HALAMAN SANTAI

Ahad, 11 Jun 2017

Politik Dan Sukan Harus Segera Berpisah

Fuad Shahdan

Sukan


Sukan merupakan satu cabang bidang yang mendapat perhatian meluas di Malaysia dan sukan sering diberi tumpuan penting oleh Kerajaan dalam usaha membangunkan kehidupan masyarakat yang lebih sihat di samping memberikan kesempatan kepada golongan muda untuk membuktikan kelebihan.

Sukan dilihat sebagai alat perpaduan kaum dan sentiasa mampu membawa seluruh negara bersatu ketika menyokong pasukan Malaysia.

Pencapaian sukan di Malaysia secara keseluruhannya boleh disifatkan berada pada tahap sederhana dan hanya sesetengah sukan sahaja yang benar-benar mampu memberikan pingat di temasya sukan utama dunia seperti Olimpik.

Antara kategori sukan yang boleh disifatkan berjaya ialah badminton, berbasikal, hoki, terjun dan skuasy.
Walaupun sukan-sukan yang tersenarai ini bukanlah menjadi sukan utama bagi rakyat Malaysia seperti bola sepak, namun keupayaan untuk sukan-sukan ini membangun dan membanggakan negara wajar diberikan penghargaan.

Sewaktu kita bercakap tentang kejayaan dan kegagalan dalam sukan, jelas kita tidak dapat memisahkan perkara ini dengan aspek pengurusan sukan yang berkualiti. Ini merupakan ibu kepada segala kejayaan yang mahu dikecapi.

Pengurusan yang cekap dan memiliki daya kekuatan amat diperlukan. Terdapat satu perkara yang menyedihkan berlaku dalam arena sukan di negara kita di mana pengurusan sukan adalah di bawah pengaruh orang-orang politik secara keseluruhan.

Penglibatan golongan politik di dalam sukan bukanlah satu kesalahan, namun yang memberikan impak negatif ialah apabila budaya politik tidak matang itu dibawa sebagai satu budaya dalam pengurusan sukan.

 Ini termasuk soal perebutan jawatan dan, salah guna kuasa dan korupsi. Bilangan ahli politik yang benar-benar memiliki rekod cemerlang dalam menguruskan sukan amat terhad di Malaysia dan ini jelas membuktikan orang politik tidak mempunyai apa-apa daya melainkan kuasa wang dan pengaruh untuk menguruskan sesebuah persatuan sukan.

Selain itu, wujud juga kecenderungan sukan di Malaysia ini ditadbir oleh penjawat awam yang sebenarnya tidak memberikan manfaat besar, malah menyukarkan sesebuah persatuan itu bergerak dengan baik.

Kemajuan sukan di Malaysia terletak kepada kekuatan pengurusan dan perkara ini boleh dilaksanakan seperti diharapkan jika individu yang tepat diletakkan untuk melaksanakan hal-hal pengurusan ini.

Bagi mengelakkan dominasi ahli politik atau penjawat awam tidak berwibawa dalam pengurusan sukan di Malaysia, Kerajaan wajar menggalakkan bekas atlet untuk mengikuti kursus berterusan dalam bidang pengurusan sukan bagi membolehkan mereka mentadbir sesebuah persatuan sukan selepas bersara.

Ini penting kerana pengetahuan seseorang atlet itu adalah lebih berkesan kerana mereka memahami asas sesebuah sukan itu sendiri. Sehubungan itu, dengan tambahan ilmu dan latihan berpanjangan, seseorang bekas atlet itu sudah tentu mampu muncul sebagai pentadbir untuk sesebuah persatuan sukan dan sudah tentu kita dapat mengelak daripada membiarkan golongan yang tidak memahami sukan, mentadbir persatuan sukan di negara kita.

Kita harus belajar dengan negara-negara maju di mana mereka meletakkan orang-orang yang berkelayakan sebagai pemimpin persatuan sukan.

Kita ambil contoh Persatuan Bola Sepak Croatia, mereka memilih Davor Suker, legenda bola sepak negara berkenaan sebagai Presiden Persatuan berkenaan dan ini membuktikan golongan atlet yang menerima latihan dan ilmu tambahan mampu menjadi pemimpin persatuan yang baik.


Tiada ulasan: