HALAMAN SANTAI

Selasa, 20 Jun 2017

Zakaria lantik Shafee Abdullah jadi penasihatnya dalam siasatan FGV

ANTARAPO.COM

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Zakaria Arshad berkata, beliau akan mematuhi cadangan dalam laporan berhubung FGV oleh bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.
 
Katanya, beliau melantik Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai penasihat undang-undangnya dalam siasatan dalaman yang dimulakan bekas pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad, ekoran dakwaan salah laku dalam urus niaga membabitkan syarikat Afghanistan bernama Safitex dan anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd.
 
“Berhubung siasatan dalaman yang ditubuhkan Isa, saya yakin akan dibuktikan tidak bersalah dan dengan ini, saya melantik Muhammad Shafee sebagai penasihat undang-undang bagi menguruskan perkara ini (dakwaan salah laku),” katanya dalam kenyataan semalam.
 
FGV menjadi tumpuan media apabila 4 eksekutifnya, termasuk Zakaria diarahkan bercuti sementara menunggu siasatan dalaman berhubung tunggakan bayaran Safitex kepada Delima Oil.
 
Susulan itu, kerajaan pada 7 Jun lalu melantik Idris sebagai pihak berkecuali untuk meneliti penggantungan 4 pegawai kanan itu, selain meneliti fakta kes dan mencadangkan jalan penyelesaian berhubung keputusan tersebut.
 
Semalam, laporan bebas Idris berhubung siasatan dakwaan pelanggaran prosedur dalam FGV menunjukkan ada fakta dan alasan munasabah untuk memulakan prosiding disiplin terhadap 4 pegawai kanan syarikat itu.
 
Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri semalam, kerajaan dan FGV berkata, syarikat itu perlu meneruskan prosiding disiplin yang sedang dijalankan dan eksekutif terbabit boleh membela diri “sejajar undang-undang keadilan asasi” serta tiada siapa bersalah sehingga dibuktikan siasatan dalaman.
 
Kerajaan dan FGV berkata, mereka sudah mendapat laporan Idris mengenai keputusan Lembaga Pengarah FGV menggantung Zakaria, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar.
 
Semalam, Isa meletak jawatan serta-merta sebagai pengerusi FGV, beberapa jam selepas mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya.
 
Susulan itu, perdana menteri mengumumkan Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob sebagai pemangku pengerusi FGV bagi menggantikan Isa.
 
Isa yang dilantik sebagai pengerusi dan pengarah eksekutif bukan bebas FGV mulai 1 Januari 2011, kini memangku tugas pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), jawatan yang dikosongkan selepas persaraan Tan Sri Syed Hamid Albar pada 3 Jun lalu.
 
Sementara itu, Zakaria mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob atas pelantikan sebagai pemangku pengerusi FGV.
 
 

Tiada ulasan: