HALAMAN SANTAI

Rabu, 14 Jun 2017

Mata pelajaran budi wajib di sekolah, IPT


SINAR ONLINE

rais yatim


KUALA LUMPUR - Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Pendidikan supaya sukatan pelajaran budi atau bimbingan budaya diwajibkan di semua sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Rais yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata, mata pelajaran itu penting sebagai asas pembentukan budaya dan cara hidup rakyat negara ini dalam usaha melahirkan masyarakat yang memiliki ketinggian budaya.

"Selaras dengan Kongres Budaya 2017 baru-baru ini, saya akan menemui Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid pada 15 Jun (Khamis) ini bagi membincangkan sukatan pelajaran budi.

"Kita akan membincangkan skop mata pelajaran ini dari peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian dan kita mahukan silibus budi ini membentuk jati diri bangsa termasuk budi pekerti, saling hormat-menghormati dan amalan gotong-royong," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa UIAM malam tadi.

Beliau berkata, perjumpaan pada Khamis ini akan turut membincangkan cara bimbingan dan penerapan budi dalam kalangan guru dan pendidik terlebih dahulu bagi memastikan penyampaian kepada pelajar lebih berkesan.

Terdahulu, Rais turut menyampaikan bantuan kewangan kepada 19 kakitangan UIAM yang merupakan golongan asnaf, ibu tunggal dan pesakit kanser sebelum bersama-sama menunaikan solat Maghrib dan Isyak di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di kampus universiti itu.

Rais berkata bantuan itu bagi meringankan beban penerima dalam menyediakan persiapan sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut dalam dua minggu lagi. - Bernama

Tiada ulasan: