HALAMAN SANTAI

Ahad, 11 Jun 2017

'Secara rasmi Shafee dibayar RM1,000'


Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sepanjang pengetahuannya peguam terkemuka Tan Sri Shafee Abdullah hanya dibayar RM1,000 atas peranannya mengetuai pasukan pendakwa bagi kes Liwat II terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu beliau kemudian tidak mengambil tahu terhadap dakwaan bayaran lain kepada Shafee kerana tidak terlibat dalam perkiraan yang dibuat oleh Jabatan Peguam Negara.

Nancy berkata, jawapan beliau kepada parlimen pada 2015, - ketika itu sebagai menteri undang-undang - bahawa Shafee menerima RM1,000 adalah berdasarkan maklumat yang diberikan kepada beliau oleh Jabatan Peguam Negara dan ia kekal begitu.

"Setakat yang saya ingat, apa sahaja jawapan balas yang diberikan kepada saya untuk dijawab di parlimen, ia adalah rasmi," katanya kepada Malaysiakini.

Nancy berkata, beliau percaya Shafee telah melakukan "khidmat untuk negara".

Memetik apa yang didakwanya sebagai kertas siasatan yang dibocorkan, portal Sarawak Report mendakwa Shafee menerima dua pembayaran berjumlah RM9.5 juta secara terus daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Malaysiakini tidak boleh mengesahkan secara bebas dakwaan laporan Sarawak Report itu atau menentukan sama ada bayaran yang dikatakan itu berkaitan dengan peranan Shafee dalam kes Anwar.

Shafee pula pada 9 Jun dilaporkan sebagai berkata, beliau akan memberikan kenyataan berhubung dakwaan itu pada suatu hari lain.

Nancy menjelaskan, beliau tidak tahu menahu mengenai dakwaan itu.

"Selain daripada itu saya tidak tahu. Maksud saya, semua tuduhan itu, saya tidak boleh sahkan atau nafikan kerana setakat yang saya ketahui secara rasmi, jawapan yang diberikan kepada saya adalah RM1,000.

"Masalahnya, urusan adalah melalui pejabat peguam negara. Saya hanya menteri yang bertanggungjawab untuk hal ehwal undang-undang. Saya tidak berurusan dengan dokumen.

"Saya hanya diberikan jawapan berdasarkan apa yang mereka telah sediakan dan berdasarkan soalan, saya akan menjawab di parlimen, itu sahaja," katanya.

Tiada ulasan: