HALAMAN SANTAI

Sabtu, 10 Jun 2017

Kes Zulfarhan: Empat penuntut UNITEN dibebas, sambung pengajian minggu depan

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Empat penuntut Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) yang dibebaskan kelmarin selepas ditahan polis bagi membantu siasatan kes kematian Zulfarhan Osman Zulkarnain, akan kembali memulakan pengajian, minggu depan. 
 
Perkara itu dimaklumkan Naib Canselor UNITEN, Prof Datuk Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha, dalam satu kenyataan di laman sosialnya.
 
Beliau berkata pihak universiti bersyukur dengan pembebasan empat pelajar UNITEN itu. 
 
Katanya, mereka dipercayai tidak terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam kes kematian penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu.
 
"Keluarga empat penuntut UNITEN itu sudah membawa mereka pulang dengan selamat dan mereka akan memulakan pengajian seperti biasa minggu depan," katanya. 
 
Keempat-empat penuntut itu ditahan bersama 32 penuntut UPNM bagi membantu siasatan kes kematian Zulfarhan, pelajar jurusan kejuruteraan elektrik UPNM yang meninggal dunia pada Khamis minggu lalu dipercayai akibat didera. 
 
Keempat-empat pelajar UNITEN itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman berakhir. 
 
Kelmarin, Majistret Sharifah Muhaymin Abd Khalib yang hadir di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang membenarkan reman 32 penuntut UPNM disambung lima hari lagi sehingga Rabu depan. 
 
Dalam kejadian berkenaan, mangsa dilapor cedera parah selepas dipercayai ditekap dengan seterika wap, disebat dengan tali pinggang serta didera oleh sekumpulan penuntut universiti berkenaan pada 20 dan 21 Mei lalu.
 
Mangsa meninggal dunia di Hospital Serdang, kira-kira jam 10 malam pada 1 Jun lalu.
 
 

Tiada ulasan: