HALAMAN SANTAI

Sabtu, 17 Jun 2017

MTUC gesa bank tawar B40, M40 pinjaman tanpa faedah

 
MTUC juga meminta kerajaan melanjutkan konsesi cukai kepada bank bagi mengalakkan mereka menawarkan pinjaman pada kadar faedah 0%.


J-solomon-mtuc


PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa institusi perbankan menyediakan kemudahan pinjaman perumahan pada kadar faedah 0% bagi pekerja dalam kategori pendapatan B40 dan M40 bagi memiliki rumah.

Sehubungan itu, pergerakan kesatuan sekerja itu juga mahu kerajaan menggalakkan pihak bank mengambil langkah yang diperlukan bagi membantu mereka dalam kumpulan pendapatan B40 dan M40.

Setiausaha Agung MTUC J Solomon berkata, pihaknya berharap kementerian kewangan akan mengarahkan semua bank berganding bahu dengan kerajaan dalam memenuhi agenda negara dan tanggungjawab sosial korporat bank.

Beliau yang juga setiausaha agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank berkata, pihak bank boleh menyediakan pinjaman perumahan sehingga RM500,000 dan pinjaman peribadi 10 kali gaji asas bulanan.

Malah katanya, pinjaman perumahan yang disyorkan itu untuk pemilikan rumah pertama dan pinjaman peribadi pula untuk digunakan sebagai kemudahan bayaran asas.

“Kami juga telah meminta kerajaan agar melanjutkan konsesi cukai kepada bank bagi menggalakkan mereka menawarkan kemudahan pinjaman sifar kadar faedah dan dengan itu, kami yakin usaha ini akan mendapat sambutan positif daripada pihak bank,” katanya dalam kenyataan media.

Menurut Solomon, langkah itu apabila dilaksanakan akan mengatasi masalah sosial dan kekecewaan yang boleh membawa kepada kesan sosial yang lain.

“Kami juga yakin kemudahan ini akan membolehkan golongan yang berpendapatan rendah membina kehidupan yang berkualiti untuk diri mereka dan juga keluarga masing-masing.”

Mengulas lanjut, Solomon berkata, kos sara hidup yang tinggi dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu dan kesan pelaksanaan GST mengakibatkan implikasi serius dan beban yang pelbagai ke atas golongan berpendapatan rendah.

“Harga hartanah pula meningkat dengan ketara kebelakangan ini. Oleh itu, untuk mendapatkan pinjaman perumahan dalam konteks itu amat sukar akibat tidak cukup upaya untuk membayar balik pinjaman.

“Meskipun memiliki rumah impian bagi setiap rakyat, malah ia juga aspirasi kerajaan, malangnya pada hari ini merealisasikan impian itu adalah mustahil disebabkan kos sara hidup dan faedah pinjaman yang tinggi serta disebabkan bayaran ansuran pinjaman yang besar,” kata beliau.

Tambah beliau, sewa rumah pula dinaikkan secara berkala di mana pemilik mengambil kesempatan daripada masalah kewangan dan permintaan demi keuntungan mereka sendiri.

Selain itu, mereka yang berpendapatan rendah berdepan masalah serius kerana kos sara hidup terus meningkat.

“Pendapatan mereka tidak cukup walaupun hanya untuk memenuhi keperluan asas kehidupan masing-masing,” katanya.

Bagi menangani masalah itu, kata Solomon, mereka mendampingi “ah long” untuk mendapatkan pinjaman pada kadar faedah yang sangat tinggi atau mengambil bahagian dalam skim cepat kaya yang seringkali mereka tertipu.

Malah, keadaan itu memburukkan lagi pendapatan yang mengecil, di mana bukan sahaja menyebabkan masalah ekonomi, tetapi juga kesan sosial yang serius.

Tiada ulasan: