HALAMAN SANTAI

Khamis, 15 Jun 2017

Umno S'gor dakwa ada kepincangan dana dalam program kebajikan Wong Chen

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Mungkin berlaku kepincangan terhadap dana yang disalurkan kepada Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen sehingga program kebajikannya terpaksa digantung.
 
Demikian reaksi Ketua Umno Bahagian Selayang, Datuk Abdul Syukur Idrus apabila mengulas kenyataan Wong semalam, yang mendakwa pihaknya menerima surat daripada kerajaan negeri berkaitan program kebajikan yang diselarasnya.
 
"Setahu saya ahli parlimen tidak berhak terima wang dari kerajaan negeri. Jika diaudit bererti di situ ada kepincangan bahawa ada duit dari kerajaan negeri disalurkan kepada ahli parlimen mereka," kataya kepada Antarapos, hari ini.
 
Syukur, yang juga ADUN Kuang selain dari itu berkata dana kerajaan negeri hanya berhak disalurkan kepada wakil rakyat negeri sahaja.
 
Sehubungan itu beliau menganggap penggantungan program kebajikan itu mungkin menyebabkan Wong terpaksa akur dengan arahan dari kerajaan negeri.
 
"Kerajaan negeri sepatutnya mengeluarkan dana untuk ADUN sahaja. Jika ahli parlimen mendapat dana, ia berupa pemberian tidak wajib, mungkin atas (pemberian) ehsan.
 
"Bererti Wong Chen terima dana dari kerajaan negeri selama ini. Maka itu beliau terpaksa akur dengan cadangan dan pandangan kerajaan negeri," ujarnya.
 
Wong dalam Facebooknya baru-baru ini berkata, penggantungan program kebajikan di kawasannya terpaksa dilakukan selepas menerima satu surat daripada kerajaan negeri Selangor yang dihantar menerusi faks pada Jumaat lalu.
 
Wong bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut berkenaan penggantungan program kebajikannya, termasuk kandungan surat tersebut.
 
Memetik kenyataan di Facebooknya, Wong meminta pemohon tidak membazirkan wang perbelanjaan semata-mata untuk datang ke pejabatnya.
 
Program kebajikan di bawah seliaan Wong kini memasuki tahun keempat dan ia dijalankan menerusi dana kerajaan negeri.
 
Pemimpin PKR itu memberitahu penggantungan program tersebut akan diteruskan sehingga tempoh masa tertentu.
 
Pejabat Wong pada sebelum ini juga pernah diaudit oleh Perbendaharaan Negeri Selangor yang didakwanya dilakukan tanpa pengetahuannya. 


Tiada ulasan: