HALAMAN SANTAI

Selasa, 20 Jun 2017

Penggiat seni kena bantu kerajaan atasi buli, masalah sosial

MalaysiaGazette.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Seniman, Budayawan, Sasterawan dan Penyiar di Seri Perdana, Putrajaya. foto IQBAL BASRI

PUTRAJAYA – Penggiat seni dan karyawan perlu berperanan menanamkan nilai-nilai murni dalam karya mereka bagi mengatasi masalah vandalisme dan buli dalam masyarakat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan bukan sahaja mahu membangunkan infrastruktur semata-mata bahkan mahu melahirkan sumber manusia yang mempunyai jati diri.

“Saya setuju ada kelompongan dalam masyarakat kita hari ini dan ini menjadikan proses pembangunan negara kita belum lagi kukuh.

“Kita bukan saja nak membangunkan lebuh raya, keretapi laju dan bangunan pencakar langit, tetapi kita nak membangunkan tamadun yang tinggi nilai murninya,” katanya dalam Majlis Berbuka Puasa bersama penggiat seni dan karyawan di Seri Perdana di sini petang tadi.

Beliau mengulas insiden buli yang membawa maut dan terkini melibatkan seorang remaja lelaki, T. Nhaveen, didakwa diseksa sekumpulan lelaki di Jalan Kaki Bukit Gelugor, Pulau Pinang pada minggu lepas.

Nhaveen, 18, mengalami kecederaan parah hingga mati otak dan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang, Khamis lalu.

Mengulas lanjut, Najib juga berharap golongan penggiat seni dan karyawan dapat membantu kerajaan memperkukuhkan masyarakat melalui karya seni mereka.

“Saya berharap di sinilah peranan penggiat-penggiat seni yang boleh membantu kita supaya asas masyarakat dan perpaduan ini boleh kita letakkan dengan pengisian-pengisian yang lebih mulai dalam masyarakat kita.

“Mesej ini boleh diterapkan dalam penghasilan yang dapat dilakukan oleh tuan-tuan dan puan-puan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.


Tiada ulasan: