HALAMAN SANTAI

Rabu, 7 Jun 2017

Peguam negara: Kerajaan akan fail rayuan kes bunuh Bill Kayong

ANTARAPOS.COM

Post Pic


PETALING JAYA: Kerajaan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan pembebasan tiga lelaki yang didakwa bersubahat dalam kes pembunuhan aktivis Bill Kayong, kata Peguam Negara.

Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang juga pendakwa raya memberitahu FMT melalui WhatsApp: “Pihak pendakwaan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan pembebasan itu.”

Mereka mempunyai 14 hari untuk memfailkan notis rayuan.

Beliau mengulas gesaan sekumpulan peguam jenayah supaya kerajaan mengemukakan rayuan terhadap kes itu jika ia sensitif terhadap tanggapan umum.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Miri, Ravinthran N Paramaguru dilaporkan berkata, pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti secukupnya mengenai penglibatan ahli perniagaan, Datuk Stephen Lee Chee Kiang dan pembantu peribadinya Chin Wui Ching, 50, serta pemilik pub Lie Chang Loon, 37, yang dituduh bersuhabat dalam pembunuhan Bill.

Sehubungan itu, mereka dibebaskan tanpa diarah membela diri.

Bagaimanapun, Ravinthran memerintahkan Mohamad Fitri Pauz, 30, yang dituduh menembak mati Bill di persimpangan lampu isyarat berhampiran sebuah pasar raya di lencongan Jalan Kuala Baram, pada 21 Jun 2016, membela diri.

Ahli keluarga dan rakan Bill bersama sekumpulan aktivis hak Dayak mengadakan protes di luar Mahkamah Tinggi Miri, semalam, kerana marah dengan pembebasan Lee yang dikatakan dalang dalam pembunuhan itu.

Bill, 43, atau nama Islamnya, Mohd Hasbie Abdullah merupakan Setiausaha PKR Miri dan aktif memperjuangkan tanah adat daripada dirampas untuk penanaman kelapa sawit di Sungai Bekelit.

Pembunuhannya dipercayai ada kaitan dengan tindakannya memperjuangkan isu sosial, khasnya hak Orang Asal dan isu tanah.

Lee yang meninggalkan Miri dan pergi ke Singapura dua hari selepas kejadian itu, kemudiannya dilaporkan melarikan diri ke Australia.

Sementara itu, FMT difahamkan Pengarah Pendakwaan Sarawak, Kamal Bahrain Omar sedang menyediakan laporan untuk Apandi berhubung bukti yang dikemukakan di mahkamah yang menyebabkan tiga lelaki itu dibebaskan dan Fitri diarah membela diri.

Tiada ulasan: