HALAMAN SANTAI

Ahad, 18 Jun 2017

Polemik ‘cukai katil’ kaburi mata rakyat dari isu rasuah BN


 Oleh

 
Tanpa Lembaga Pelancongan Malaysia atau tidak, Sarawak tetap dikenakan cukai pelancongan sebab enam Menteri Kabinet dari Sarawak dan 25 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Sarawak tidak membantah cadangan ini. Mana pergi mereka?

Ketika cadangan untuk melaksanakan cukai pelancongan ini dibawa ke peringkat Kabinet Persekutuan, kenapa enam orang Menteri dari Sarawak iaitu Fadillah Yusof (Kerja Raya), Wan Junaidi (Sumber Asli dan Alam Sekitar), Rohani Karim (Pembangunan Masyarakat, Keluarga dan Wanita), Richard Riot (Sumber Manusia), Nancy Shukri (Jabatan Perdana Menteri) dan Joseph Entulu Belaun (Jabatan Perdana Menteri) tidak membantah?

Kerana tiada bantahan, maka Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Nazri Aziz membentangkan Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan di Parlimen. Ketika rang undang-undang tersebut di undi pada lewat malam sesi Persidangan Dewan Rakyat yang lalu, kenapa tidak ada seorang pun dari 25 wakil rakyat BN Sarawak tidak membantah cadangan tersebut? Wakil rakyat dari Pakatan Harapan semua menolak rang undang-undang ini.

Di peringkat Dewan Rakyat, kita ada 25 wakil rakyat BN dari Sarawak yang terdiri daripada PBB (Fadillah Yusof, Wan Junaidi, Rohani Karim, Nancy Shukri, Alexander Nanta Linggi, James Dawos Mamit, Henry Sum Agong, Rubiah Wang, Douglas Uggah Embas, Norah Abdul Rahman, Abdul Wahab Dollah, Ahmad Lai Bujang, Muhd Leo Michael Toyad dan Hasbi Habibollah), PRS (Joseph Entulu Belaun, Masir Kujat, Joseph Salang Gandum, William Nyalau Badak, Wilson Ugak Kumbong dan Aaron Ago Dagang), SPDP (Anthony Nogeh Gumbek, Tiong King Sing dan Anyie Ngau), SUPP (Richard Riot Jaem) dan Teras (William Mawan Ikom). Kenapa mereka ini senyap seribu bahasa?

Bila diluluskan dengan suara majoriti di Dewan Rakyat selepas bacaan kali ketiga, maka rang undang-undang tersebut di bawa ke peringat Dewan Negara. Dalam Dewan Negara, kenapa tidak ada seorang pun senator-senator dari BN Sarawak yang membantah rang undang-undang ini. Antara senator dari BN Sarawak adalah Sim Hui Kian (Presiden SUPP), Lihan Jok (PBB) dan Zaidi Suhaili (PBB).

Jadi, dalam hal ini, saya tak salahkan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah. Hal ini kerana beliau baru sahaja menjadi Menteri dan ketika cadangan itu dikemukakan dan rang undang-undang tersebut diluluskan di peringkat Parlimen, beliau cuma seorang Menteri Muda Perumahan dan Menteri Muda Belia dan Sukan. Maka secara tidak langsung, kuasa beliau cuma terhad sebagai seorang Menteri Muda. Cuma yang patut dipersoalkan, kenapa Abang Jo tidak bertindak untuk mengarahkan 25 wakil rakyat BN Sarawak menolak rang undang-undang tersebut?

Sekarang, apabila perang mulut antara Nazri dan Karim menjadi tular di media massa dan laman media sosial, kerajaan Sarawak yang dipimpin oleh Abang Johari hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi untuk menarik diri dari Lembaga Pelancongan Malaysia. 

Persoalannya, bukankah satu pengumuman telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan Persekutuan awal bulan Januari tahun ini agar setiap negeri menguruskan hal ehwal pelancongan masing-masing sebagai langkah untuk menjimatkan kos operasi kementerian? Kenapa sekarang kerajaan Sarawak baru bertindak untuk menarik diri?

Jika mengambil kira pengumuman yang telah dibuat oleh kerajaan Persekutuan maka tindakan kerajaan Sarawak menarik diri dari Lembaga Pelancongan Malaysia bukanlah sesuatu yang baru. 
Bukankah ini satu retorik politik untuk mengaburi mata rakyat? Rakyat Sarawak terpinga-pinga akan kemelut politik yang terjadi dan tidak diberitahu akan perkara sebenar.

Penarikan diri kerajaan Sarawak dari Lembaga Pelancongan Malaysia tidak memberi sebarang kesan. Tidak merugikan dan tidak juga menguntungkan. Hal ini kerana cukai pelancongan akan tetap dikenakan kepada hotel-hotel di Sarawak berkuatkuasa mulai 1 Julai ini.

Nampak tak permainan mereka di situ? Apakah motif sebenar BN Pusat dan BN Sarawak? Adakah mereka sengaja menimbulkan satu polemik politik untuk mengaburi mata rakyat dari isu yang melanda di negara kita dan sengaja mempermainkan perasaan rakyat Sarawak? Adakah mereka ingat bahawa rakyat Sarawak ini ibarat tikus makmal yang digunakan untuk tujuan eksperimen politik?

*Abdul Aziz Isa merupakan Setiausaha Publisiti DAPSY Petra Jaya & Pembantu Khas Ahli Parlimen Bandar Kuching


Tiada ulasan: