HALAMAN SANTAI

Jumaat, 16 Jun 2017

Mengapa Pakatan Harapan tak habis-habis berbalah?

 
Oleh Wan Hamidi Hamid

SEMAKIN ramai yang gelisah dengan Pakatan Harapan. Gabungan pembangkang itu dilihat gagal mencapai kata sepakat, gagal menentukan siapa yang patut menjadi pemimpin.

Laporan media, sama ada media massa atau media sosial, bertaburan memetik pemimpin, malah sumber juga menjadi bahan berita. Semuanya menonjolkan pertentangan pandangan yang ketara.

Sebenarnya, dalam menentukan kepimpinan Pakatan Harapan, di saat ini ini belum ada keputusan rasmi. Yang ada setakat ini adalah cadangan di peringkat pimpinan tertinggi parti-parti komponen Pakatan Harapan.

Namun, sebuah portal berita kelmarin melaporkan Bersatu mahu meletakkan Dr Mahathir Mohamad sebagai teraju Pakatan Harapan. Ada pula portal yang mengatakan DAP tidak bersetuju dengan cadangan itu. Malah ada juga wakil PKR dilaporkan tidak menyokong gagasan tersebut.

Semalam pula, ada portal berita yang memetik sumber PKR mengatakan parti itu dalam mesyuarat biro politiknya telah bersetuju agar Mahathir menjadi peneraju jawatankuasa protem Pakatan Harapan yang mahu didaftarkan secara rasmi.

Tetapi beberapa jam kemudian, suara rasmi PKR menafikannya, menjelaskan bahawa biro politik PKR tidak membuat sebarang keputusan tentang perkara tersebut.

Adakah kekecohan dan kegagalan Pakatan Harapan membuat keputusan ini salah pihak media? Adakah media bersalah kerana menyibuk dengan urusan Pakatan Harapan?

Masalahnya, jika semua pemimpin begitu ghairah menumpukan isu siapa yang akan memimpin Pakatan Harapan, sehingga tidak menjuarai isu lain, bukankah itu sahaja yang akan dilihat oleh pihak media?

Jika setiap hari isu itu sahaja menjadi tumpuan utama pemimpin Pakatan Harapan, bukankah itu juga yang dilihat oleh rakyat?

Dalam hal ini, portal berita biasanya melaporkan apa yang mereka rasa penting dan sensasi. Itu tugas media. Suka atau benci, itulah media. Tanpa media, sukar untuk pemimpin politik menyuarakan pandangan mereka.

Yang menjadi persoalannya ialah mengapa sejak sebulan dua ini jarang kedengaran tawaran-tawaran Pakatan Harapan kepada rakyat?

Yang dimaksudkan dengan “tawaran” bukanlah kutukan dan kritikan pembangkang terhadap BN dan Perdana Menteri Najib Razak;  serta isu-isu skandal mega seperti 1MDB dan FGV Felda.

Walaupun semua ini penting, rakyat juga berhak mendengar apa yang ditawarkan oleh Pakatan Harapan kepada mereka. Rasanya rakyat tidak perlu menunggu manifesto parti untuk mengetahui tawaran-tawaran tersebut.

Malah, apabila Najib menawarkan 4.2 juta dekoder percuma bagi siaran televisyen digital kepada penerima BR1M, berita itu menjadi bahan ketawa dan kutukan kebanyakan pimpinan Pakatan Harapan.

Memang tidak salah untuk memperlekehkan cadangan BN itu yang memang pun berbaur dedak. 
Tetapi pada masa yang sama, apa pula tawaran Pakatan Harapan? Cukupkah sekadar mengutuk BN?

Memang Pakatan Harapan telah menyarakan pelbagai cadangan. Tetapi dalam dunia yang berpaksikan media, khususnya media sosial, apa sahaja yang ditawarkan tidak boleh disebut sekali dua sahaja. Ia perlu diuar-uar tanpa henti. Ia perlu dihebah dan dihebohkan oleh semua peringkat kepimpinan parti.

Rakyat perlu sentiasa diingatkan bahawa Pakatan Harapan lebih baik daripada BN. Ia bukan sahaja menawarkan kerajaan yang bersih, bebas rasuah, tidak zalim, jujur, telus serta adil saksama, tetapi juga mengemukakan idea-idea yang jelas dan bernas.

Apabila tawaran-tawaran ini dikemukakan sepanjang masa, ia mampu menghasilkan reaksi di kalangan rakyat. Ia mampu memulakan momentum. Ia akan mula menggerakkan gelombang perubahan.

Sebagai contoh, jika Pakatan Harapan menawarkan 1 juta pekerjaan dalam tempoh 5 tahun, ia bakal menggerakkan perbincangan tentang bagaimana cadangan ini boleh dilaksanakan.

Jika Pakatan Harapan menawarkan penghapusan tol, perlu ada perbincangan di pelbagai peringkat, termasuk di peringkat kampung, tentang bagaimana pembiayaan boleh dibuat bagi melaksanakan cadangan ini.

Jika Pakatan Harapan menawarkan perkhidmatan internet dan wifi yang lebih baik, sepatutnya debat tentang cara melaksanakan usul ini, termasuk kesan-kesan sosial dan impak ekonominya, sudah pun dimulakan.

Malah, jika Pakatan Harapan berterusan mencadangkan agar umur pengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun, dan pendaftaran dilakukan secara automatik, ia mampu mempopularkan tawaran ini apabila golongan muda menyahut cabaran untuk berdiskusi dan berbahas tentangnya.

Apabila berlaku percambahan dialog dan debat tentang tawaran-tawaran Pakatan Harapan, sudah tentu ia akan menarik perhatian media, termasuk media sosial. Ia bukan sembang kosong. Ia bukan angan-angan.

Tentunya ia akan meluaskan skop liputan media kerana wartawan dan editor tidak lagi tertumpu pada satu isu sahaja.

Realitinya, semua ahli politik akan tetap berbalah. Itu fitrah mereka, dan itu bahan sensasi media.

Namun, pada masa yang sama, selain bertikam lidah, mereka perlu sentiasa mengingatkan pengundi tentang tawaran-tawaran mereka.

Jika tidak, pengundi akan hanya melihat pemimpin politik sebagai manusia yang hanya bergaduh sepanjang masa tanpa sebarang penyelesaian. Dan rakyat mudah meluat dengan gelagat sedemikian.

Tidak salah untuk Pakatan Harapan berbalah, asalkan pimpinan tidak lupa untuk turut menguar-uar tawaran tanpa henti kepada rakyat

Tiada ulasan: