HALAMAN SANTAI

Rabu, 21 Jun 2017

‘Lebih tali daripada lembu’


‘Lebih tali daripada lembu’
Wan Mohd Nor menunjukkan tapak Balai Bomba Setia Alam kepada Noh.

SHAH ALAM - Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kesal dengan tindakan Kerajaan Negeri Selangor mengenakan premium yang tinggi ke atas tapak projek pembinaan dua balai bomba dan penyelamat di Setia Alam dan Bukit Rahman Putra di Sungai Buloh.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, mereka dilihat seperti cuba mengaut keuntungan atas angin tanpa memikirkan kepentingan rakyat.

Menurutnya, sikap mementingkan diri sendiri kerajaan negeri menyebabkan pembinaan dua balai bomba dan penyelamat itu tertangguh kira-kira dua tahun.

“Saya nak tanya kerajaan negeri, kenapa kenakan premium tinggi iaitu bagi Setia Alam hampir RM5 juta dan premium bagi Bukit Rahman Putra ialah RM2.4 juta sedangkan tanah ini bukan milik kerajaan negeri tetapi milik swasta iaitu pemaju perumahan.

“Bila pemaju nak serahkan (tanah) kepada kerajaan persekutuan, tanah ini memang kena serah kepada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan kena mohon pada kerajaan negeri, jadi kenapa kerajaan negeri nak ambil kesempatan terhadap rakyat Selangor dengan berniaga atas angin sedangkan kerajaan negeri tidak keluarkan duit pun,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak cadangan pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Setia Alam di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.

Mengulas lanjut, Noh berkata, pembinaan balai bomba dan penyelamat di Setia Alam dan Bukit Rahman Putra itu sepatutnya bermula pada 2015 tetapi disebabkan kerajaan negeri mengenakan premium tanah yang tinggi, pembinaan kedua-dua premis kelas D terbabit tertangguh sehingga kini.

“Tindakan kerajaan negeri ini juga diibaratkan seperti ‘lebih tali daripada lembu’ kerana premium yang dikenakan melebihi kos untuk membina kedua-dua balai bomba dan penyelamat ini yang melibatkan kira-kira RM3 juta,” katanya.

Katanya, pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Setia Alam misalnya, akan memberi faedah kepada kira-kira 100,000 penduduk di kawasan itu kerana dijangka dapat mengurangkan tempoh respons antara lapan ke 10 minit berbanding ketika ini iaitu kira-kira 20 minit.

Katanya, ini berikutan, balai bomba dan penyelamat yang paling hampir dengan Setia Alam ialah di Bukit Jelutong dan Seksyen 15 di sini yang lokasinya agak jauh.

"Inilah akibatnya jika kerajaan negeri dikuasai oleh pembangkang sehingga perkara untuk kepentingan rakyat diketepikan.

“Kalau kerajaan negeri diperintah BN saya pasti caj nominal akan dikenakan dan balai bomba ini sudah siap dan dapat digunakan sekarang.

“Pasti kita tak perlu merayu macam ini kalau kerajaan negeri diterajui BN, dan yang rugi sekarang adalah rakyat kerana perkara macam ini pun dipolitikkan kerajaan negeri,” katanya.

Tiada ulasan: