HALAMAN SANTAI

Ahad, 18 Jun 2017

Persiapan PRK Pujut tidak sia-sia - Hishammuddin

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR:  Menteri dengan Tugas-tugas Khas, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata, persiapan yang telah dilakukan untuk pilihan raya kecil (PRK) di kawasan Pujut akan diteruskan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU14) akan datang.
 
Katanya, meskipun Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan untuk mengekalkan Dr Ting Tiong Choon (DAP) sebagai ADUN Pujut, Barisan Nasional (BN) tidak menganggap persediaan mereka sebagai satu perkara yang sia-sia.
 
"Rayuan...kita melalui saluran yang sedia ada tetapi akhirnya kita terpaksa berdepan dengan PRU pun, jadi apa yang telah kita lakukan untuk persiapan pilihan raya di Pujut tu tak sia-sia kerana kita akan gunakan untuk parlimen Miri nanti.
 
"Jadi saya tengok semua yang kita buat sekarang ni ada hikmah dia, kelebihan dia dan kalau kita ambil kesempatan persiapan itu untuk melihat kepada agenda yang lebih besar iaitu untuk memastikan kemenangan semua calon-calon kita dalam PRU14 tu, saya rasa apa yang kita lakukan hari ini dalam panduan PRU14 juga merupakan sebahagian daripada usaha kita untuk mempersiapkan diri kita menjelang PRU14," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Taklimat Panduan PRU14 di Pusat Dagangan DUnia Putra (PWTC) di sini.
 
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuching semalam yang memutuskan untuk mengembalikan semula status Ting sebagai ADUN Pujut.
 
Ia susulan DUN Sarawak pada 12 Mei lalu memutuskan bahawa Ting telah hilang kelayakan sebagai wakil rakyat kerana didakwa mempunyai kerakyatan Australia.
 
Perkara itu bagaimanapun telah ditarik balik oleh mahkamah semalam selepas meneliti kehilangan kelayakan Ting tidak sah atas pelbagai sebab, justeru menjadikan PRK di DUN Pujut pada 4 Julai ini, terbatal.
 
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataannya semalam akur dengan perintah mahkamah dan akan mengadakan mesyuarat khas bagi memuktamadkan keputusan yang melibatkan tarikh-tarikh yang telah ditetapkan sebelum ini.
 
 

Tiada ulasan: