HALAMAN SANTAI

Isnin, 12 Jun 2017

Kerusi Cameron Highlands: MyPPP sedia bincang - Kayveas

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
CAMERON HIGHLANDS: MyPPP bersedia mengadakan perbincangan dengan MIC bagi menyelesaikan isu berhubung kerusi kawasan Parlimen Cameron Highlands, kata Presidennnya Tan Sri M.Kayveas.
 
Beliau berkata perbincangan dengan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S.Subramaniam perlu dilakukan bagi mengelakkan salah faham dan berbalas kenyataan media antara kedua-dua pihak berhubung perkara itu.
 
“Saya difahamkan MIC mahu saya bertanding di kerusi Parlimen lain dan tidak mahu saya datang ke sini lagi kerana mereka mendakwa kerusi Parlimen Cameron Highlands adalah milik MIC.
 
“Kalau MIC setuju untuk berbincang, saya tidak ada masalah dan bersikap terbuka. Adalah lebih baik menyelesaikannya secara konsultasi bagi mengelakkan konfrontasi,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi MyPPP di Tanah Rata di sini pada Ahad.
 
Kayveas berkata bagaimanapun beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) sama ada MyPPP atau parti komponen BN lain yang akan diberi peluang untuk bertanding di kawasan berkenaan.
 
“Pucuk pimpinan mesti mengkaji dan menerima maklumat di peringkat akar umbi siapa yang sering turun padang berjumpa dengan rakyat dan calon yang boleh menang serta disenangi oleh pengundi bagi memastikan kerusi Parlimen Cameron Highlands milik BN,” kata Kayveas.
 
Kerusi Parlimen Cameron Highlands kini disandang bekas Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel yang memenanginya pada PRU13.
 
 

Tiada ulasan: