HALAMAN SANTAI

Rabu, 14 Jun 2017

PAS sungguh-sungguh ‘mangsakan’ DAP tapi tutup mulut ‘kemungkaran’ UMNO


Oleh

GEORGE TOWN: PAS perlu bersikap waras apabila mengeluarkan sebarang kenyataan kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Beliau juga meminta PAS supaya belajar mengenai urusan pentadbiran kerajaan sebelum membuat sebarang kesimpulan dan dakwaan.

Guan Eng melahirkan rasa kesal ketika mengulas dakwaan PAS negeri itu yang dilihat cuba memburuk-burukkan pentadbiran Pakatan Harapan mengenai isu perjudian yang kononnya berleluasa di Pulau Pinang.
“Sekiranya ada pusat judi haram, hanya polis boleh mengambil tindakan.

“Saya telah sebutkan bahawa pihak Kerajaan Negeri sememangnya bersetuju untuk bekerjasama dengan memberi sokongan dan bantuan kepada polis menerusi Kerajaan Tempatan.

“Kalau sehingga sekarang pun masih tak faham, macam mana nak menjadi kerajaan pemerintah. Mungkin itulah sebabnya Kelantan sekarang adalah negeri muflis, kerana mereka (PAS) tidak tahu langsung tentang ekonomi dan juga urusan pemerintahan,” kata Setiausaha Agung DAP itu.

Dalam perkara berkaitan Guan Eng turut melahirkan rasa hairan mengapa PAS Pulau Pinang tidak pula mengkritik ‘cadangan’ ahli parlimen UMNO Padang Besar untuk membina kasino di negeri itu.

“Mengapa mereka (PAS) tidak kritik Ahli Parlimen Padang Besar yang ‘mencadangkan’ untuk membina kasino dekat Pulau Pinang?

“Cadangan ini dibuat oleh seorang Ahli Parlimen UMNO, tapi tidak pula dikutuk oleh pemimpin PAS, 
sebaliknya dia (PAS) pula cari isu yang bukan-bukan yang memang bukan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

“Kita (Kerajaan Negeri) sememangnya menolak keras pembinaan kasino di sini (Pulau Pinang),” katanya lagi. – Roketkini.com


Tiada ulasan: