HALAMAN SANTAI

Khamis, 15 Jun 2017

Kronologi nahas pesawat TUDM sejak 1991

 
Berikut kronologi insiden melibatkan pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk yang terhempas dan mendarat cemas sejak 1991.


kapal_tudm_nahs_600


22 Oktober 1991: Jurulatih penerbangan terbunuh apabila pesawat Pilatus PC-7 yang dikendalikannya terhempas di Kepala Batas, Kedah.

27 Februari 1992: Dua juruterbang terselamat semasa pesawat Pilatus PC-7 yang mereka naiki mendarat cemas di Padang Sekolah Menengah Sanglang, Kedah.

11 Julai 1993: Juruterbang terbunuh apabila pesawat Pilatus PC-7 yang dikendalikannya terhempas dalam sawah padi Kampung Cemumar, Perlis .

13 Oktober 1993: Dua juruterbang terbunuh apabila pesawat ringan Cessna 402 yang mereka naiki terhempas di Kampung Seputeh dekat Taman Salak Selatan, Kuala Lumpur .

15 April 1996: Pesawat Aermacchi MB-339 milik TUDM terhempas kira-kira 30 batu nautika dari Pantai Mersing, Johor, berhampiran dengan Pulau Yu. Juruterbang terselamat.

17 April 1996: Juruterbang pesawat pejuang F-5E terselamat apabila pesawat itu terbakar dan merempuh halangan keselamatan di penghujung landasan Pangkalan Udara Kuantan, Pahang .

18 Jun 1996: Pesawat Hawk 108 terhempas ketika membuat penerbangan latihan dekat Pangkalan TUDM, Butterworth, Pulau Pinang. Tiada kecederaan.

23 Julai 1996: Pesawat pejuang Hawk terhempas dan meletup di sebuah gaung kecil di luar Lapangan Terbang Labuan, Labuan. Dua juruterbang terselamat.

3 September 1998: Pesawat MiG-29N yang berpangkalan di Kuantan terhempas di selatan Kampung Jaya Gading, Kuantan, Pahang, kira-kira 6.4km dari pangkalannya, tetapi juruterbangnya terselamat.

10 September 1998: Juruterbang terkorban apabila pesawat latihan Hawk 208 dikendalikannya terhempas di Kuala Betis, Gua Musang, kira-kira 200km dari Kota Bharu, Kelantan.

24 Mei 1999: Pesawat Caribou terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak, menyebabkan semua 5 orang di dalamnya terbunuh.

2 Oktober 2000: Pesawat pejuang Hawk 108 terbabas semasa mendarat di Pangkalan TUDM Labuan selepas menjalani latihan penerbangan biasa. Juruterbang terselamat.

10 April 2001: Juruterbang pelatih maut setelah pesawat Pilatus PC-7 yang dikendalikannya terhempas di sawah berhampiran Kampung Kepala Parit, Kedah.

23 Januari 2002: Pesawat Aermacchi MB-339 terhempas di kawasan hutan Tasik Kenering berhampiran Empangan Air Kala di Gerik, Perak. Dua juruterbang terselamat.

12 Ogos 2003: Juruterbang pelatih wanita terbunuh apabila pesawat Pilatus PC-& yang dikendalikannya terhempas di sebuah kebun getah dekat Kampung Lembah Keriang di Sintok, dekat Jitra, Kedah.

18 Disember 2003: Dua juruterbang terbunuh apabila pesawat pejuang Hawk 100 terhempas di perairan Pantai Sepat, Kuantan, Pahang.

27 Mei 2004: Juruterbang pelatih terbunuh apabila pesawat latihan Pilatus PC-7 terhempas berhampiran Kampung Padang Gelanggang, Sanglang, Kedah.

9 November 2004: Pesawat MiG-29N terhempas di ladang kelapa sawit Ketengah Perwira, Kemaman, Terengganu. Juruterbang terselamat.

16 Disember 2004: Juruterbang pelatih dan jurulatihnya terbunuh apabila pesawat Pilatus PC-7 dari Kolej Tentera Udara Diraja Malaysia, Kepala Batas, Kedah, terhempas.

23 Jun 2005: Jet pejuang Hawk 208 terhempas di Pangkalan Udara TUDM Labuan, Labuan, mengorbankan juruterbangnya.

11 Mei 2006: Pesawat latihan Pilatus PC-7 milik TUDM terhempas di kawasan sawah di Kampung Ujung Padang, Kedah. Dua juruterbang terselamat.

4 Mei 2007: Pesawat Hawk 208 terhempas di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang. Juruterbang terselamat.

11 September 2009: Pesawat Pilatus PC-7 Mark II terhempas di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah. Dua juruterbang terbunuh.

25 Mac 2010: Juruterbang terbunuh apabila pesawat Pilatus PC-7 Mark II yang dikendalikannya terhempas di kawasan hutan dekat Kompleks Sukan Universiti Utara Malaysia di Sintok, Kedah.

26 Februari 2016: Pesawat CN235 mendarat cemas di pesisir pantai Kuala Selangor berikutan kerosakan enjin. Semua 8 anak kapal terselamat dengan bantuan nelayan.

17 Mei 2016: Jurulatih dan pelatih terselamat selepas pesawat latihan Aermacchi MB-339CM terhempas di kawasan sawah padi di Kampung Serum, Pekan, Pahang.

4 Oktober 2016: Helikopter Nuri terhempas di atas bumbung Pusat Kemahiran Hidup, Sekolah Menengah Kebangsaan Balong, Tawau, Sabah. Sebanyak 14 anggota tentera cedera.

21 Disember 2016: Juruterbang maut manakala 3 lagi cedera apabila pesawat Beechcraft B200T yang dinaiki mereka terhempas berhampiran Terminal Peluru Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang.

15 Jun 2017: Sebuah pesawat pejuang Hawk 108 dikhuatiri hilang di persekitaran utara Kuantan iaitu di sempadan Terengganu dan Pahang, setelah terputus hubungan pada 11.30 pagi. Dua juruterbang pesawat berkenaan disahkan terkorban dalam tragedi ini.

Tiada ulasan: