HALAMAN SANTAI

Rabu, 14 Jun 2017

Musa gesa kerajaan tubuh majlis bekas IGP


Bekas ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan menggesa kerajaan menubuhkan sebuah Majlis Bekas Ketua-Ketua Polis Negara bagi membantu menangkis fitnah terhadap pasukan itu.

Beliau berkata, pasukan polis kini berdepan cabaran besar dengan kewujudan media sosial dan penyebaran maklumat yang salah serta bertujuan untuk memburukkan imej PDRM.

"Saya yakin dengan kewujudan majlis seperti ini, bekas-bekas IGP sebelum ini boleh sedikit sebanyak membantu PDRM berdepan cabaran khususnya melibatkan fitnah dan hasutan yang memburukkan imej pasukan itu.

"Ada pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan banyak maklumat salah berkenaan polis khususnya mereka yang mahu meletakkan imej buruk kepada PDRM dengan tujuan yang salah," katanya dalam kenyataan.

Musa berkata kebelakangan ini terdapat pihak memuat naik rakaman video ke media sosial bagi memburukkan imej polis sedangkan kejadian sebenar berbeza daripada yang disebarkan.

"Majlis berkenaan akan bertindak memberikan penjelasan dan mempertahankan imej polis kerana kita percaya PDRM tetap kuat dan melaksanakan amanah negara dengan penuh integriti dan ketegasan.

"Mereka yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan kewujudan media sosial, membuat fitnah, menghasut serta memperlekeh tugas polis sehingga membuatkan keyakinan rakyat terhadap pasukan beruniform itu tergugat," katanya.

Beliau berkata, selain itu, majlis berkenaan juga boleh digunakan sebagai platform menyebarkan kesedaran mengenai bahaya jenayah kepada orang ramai.

"Integriti dan kekuatan PDRM akan terus dipertahankan melalui penubuhan majlis berkenaan," kata Musa.


Tiada ulasan: