HALAMAN SANTAI

Isnin, 12 Jun 2017

Najib: Keamanan Malaysia bukan kebetulan, sebaliknya pengorbanan

Najib berkata kemananan berlaku kerana kerajaan ‘berani’ menggunakan dasar pencegahan awal dalam menangani keganasan.


najib-speech


KUALA LUMPUR: Keamanan yang dikecapi pada masa ini bukanlah “secara kebetulan” tetapi berkat pengorbanan pasukan keselamatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, keadaan ini menyebabkan Malaysia tidak terlibat dalam serangan pengganas seperti yang disaksikan di kota-kota lain seluruh dunia.

“Setiap kali melihat (berita) serangan di televisyen, di Manchester (dan) Marawi, saya takut berlaku (di Malaysia). Tetapi ia tidak berlaku.

“Tidak, ia tidak berlaku bukan kerana kebetulan…(tetapi) kerana pengorbanan pasukan keselamatan kita,” katanya pada program Jalinan Ramadan bersama Pasukan Beruniform dan Pergerakan Wanita Umno Malaysia di PWTC hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kedudukan Malaysia yang naik 1 tangga di nombor 29 dalam Indeks Keamanan Global 2017.

Indeks yang melibatkan 163 negara itu juga meletakkan Malaysia sebagai negara ke-5 paling aman di rantau Asia Pasifik, selepas New Zealand, Australia, Jepun dan Singapura.

Najib juga berkata ia berlaku kerana kerajaan “berani” menggunakan dasar pencegahan awal dalam menangani keganasan.

“Kerajaan pimpinan Umno berkata anda dibenarkan mengambil pencegahan awal. Sebab itu ia tidak berlaku,” katanya.

Antara undang-undang yang digubal kerajaan atas sebab pencegahan awal keganasan adalah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Undang-Undang Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) yang dikritik sesetengah pihak kerana membenarkan penahanan tanpa bicara.

Mengaitkan dengan Ramadan, beliau sempat berjenaka dengan berkata, satu-satunya “ancaman” adalah ajakan berswafoto ketika solat tarawih di masjid.

“Pemimpin kita dapat solat di masjid dengan rasa selamat…cuma susah apabila orang nak ‘berselfie’ saja,” katanya mengundang ketawa hadirin.

Kemenangan Perang Badar ketika Ramadan.

Presiden Umno juga mengulang gesaan agar semua pihak mengamalkan prinsip wala’ (kesetiaan) kepada pemimpin dengan memberi contoh kisah Perang Badar dan Uhud dalam sejarah Islam.

Beliau berkata umat Islam berjaya mencapai kemenangan dalam Perang Badar walaupun dalam keadaan berpuasa dan jumlah tentera yang jauh lebih sedikit daripada pihak musuh.

“Berbeza dengan Perang Uhud, umat Islam tidak berpuasa tetapi tewas…prinsip yang berbeza (antara 2 perang) adalah taat kepada kepimpinan.

“Ketika Perang Uhud, umat Islam berebut harta (rampasan perang) dan tidak mengikut arahan. Ini menjadi pengajaran kepada kita,” katanya.

Tiada ulasan: