HALAMAN SANTAI

Rabu, 7 Jun 2017

Ramadan 2017, bulan harga makanan mahal melampau

 Senduksiku Keluang

Rakyat ‘sakit’ dengan kenaikan harga barangan dan sangat tidak selesa dengan situasi berjual-beli dalam negara.

Bulan Ramadan datang lagi. Seperti biasa penulis mempersiapkan diri untuk menghadapi bulan puasa dan menjelang tibanya Hari Raya Aidilfitri.

Ketika bulan puasa, lazimnya penulis akan berbuka puasa sama ada bersama keluarga atau rakan, bersembahyang Terawih dan bersahur.

Kelaziman itu dibuat seperti tahun-tahun sebelumnya, namun ada sesuatu yang ralat kali ini. Acap kali berkunjung ke bazar Ramadan, penulis membeli kuih, nasi dan lauk.

Jumlah wang yang dikeluarkan daripada poket paling sikit adalah sekitar RM20. Rasa tidak logik kerana kuih, nasi dan lauk yang dibeli bukanlah banyak mana.

Lagi banyak duit poket kena keluar kalau lauk yang dibeli ialah ikan. Ikan memang mahal sekarang ini dan pernah berbuka puasa dengan ikan siakap saiz sederhana, ikan sahaja harganya mencecah RM30.

Berbeza ketika awal tahun ini, ikan siakap dengan saiz hampir sama, seingat penulis harganya sekitar RM14 hingga RM15 sahaja.

“Ingatkan bulan puasa boleh jimat sebab tak perlu keluar belanja makan pagi dan tengah hari, tapi beli lauk buka puasa sahaja sudah sama macam belanja makan ketika bukan bulan puasa,” rungut kawan penulis baru-baru ini.

Wartawan sebuah akhbar arus perdana ada membuat tinjauan harga barangan pada awal Ramadan lalu di Kelantan dan mendapati kebanyakan harga barang naik.

Harga ayam mencecah RM10 sekilogram, daging berharga RM30 sekilogram manakala sekilogram ikan kerisi, kembung dan selar dikesan mencecah harga sebanyak RM18.

Perkara ini perlu diatasi dan puncanya harus diselidik kerana senario harga barang meningkat sudah mendatangkan amarah rakyat.

Kuasa beli rakyat menurun dan tentunya ia telah menandakan bahawa kadar inflasi di Malaysia sedang berlaku pada tahap yang membimbangkan.

Agensi kewangan bebas, Affin Hwang Capital menjangkakan tekanan inflasi dijangka lebih tinggi pada suku ketiga tahun ini, iaitu pada 2.5 peratus dan meningkat kepada 2.6 peratus pada suku berikutnya terutama sepanjang Ramadan disebabkan oleh harga makanan.

Malah, dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, kadar inflasi secara purata berada pada 2.9 peratus berbanding 1.2 peratus bagi tempoh sama tahun lalu.

Perkara ini membuatkan rakyat Malaysia khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Maka, tentunya ia adalah kebimbangan utama rakyat Malaysia dan rata-ratanya tertunggu-tunggu apakah tindakan proaktif kerajaan bagi membendung kenaikan harga barangan luar biasa ini.

Rakyat tidak mahu mendengar alasan mempertahankan diri dengan menyatakan ekonomi Malaysia bagus kerana perangkaan jualan kenderaan atau jualan runcit meningkat.

Hakikatnya, rakyat ‘sakit’ dengan kenaikan harga barangan dan berada dalam keadaan sangat tidak selesa dengan situasi berjual-beli dalam negara masa kini.

Tiada ulasan: