HALAMAN SANTAI

Isnin, 12 Jun 2017

‘Penduduk Gaza merana jika negara Arab, Qatar henti bantuan’

 
Pengerusi Lembaga Pengarah Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) berkata, tindakan negara Asia Barat bertelagah sehingga memutuskan hubungan dengan Qatar hanya akan menguntungkan Israel.


gaza

PETALING JAYA: Tindakan beberapa negara Teluk memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar akan memberi kesan besar kepada pembangunan semula di Gaza, kata Viva Palestina Malaysia.

Bendaharinya, Norma Hashim berkata, sekatan dikenakan negara Arab terhadap Qatar akan menyebabkan penduduk Gaza merana sekiranya program bantuan dihentikan.

“Saya sangat bimbang mengenai kesan terhadap bantuan yang bakal dihantar ke Gaza. Kita sedia maklum ekonomi di Gaza ketika ini terhenti. Bahkan, ia menyebabkan bantuan barangan dan perkhidmatan kepada penduduk Gaza tersekat.

“Penduduk Gaza merana, mereka hidup dalam sekatan sejak bertahun-tahun lamanya. Ketika ini, mereka hanya peroleh bekalan elektrik selama 3 jam sahaja sehari,” katanya kepada FMT hari ini.

Qatar dilihat salah satu penyumbang terbesar untuk membangunkan semula Palestin dari segi infrastruktur yang mengalami kerosakan teruk sejak berperang dengan Israel pada 2014.

Selepas 2014, Qatar yang merupakan negara kaya dengan hasil minyak berjanji menyumbang AS$1 bilion untuk pembinaan semula Tebing Gaza dan Bank Dunia melaporkan tuan rumah Piala Dunia Fifa 2022 itu sudah mengagihkan AS$216 juta kepada Gaza, sehingga Disember 2016.

Pengerusi Lembaga Pengarah Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Muslim Imran turut menyuarakan kebimbangan sama.

Beliau yang menyifatkan ia perkembangan menyedihkan berkata, tindakan negara Asia Barat be
rtelagah sehingga memutuskan hubungan dengan Qatar hanya akan menguntungkan Israel.

“Tindakan ini mengukuhkan lagi kedudukan Israel di negara Arab. Israel akan merasakan mereka berhak menyerang Palestin dan mengambil kesempatan dari negara Arab yang tidak bersatu,” katanya yang berharap beberapa negara Arab itu terus menyokong dan membantu Palestin.

“Perkembangan Arab Saudi ini secara langsung akan beri kesan negatif buat Qatar. Namun, saya percaya Qatar akan terus memberi sumbangan buat Gaza. Kami percaya tindakan Qatar untuk membantu Palestin masih akan terus mendapat sokongan dari negara-negara Arab.”

Pada 5 Jun lalu, Yaman dan kerajaan timur Libya menyertai Arab Saudi, Mesir, Bahrain serta Emiriah Arab Bersatu memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar yang didakwa menyokong kumpulan militan.

Riyadh, Kaherah, Abu Dhabi dan Manama bertindak menutup ruang udara kepada pesawat Qatar.

Negara Teluk dan Mesir sekian lama geram dengan sokongan Doha kepada gerakan Islam tertentu, terutamanya Ikhwanul Muslimin yang dianggap seteru politik berbahaya.

Riyadh turut menuduh Qatar menyiarkan ideologi kumpulan tersebut melalui media mereka, dipercayai merujuk kepada Al Jazeera.

Sehingga kini, Malaysia masih mengambil sikap tunggu dan lihat, sebelum membuat sebarang keputusan mengenai hubungan dengan Qatar.

Tiada ulasan: