HALAMAN SANTAI

Rabu, 14 Jun 2017

Lebih 30,000 banduan dalam tahanan akibat salah guna dadah

Bernama

Jumlah itu mewakili 56 peratus daripada jumlah keseluruhan banduan di negara ini

KUALA LUMPUR: Seramai 33,500 daripada 59,600 banduan yang berada di dalam tahanan penjara di negara ini adalah kerana kesalahan penyalahgunaan dadah.

Pengarah Pengurusan Banduan Jabatan Penjara Malaysia SAC Nordin Muhamad berkata jumlah itu mewakili 56 peratus daripada jumlah keseluruhan banduan di negara ini.

“Apa yang membimbangkan adalah penglibatan warga negara kita dalam isu penyalahgunaan dadah ini. Hanya 11 peratus banduan berkaitan kesalahan ini adalah warga asing,” katanya selepas menjadi panel pada Forum Jihad Memerangi Dadah yang diadakan di sini hari ini.

Forum sehari anjuran Majlis Perundingan Melayu dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) dan Utusan Melayu Bhd itu dihadiri lebih 100 peserta yang diundang khas bagi membincang serta merangka pelan tindakan lebih berkesan dalam menangani isu dadah.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah (Antarabangsa), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Hamizan Haidzir melahirkan kebimbangan terhadap situasi penyalahgunaan dadah di negara ini yang semakin meningkat.

Menurutnya, pada 2016 jumlah tangkapan bagi kesalahan tersebut adalah sebanyak 30,844 individu berbanding 26,000 pada tahun sebelumnya.

“Penyalahgunaan dadah semakin meningkat di seluruh dunia khususnya dengan kemasukan dadah sintetik. Dadah jenis ini memberi kesan kepada sistem tunjang mangsa,” katanya.

Justeru, Hamizan berkata pihak berkuasa akan melipat gandakan usaha dengan meningkatkan kekerapan operasi bagi mengesan dan menangkap mereka yang terlibat.

“Dadah membawa padah. Sebab itulah kerajaan isytihar dadah musuh negara dan perlu diperangi habis-habisan,” katanya.— Bernama

Tiada ulasan: