HALAMAN SANTAI

Jumaat, 16 Jun 2017

Popiah, durian jadi buah tangan terakhir

Mohd Zaini Samsu Hadi
Abang kepada mangsa nahas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Allahyarham Mejar Yazmi Mohamed Yusof, Yusfi Mohamed Yusof tidak dapat menahan kesedihan melihat jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 
 

 Noor Shafora Izwa Mohd Hilmi bersama anak-anaknya menyiram air mawar di pusara suaminya, mangsa nahas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Allahyarham Mejar Yazmi Mohamed Yusof, di Tanah Perkuburan Islam Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Kuih popiah dan durian menjadi buah tangan terakhir daripada Allahyarham Mejar Yazmi Mohamed Yusof kepada keluarga abang sulongnya untuk dijadikan juadah berbuka puasa.

Yusfi Mohamed Yusof, 52, memberitahu, arwah adik bongsunya itu sedia maklum bahawa dia dan isterinya tidak gemar makan durian, namun arwah membawa buah itu ketika berkunjung ke rumahnya pada minggu pertama Ramadan yang lalu.

Katanya, arwah juga menyatakan kuih popiah yang dibawa merupakan dari air tangannya sendiri.

“Saya tak pernah tahu pun dia pandai buat popiah. Bila kami makan semasa berbuka rasanya sangat sedap,” katanya ketika ditemui selepas selesai upacara pengebumian di tanah perkuburan Islam Titiwangsa tengahari tadi.

Menurut Yusfi, Allahyarham tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap yang boleh dijadikan sebagai petanda dia akan pergi menemui penciptanya.

Katanya, arwah merupakan adik bongsu daripada empat orang adik-beradik dan memiliki sikap yang suka bersahaja dan tidak suka berkecil hati.

Ujarnya, beliau dan adiknya jarang berjumpa kerana sibuk dengan tugas masing-masing lebih-lebih lagi arwah sering berulang alik dari Kuantan ke Labuan manakala dirinya yang merupakan seorang jurutera di sebuah syarikat swasta membataskan masa mereka untuk bersama.

“Syukurlah segalanya telah selesai dan jenazah dapat diurus dengan baik. Saya ucapkan terima kasih kepada semua terutama Angkatan Tentera Malaysia yang telah bertungkus lumus menyudahkan pengebumian adik saya ini.

“Sekarang ini kami hanya menunggu kepulangan kakak arwah iaitu adik saya yang sedang dalam penerbangan pulang dari London dan dijangka sampai petang jam 5 petang ini,” ujarnya.

RUJUKAN: Pesawat Hawk TUDM terputus hubungan

Jenazah Mejar Mohd. Yazmi Mohamed Yusof, 39, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Titiwangsa pada pukul 12.05 tengahari tadi.

Terdahulu, jenazah Allahyarham selamat tiba di perkarangan Masjid Ibnu Sina, Taman Tasik Titiwangsa pada pukul 10.45 pagi sebelum disembahyangkan oleh keluarga terdekat dan orang ramai yang dihadiri kira-kira 200 orang.

Allahyarham sebelum itu diiringi anggota polis trafik, kenderaan rasmi TUDM dan kenderaan angggota keluarga mangsa ke masjid untuk diberikan penghormatan terakhir.

Yazmi dan rakannya Mohd Hasri Zahari, 31, terkorban selepas pesawat Hawk 108 TUDM terhempas di kawasan hutan berpaya di Chukai, Terengganu semalam.

Jasad mereka ditemukan pada 2.30 petang semalam, dalam jarak antara 20 meter daripada satu sama lain dan masih memakai payung terjun masing-masing.

Pesawat itu berlepas dari Pangkalan TUDM Kuantan pada 11 pagi, sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan setengah jam kemudian. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: