HALAMAN SANTAI

Ahad, 18 Jun 2017

SABAR DAN CERDIKLAH SIKIT WAHAI BAKAL PERDANA MENTERI....

shahbudindotcom


Dalam reaksinya mengenai tindakan DOJ atau Jabatan Kehakiman AS berhubung proses penyitaan aset-aset berkaitan 1MDB, sepupu Najib Razak yang disebut-sebut mempunyai cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri, Hishammuddin Hussein membangkitkan dua perkara yang tentunya membuatkan ramai orang garu kepala.

Pertama, beliau yang juga Naib Presiden UMNO mencabar DOJ untuk segera melakukan pendakwaan jika benar agensi penguatkuasa AS itu memiliki bukti berkaitan dana 1MDB yang diselewengkan.

Katanya, jika DOJ tidak melakukan pendakwan di mahkamah, ia hanya akan menjejaskan kredibiliti mereka.

"Saya nak nasihat, kalau DOJ mempunyai bukti-bukti yang kukuh, dakwalah, jangan buat kenyataan demi kenyataan tanpa mengambil tindakan.

"Apabila mereka dakwa di mahkamah, yang didakwa ada ruang untuk membersihkan nama masing-masing," ujarnya yang baru-baru ini turut dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas, selain dikekalkan sebagai Menteri Pertahanan.

Kedua, Hishammuddin juga mempersoalkan identiti sebenar Malaysian Official 1 atau MO1 sebagaimana yang disebut dalam dokumen DOJ tersebut.

"Ia boleh jadi sesiapa saja. MO1 itu mungkin Menteri Kewangan Kedua, Johari Abdul Ghani.

"Sehingga kita tahu fakta yang sebenar, macam mana kita nak tahu siapa MO1 itu? soal Hishammuddin lagi.

Pelik juga dengan Hishammudin ini, tiba-tiba saja mencabar DOJ untuk menyegerakan proses mahkamah sedangkan beliau sepatutnya tahu apa yang berlaku sekarang baru di peringkat memfailkan dokumen untuk proses saman sivil.

Sehingga ini, sudah tiga pemfailan dilakukan oleh DOJ di mana kali pertama melibatkan dokumen setebal 136 mukasurat, kali kedua melibatkan penthouse dan pejabat di London dan yang terbaru melibatkan pelbagai lagi aset dengan dokumen mahkamah mengenainya setebal 251 mukasurat.

Maka, sabarlah sikit untuk proses yang seterusnya?

Apakah dengan kesediaan menyediakan dokumen yang sebegitu tebal dan terperinci,  Hishammuddin merasakan DOJ hanya main-main saja dalam tindakan mereka?

Harus disedari bahawa apa yang dilakukan oleh DOJ ialah berkaitan mereka yang menggunakan sistem kewangan negara itu untuk membeli harta dan pelbagai aset daripada wang yang dicurigai sumbernya, melibatkan penggubahan haram dan pencurian dana negara.

Sudah tentu, ia memerlukan tindakan yang teliti dan mengambil sedikit masa kerana dalam usaha merampas atau menyita aset-aset yang disenaraikan itu mungkin wujud kecuaian-kecuaian tertentu yang memungkinkan penyitaan itu mengalami kegagalan.

Jadi, kelambatan itu adalah kerana banyak penelitian perlu dilakukan sebelum di bawa ke mahkamah untuk dibentang dan dihujah.

Lagi pula, seperti yang diketahui, keluarga Jho Low sendiri ada memfailkan tindakan mahkamah di New Zealand dan Pulau Cayman sebelum ini untuk menghalang harta-harta yang disenaraikan DOJ itu daripada dirampas.

Sekali lagi, sabarlah wahai bakal Perdana Menteri!

Namun demikian, dicurigai juga adakah ketidaksabaran Hishammuddin ini bertujuan untuk menunjukkan beliau dilihat membela nama-nama yang disebut DOJ itu  yang antaranya ialah Jho Low dan Riza Aziz, anak tiri Najib sendiri atau ada maksud tersirat iaitu supaya Perdana Menteri terus tertekan dan cepat-cepat meletakkan jawatan?

Berhubung keraguan Hishammuddin tentang identiti MO1 dan menyebut kemungkinan juga MO1 adalah Menteri Kewangan Kedua, Johari Abdul Ghani, tindakan sepupu Najib dalam hal ini bukan saja kelakar, malah menyerlahkan beliau sudah duduk sebaris dengan Ahmad Maslan.

Tidakkah Hishammudin lupa bahawa antara fakta yang disebut DOJ mengenai MO1 ialah individu tersebut merupakan pegawai berpangkat tinggi dalam kerajaan Malaysia serta didakwa pernah menerima AS$731 juta daripada dana 1MDB yang dilencongkan melalui akaun peribadinya?

Dalam dokumen saman sivil yang pertama, MOI juga disebut sebanyak 36 kali.

Dengan yang demikian, adakah munasabah MO1 itu Johari Abdul Ghani yang baru saja menjadi Menteri Kewangan Kedua sejak 2015 lalu menggantikan Husni Hanadzlah?

Cerdiklah sikit bro!

Dalam hal ini, kenapa  Hishammuddin masih cuba bermain teka-teki, sedangkan rakan kabinetnya, Abdul Rahman Dahlan secara terbuka pernah mengatakan, adalah bodoh jika sesiapa memikirkan MO1 itu adalah individu lain selain Najib.

Dalam fikiran Abdul Rahman Dahlan sekarang, siapa yang masih bodoh?

Tiada ulasan: