HALAMAN SANTAI

Sabtu, 17 Jun 2017

Selepas putus bantuan wakil rakyat PKR, penduduk miskin hadapi Aidilfitri suram

 
Mereka terdiri daripada golongan pesara, ibu tunggal dan bergaji rendah, termasuk yang terpaksa menanggung kos rawatan.


premanan
Paremanan Periasamy, pesakit jantung, bergantung kepada program kebajikan wakil rakyat Kelana Jaya untuk kos rawatannya.


PETALING JAYA: Kurang 2 minggu lagi menuju Aidilfitri, penduduk berpendapatan rendah di sekitar Kelana Jaya menerima berita buruk.

Selama ini, sedikit sebanyak masalah kewangan mereka dapat diatasi menerusi program kebajikan setiap tahun dianjurkan oleh Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen.

Kini, ia tiba-tiba dihentikan “sehingga diberitahu kelak”.

Kamsiah Mohamad, ibu tunggal berusia 49 tahun, merupakan salah satu daripada lebih 300 penerima yang terkesan daripada keputusan itu.

Tahun lepas, dia menerima bantuan RM300 sebulan melalui pejabat wakil rakyat itu.

Ketika dihubungi, Kamsiah baru sahaja diberitahu mengenai pemberhentian program apabila mengunjungi pejabat Wong Chen.

“Saya perlukan duit untuk belanja raya, balik ke kampung, tapi sekarang saya tidak pasti bagaimana,” katanya kepada FMT.

 Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen terpaksa mengutus surat kepada 355 orang di kawasannya memaklumkan 'penangguhan' program kebajikannya.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen terpaksa mengutus surat kepada 355 orang di kawasannya memaklumkan ‘penangguhan’ program kebajikannya.

Wong Chen baru-baru ini terpaksa mengutus surat kepada 355 penerima di kawasannya mengenai keputusan itu, dan menjelaskan ia disebabkan “tindakan tertentu” oleh kerajaan Selangor, menyebabkan pejabatnya ketiadaan dana untuk menjalankan program itu.

Wong Chen memohon maaf kepada penduduk terlibat.

Menurutnya, keputusan memberhentikan program itu dibuat selepas kerajaan Selangor menghantar faks ke pejabatnya pada lewat petang 9 Jun lalu.

Pesakit jantung, Paremanan Periasamay, 53, bergantung kepada program kebajikan itu untuk menangung kos rawatannya di hospital.

“Bila lihat notis (pemberhentian) saya tak percaya,” katanya yang mengunjungi pejabat Wong Cheng bersama isterinya, yang menghidap sakit buah pinggang.

“Kita nak minta pertolongan daripada kerajaan Selangor untuk sokongan membantu kita beli ubat dan kos rawatan. Kalau kerajaan Selangor boleh tolong kita, menyokong kita dengan sebahagian duit untuk ubat, itu akan buat saya senang hati,” katanya.

Anitha Manidas, 50, ibu kepada 2 orang anak, berkata gajinya rendah sekitar RM1,500, dan berharap program kebajikan itu diteruskan.

Katanya, ibu tunggal sepertinya sangat mengharapkan bantuan wakil rakyat kawasan itu untuk menangung kos sara hidup yang tinggi.

“Saya sangat perlukan bantuan program itu untuk menangung kos sewa rumah dan menangung 2 orang anak saya yang masih bersekolah,” katanya.

* Nurul Azwa turut menyumbang kepada laporan ini.

Tiada ulasan: