HALAMAN SANTAI

Selasa, 20 Jun 2017

PKR: Warga kastam dikambinghitamkan

MALAYSIAKINI


Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mencadangkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani meminta maaf kepada seluruh warga kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di seluruh negara.

"Saya bersimpati dengan ketua pengarah JKDM serta seluruh kakitangan jabatan yang secara terang-terangan dikambinghitamkan atas keputusan yang tidak popular itu.

"Sedangkan usul untuk meluluskan cadangan mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas 60 barang makanan itu dibentangkan oleh menteri kewangan sendiri di sesi Dewan Rakyat yang lalu.

"Saya ingat kerana saya berada di dalam Dewan Rakyat ketika Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Wira Othman Aziz bangun membentangkan usul tersebut," katanya dalam kenyataan.

Semalam, JDKM mengumumkan pembatalan pelaksanaan GST untuk lebih 60 bahan makanan yang sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Julai ini setelah perkara itu merujuk Perintah Cukai GST (Pembekalan Kadar Sifar) (pindaan (No.2) 2017 yang diwartakan pada 6 Jun tahun ini.

Terdahulu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan laporan media mengenai cadangan pelaksanaan GST ke atas lebih 60 bahan makanan mulai bulan depan.

Antara barangan baru yang akan dikenakan GST termasuk belut, ikan todak dan buah-buahan yang diimport seperti avokado, buah ara, anggur, nectarines, ceri dan beri manakala sayur-sayuran seperti kentang, kacang panjang, kacang, bayam dan jagung manis pula dikeluarkan daripada senarai GST berkadar sifar.

Jika rancangan itu dilaksanakan, barangan lain termasuk bihun, kuetiau, mi laksa dan minyak kelapa juga akan dikenakan cukai enam peratus yang telah diperkenalkan kerajaan sejak April 2015 itu.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, Datuk Seri Najib Razak selaku menteri kewangan dan Johari perlu bertanggungjawab ke atas keputusan mengenakan GST kepada 60 barang makanan walaupun ditarikh balik di saat akhir.

"Adalah sangat tidak bertanggungjawab dengan mencuci tangan dan menyalahkan JKDM setiap kali keputusan kerajaan mengutip GST dibantah rakyat kerana keputusan mengutip GST itu datangnya dari menteri kewangan dan hanya dilaksanakan oleh JKDM," jelas beliau lagi.

Rafizi juga mendakwa beliau terkejut dengan kenyataan Johari yang memberi gambaran keputusan menguat kuasakan GST ke atas 60 barang makanan adalah tindakan tergopoh gapah JKDM tidak dirujuk kepada Kementerian Kewangan terlebih dahulu.

Tiada ulasan: