HALAMAN SANTAI

Jumaat, 16 Jun 2017

Lelaki pangkat Datuk dan seorang wanita ditahan palsu dokumen

MalaysiaGazette
Lelaki berpangkat Datuk dan seorang wanita ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang semalam kerana dipercayai terlibat dalam pemalsuan perjanjian jual beli unit rumah projek kondominium di negeri ini.


PULAU PINANG – Dua individu termasuk seorang lelaki berpangkat Datuk yang merupakan Pengarah Urusan sebuah syarikat pemaju perumahan di negeri ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang semalam dipercayai terlibat dalam pemalsuan perjanjian jual beli unit rumah projek kondominium di negeri ini.

Turut ditahan ialah seorang wanita berusia 39 tahun yang merupakan Ketua Bahagian Jualan dan Pemasaran syarikat tersebut.

Lelaki berusia 47 tahun itu ditahan pada pukul 6 petang di pejabat SPRM negeri manakala wanita berkenaan ditahan kira-kira pukul 6.50 petang.

Menurut Pengarah SPRM negeri, Datuk Abdul Aziz Aban, suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan pemalsuan perjanjian jual beli unit rumah itu menggunakan 20 penama sebagai pembeli kuota bumiputera bagi unit-unit kondominium di Batu Feringghi di sini.

Katanya, mereka dipercayai membayar sejumlah wang kepada seorang individu bagi mendapatkan salinan kad pengenalan daripada mana-mana orang yang kononnya sebagai pembeli bumiputera bagi projek perumahan tersebut.

“Pemalsuan ini bertujuan untuk mengurangkan jumlah sumbangan pelepasan kuota bumiputera yang perlu dibayar oleh pemaju kepada kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah beliau, sehingga kini seramai 20 saksi telah dipanggil oleh SPRM untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Dalam pada itu, kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 10.30 pagi ini bagi membolehkan SPRM mendapatkan perintah tahanan reman untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: