HALAMAN SANTAI

Jumaat, 16 Jun 2017

Warisan: Seruan haramkan evangelikalisme cerminan kebebasan agama terhakis

 
Ikon Jo-Anna Henley Rampas berkata semakin ramai orang menentukan tafsiran masing-masing mengenai perkara berkaitan agama di Malaysia.


Jo-Anna-Henley-sabah


PETALING JAYA: Parti Warisan Sabah (Warisan) menyelar cadangan mengharamkan evangalikalisme Kristian di Malaysia.

Naib Ketua Wirawati Jo-Anna Henly Rampas berkata cadangan itu menunjukkan kegagalan kerajaan persekutuan Barisan Nasional (BN) menerapkan keharmonian, toleransi dan kefahaman secukupnya dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata “pandangan terputarbalik” itu bukti pemimpin kerajaan, terutamanya menteri persekutuan dari Sabah dan Sarawak gagal menekankan hala tuju yang jelas berhubung perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Rampas berkata kenyataan hari ini menjawab Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Advokasi dan Penyelidikan Hak Asasi Manusia (Centhra) Azril Mohd Amin yang mencadangkan evangelikalisme Kristian diharamkan di Malaysia.

Ikon belia Warisan itu juga berkata seruan itu mencerminkan kebebasan beragama terhakis di negara ini.
“Kita menyaksikan semakin ramai orang menentukan tafsiran masing-masing mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dalam perkara berkaitan agama di Persekutuan Malaysia,” katanya, memetik perbahasan mengenai penukaran agama anak dan sama ada bukan Islam boleh menggunakan kalimah “Allah”.

Beliau berkata walaupun rakyat menghormati Islam sebagai agama rasmi, Sabah dan Sarawak bersetuju menyertai persekutuan atas premis kebebasan agama berkekalan.

Azril dalam kolum yang disiarkan Utusan Malaysia semalam berkata kerajaan membuat keputusan tepat apabila mengarahkan polis mengharamkan himpunan “Jerusalem Jubilee” anjuran kumpulan evangelikal All Malaysian-Golden Gate Revival Convocation di Melaka mulai 15-18 Jun.

Beliau mendakwa gerakan itu memunculkan sikap beragama baharu 20 tahun dahulu yang cenderung terhadap kebebasan “tanpa batas” dan keterbukaan “tanpa kawalan”. Beliau mendakwa ramai sarjana Kristian akui kecenderungan gerakan itu membawa kesan buruk kepada pertumbuhan gereja.

Azril berkata kerajaan perlu menimbangkan untuk memperkenalkan undang-undang anti-evangelikalisme demi menghalang gerakan itu mendominasi dakyah Kristian.

“Pada hakikatnya, kelompok yang masih cuba untuk menyebarluaskan dakyah agama Kristian kepada rakyat Malaysia, khususnya kepada umat Islam akan terus berusaha kerana percaya tiada undang-undang berkesan yang boleh menghalang mereka,” katanya.

Rampas berkata sejak Malaysia ditubuhkan pada 1963 tiada kejadian yang menyokong dakwaan Azril yang mengatakan aktiviti evangelikal dan “revival” berpotensi mengancam keamanan dan keharmonian serta keselamatan mana-mana negeri.

Beliau berkata tiada aktiviti seperti penculikan untuk tebusan, rusuhan, anarki, militan atau pembunuhan orang awam.

“Semua orang tahu menyebarkan agama Kristian kepada orang Islam di Persekutuan Malaysia dilarang keras,” katanya.

Beliau berkata evangelikalisme merupakan program bantuan untuk menyampaikan pesanan mengenai penyelamatan melalui Tuhan bukan sahaja kepada orang bukan Islam tetapi juga golongan “hanya Kristian pada nama”.

Beliau berkata kebebasan menganut kepercayaan sendiri yang dinyatakan dalam perlembagaan juga termasuk evangelikalisme dan “revival” yang secara asasnya bermakna “menyebarkan pesanan” dan “pemulihan kepercayaan”.

“Apabila Perlembagaan Persekutuan yang kita kongsi ini menyatakan dan menjamin kamu bebas menganut kepercayaan agama sendiri, tidakkah ia juga bermakna kamu bebas ‘memulihkan kepercayaan’ kamu melalui aktiviti ‘revival’?” katanya.

Beliau menyeru menteri persekutuan BN dari Sabah – Datuk Seri Maximus Ongkili, Tan Sri Joseph Kurup dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau – untuk tidak hanya menyenangkan “tuan politik” mereka di Tanah Melayu dan “melakukan apa yang sepatutnya mereka lakukan”.

Tiada ulasan: