesalkan pembuli dalam kes ini seolah-olah dikuasai dendam sehingga tergamak melakukan kekerasan, perkara inilah yang akan kita kaji dan akan mencari kaedah bagi menanganinya,” katanya.


Tiada ulasan: