HALAMAN SANTAI

Isnin, 12 Jun 2017

Perlekeh Melayu, pemimpin negara boleh buat saya marah, kata Mat Over

DALIA ISMAIL

 Sulaiman Yassin

Orang Melayu perlu menanamkan semangat cintakan bangsa dan mempertahankan negara daripada anasir yang boleh memecahbelahkan perpaduan kaum dan parti politik dalam negara, kata pelakon dan pelawak Sulaiman Yassin.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Over melahirkan sedikit kekesalan dengan situasi masa kini apabila ramai generasi muda ujarnya, tidak mengambil berat untuk peka dengan politik semasa dan menggunakan hak masing-masing sebagai pengundi.

"Kita merangkak dari bawah untuk bina negara ini,sebab itu jika ada orang memperlekehkan orang Melayu dan pemimpin negara saya marah.

"Jangan cakap pasal Melayu tetapi tiada semangat kemelayuan. Jangan nanti negara tergadai kita pula yang menyesal kemudian hari.

"Generasi sekarang banyak terdedah dengan media sosial yang menyebabkan mereka lalai. Mereka tidak sedar jika lalai,negara ini akan tergadai.

"Mereka tiada tumpuan untuk sentiasa peka dengan perkembangan politik masa kini. Mereka mungkin sukar untuk memahami kerana segala-galanya sudah tersedia, berbeza pada zaman saya dahulu, sukarnya untuk hidup, ke sekolah berjalan kaki berbatu-batu," ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau  ditemui pada  Majlis Berbuka Puasa Anak Terengganu di Perantauan bersama Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan pimpinan Negeri di Putrajaya pada Sabtu.

Dalam majlis diadakan itu beliau dijemput sebagai pengacara majlis yang turut dihadiri lebih kurang 10,000 perantau anak Terengganu.

Sulaiman Yassin

Sulaiman,65, mula dikenali dan menjadi popular sebagai artis setelah membawa watak Mat Over dalam sitcom 'Pi Mai Pi Mai Tang Tu pada era 80-an.

Namun insiden yang berlaku dalam Program Dialog TN50 Bersama Perdana Menteri: Segmen Penggiat Seni (Budayawan) pada 16 Mei lalu,menimbulkan pelbagai persepsi di kalangan penyokong parti apabila  Mat Over  meluru 'menampar' penerbit Filem dan Drama Datuk David Teo di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Kemudian keesokan hari, tersebar pula papan iklan beliau akan menghadiri Program Hari Belia di Padang Kampung Kuala Menjing, Hulu Terengganu.

Ini mengukuhkan lagi persepsi rakyat insiden berlaku itu kononnya dirancang untuk memberi 'political mileage' kepada Najib.

Mengulas mengenai insiden berlaku, Sulaiman mendakwa ada pihak memanipulasi insiden itu untuk menanamkan bibit kebencian terhadap seorang perdana menteri dan keharmonian kaum di negara ini.

"Papan iklan itu sudah dibuat lebih awal sebelum insiden berlaku. Saya sebagai anak kelahiran Terengganu sudah lama aktif dalam majlis-majlis keraian dan program kerajaan negeri, tetapi ramai orang tak tahu.

"Saya kerap diundang menjadi pengacara majlis,kadangkala diminta menyanyi dan berlawak di pentas dalam program yang dianjurkan kerajaan negeri.

"Setiap kali tiba pilihan raya pula, saya kerap dipanggil untuk menyertai kempen calon membuat persembahan atau menjadi pengacara majlis.

"Orang salah anggap. Dia (Najib) manusia biasa macam kita. Ketika dia masih jadi Ketua Pemuda Umno Malaysia saya banyak mengikuti aktiviti pemuda yang diadakan.

"Dulu berlaku juga insiden Lee Kim Sai (Tan Sri Lee Kim Sai bekas presiden MCA 1986-1996) yang pernah memperlekehkan orang Melayu sehingga menyebabkan kemurkaan Sultan Selangor.

"Saya ketika itu sudah berada di belakang Najib menyokong perjuangan pergerakan pemudanya walaupun dia tidak pernah mengenali saya.

"Saya juga pernah jadi 'bodyguard' (pengawal peribadi) Harun Idris (Datuk Harun Idris, bekas MB Selangor dari 1964-1976). Mungkin ramai yang tidak tahu Allahyarham ada 40 bodyguard, saya salah seorang yang pernah berkhidmat untuknya, ketika itu saya masih muda.

"Saya hidup pada zaman Tunku (Allahyarham Tunku Abdul Rahman) dan saya sudah lalui kehidupan ini dengan beberapa pemimpin negara sebelum Najib.

" Apa yang saya lalui di zaman muda saya itu, membezakan saya dengan generasi muda masa kini, bila menyentuh hal-hal politik dan rasa hormat pemimpin," ujarnya.

Beliau mengakui pernah ditawarkan untuk aktif berpolitik tetapi menolaknya kerana jiwa beliau lebih kepada minat mengembangkan kerjaya seni.

Tambahnya lagi, "mana-mana persatuan atau pertubuhan, mana yang tidak pernah bergolak? Itu biasa berlaku.

"Tetapi bagaimana pula cara kita mengawal situasi berlaku itu untuk kembali bersatu, pemimpin kenalah bijak," ujarnya ketika menjawab mengenai persoalan perpecahan  Umno parti keramat orang Melayu itu hingga wujudnya parti serpihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kini menyertai Pakatan Harapan untuk menentang Umno-BN.

Tiada ulasan: