HALAMAN SANTAI

Sabtu, 10 Jun 2017

Saya ulas isu FGV esok, kata Perdana Menteri

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengulas mengenai kemelut Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) ketika lawatannya ke kawasan Felda di Kulai, Johor, esok.
 
"Saya akan komen (mengenai isu FGV) ketika saya melawat ke kawasan rancangan Felda di Johor esok," katanya pada sidang media Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemelut yang melanda FGV.
 
Diminta mengulas mengenai pelantikan Datuk Seri Idris Jala sebagai pihak berkecuali bagi meneliti isu berkenaan, Najib sekali lagi berkata beliau akan memberi komennya berhubung perkara itu esok.
 
"Esok (saya akan komen). Di Johor," katanya lagi.
 
Pada jam enam petang esok, Najib dijadualkan hadir taklimat Koperasi Sungai Sayong dan melawat projek perumahan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) Felda dan Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) di tapak projek perumahan, Sungai Sayong, Kulai.
 
Beliau kemudian akan menyertai program Ihya Rahmat Ramadan Felda Peringkat Kebangsaan 2017 di Padang Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Sayong, Kulai.
 
Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabat FGV di Kuala Lumpur dan beredar dengan empat kotak, beberapa bungkusan dan tiga beg tarik.
 
Barang rampasan itu diambil selepas kumpulan besar penguat kuasa, difahamkan 40 orang, menggeledah pejabat ketua pegawai eksekutif Kumpulan (CEO) FGV Datuk Zakaria Arshad di tingkat 45 Menara Felda di ibu negara.
 
Difahamkan rampasan itu dibuat bagi melengkapkan susulan keterangan Zakaria kepada SPRM semalam.
 
Selasa lalu, lembaga pengarah FGV mengarahkan empat pegawai kanan agensi perladangan itu, termasuk presiden kumpulan dan ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad, bercuti berkuat kuasa serta merta.
 
Arahan bercuti itu dikatakan bagi memberi laluan audit dalaman dijalankan bagi menyiasat tunggakan bayaran syarikat Safitex kepada Delima Oil Products Sdn Bhd, sebuah anak syarikat FGV.
 
Selain Zakaria, tiga lagi yang dipaksa cuti adalah Ketua Pegawai Kewangan, Ahmad Tifli Mohd Talha; Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar.
 
 

Tiada ulasan: