HALAMAN SANTAI

Sabtu, 10 Jun 2017

Remaja mungkin buta selepas terkena mercun

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KLUANG: Seorang pelajar tingkatan dua berdepan risiko hilang penglihatan selepas mata kanannya cedera parah ekoran terkena mercun.
   
Faizul Fitri Mamasu, 14, cedera di bahagian muka selepas mercun padi yang dibakarnya kira-kira jam 10 malam, Ahad lalu, terbakar. 
 
Bapa tirinya, Khairul Ahmad Sulaiman, 34, yang dipetik Berita Harian Online berkata, anak sulungnya itu berada di rumah ibunya di Taman Kluang Baru, bagi menghabiskan cuti persekolahan.
 
"Keadaan Faizul Fitri yang dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru kini stabil. 
 
"Kesan melecur terbakar di muka hampir pulih, namun kecederaan di mata kanannya parah dan mungkin hilang penglihatannya," katanya sambil menambah mata kiri remaja itu juga cedera.
 
Kejadian itu mulai viral di media sosial malam tadi apabila kisahnya yang hilang penglihatan dimuat naik ke Internet.
 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham, mengesahkan kejadian itu. 
 
Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom Kluang sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk rawatan pakar.
 
 

Tiada ulasan: