HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Julai 2017

Kutipan tol elektronik sepenuhnya di LPT 14 Ogos

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUANTAN: Anih Berhad, pemegang Konsesi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) kini dalam peringkat akhir persediaan untuk melaksanakan sepenuhnya Sistem Kutipan Tol Elektronik (ETC) di lebuh raya berkenaan bermula 14 Ogos ini.
 
Naib Presiden II dan Timbalan Ketua Pengurusan Tol Anih Berhad, Ismaliza Ibrahim berkata secara keseluruhannhya kesemua 57 lorong di sembilan buah plaza tol di sepanjang LPT1 bermula dari Karak  (Km76.1) sehingga Jabor (Km250.6)  telahpun dilengkapi dengan sistem ETC.
 
Setakat bulan ini pengunaan ETC di plaza tol di sepanjang LPT1 telah meningkat sehingga 80 peratus dan  kempen berterusan akan diadakan dilakukan untuk memastikan 20 peratus pengguna lebuh raya itu bersedia termasuk mempunyai kad Touch 'n Go apabila sistem itu dilaksanakan kelak, katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
 
Pengurus Operasi Anih Berhad Md Izani @ Afzanizam Kasnin berkata syarikat itu menyediakan penjualan kad Touch 'n Go Plaza Tol Karak, Plaza Tol Temerloh dan Plaza Tol Kuantan selain di kawasan rehat dan rawat (RSA) Genting Sempah.
 
"Selain itu kad turut dijual di Stesen Minyak Shell RSA Temerloh dan Stesen Minyak Petronas RSA Gambang di kedua-dua belah arah. Semua sembilan buah plaza tol yang berkenaan juga menyediakan perkhidmatan tambah nilai,” katanya.
 
Beliau berkata hasil tinjauan  mendapati segelintir pengguna  lebih gemar menggunakan transaksi secara tunai kerana  beranggapan baki duit dalam kad akan tamat tempoh dan hilang memandangkan mereka hanya menggunakannya sekali sekala sahaja.
 
“Tiada tarikh tamat tempoh terhadap baki nilai dalam kad Touch ‘n Go,” katanya. 
 
 

PH: Mufti bertanggungjawab banteras kegiatan judi di kalangan orang Islam

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) hari ini menggesa kerajaan mengambil tindakan serius bagi membanteras kegiatan judi yang semakin berleluasa, terutama di kalangan masyarakat Islam.
 
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata golongan mufti perlu mengambil tanggungjawab dengan mengarahkan jawatankuasa di peringkat daerah ditubuhkan dan kadi-kadi daerah digerakkan untuk melawat premis-premis judi yang sering dikunjungi.
 
"Saya cabar menteri untuk menulis kepada mufti dan mufti hendaklah keluarkan arahan kepada kadi dan pegawai agama daerah untuk melaksanakan enakmen yang ada di setiap negeri. Kerana tak boleh salahkan PBT dan polis sahaja 
 
"Ia nampak janggal sebab kita ada undang-undang namun ia tidak dilaksanakan," katanya di sidang media pembangkang di Dewan Rakyat, hari ini.
 
Johari berkata kebimbangan itu berpunca dari premis-premis yang beroperasi dari pagi hingga lewat malam.
 
Beliau mendakwa hampir 90 peratus pengunjung dan pemain judi adalah orang Melayu Islam yang terdiri daripada kakitangan kerajaan dan ahli perniagaan, malah lebih kesal ia turut dikunjungi daripada kalangan pelajar sekolah.
 
Johari kemudiannya menambah dua pihak yang sering disasarkan apabila kegiatan sosial ini berleluasa adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis.
 
"Ada dua agensi yang sering dipersalahkan iaitu PBT dan polis. Apabila kita berjumpa dengan pihak polis mereka kata bidang kuasa terhad, sekiranya PBT yang beri lesen maka premis itu tidak boleh dilakukan apa-apa, kecuali jika mereka beroperasi lebih masa. Apabila kita ajukan kepada PBT, mereka kata tak mempunyai anggota yang cukup dan mengharapkan pihak polis untuk ambil tindakan," ujarnya lagi.
 
Sementara itu Ahli Parlimen Kapar, G. Manivanan mendakwa premis berkenaan boleh terus beroperasi meskipun siri serbuan diadakan, kemungkinan kerana mendapat 'perlindungan' pihak berkuasa.
 
"Isu judi tidak selesai selagi pihak berkuasa tidak mengambil langkah holistik. Di kawasan saya apabila ada serbuan sahaja premis judi akan tutup. Mengapa? (adakah) ia dipantau oleh seorang pegawai polis?
 
"Jika hendak harapkan polis untuk selesai, bagaimana jika polis sendiri yang bantu mereka? Ada kes yang mana polis menyokong kegiatan operas. Jika PH ambil alih, kita akan tubuhkan jawatankuasa supaya polis, PBT, Jakim dan lain-lain untuk banteras kegiatan judi," katanya.
 
 

RM5.7 bilion wang tak dituntut sejak 40 tahun

 


Sebanyak RM5.7 bilion Wang Tak Dituntut (WTD) masih berada dalam simpanan Jabatan Akauntan Negara sejak 1977 sehingga 30 Jun lepas, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz berkata jumlah itu melibatkan lebih 55 juta rekod akaun seperti akaun simpanan, semasa dan perniagaan.

Wang tidak dituntut itu termasuklah gaji, bonus, komisen, dividen yang tidak dituntut bagi tempoh antara setahun dan tujuh tahun, katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Zaim Abu Hasan (Parit-BN) mengenai jumlah WTD yang masih berada dalam simpanan Bahagian WTD jabatan itu selaku pemegang amanah.

Othman berkata orang ramai boleh membuat semakan sekiranya mereka mempunyai WTD di 25 kaunter WTD di seluruh negara iaitu 13 kaunter di Semenanjung, Sarawak (tujuh), Sabah (empat) dan satu kaunter baharu akan dibuka di Putrajaya.

Sebagai pemegang amanah, pihak kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas wang tersebut dan sentiasa memastikan ia selamat dalam pegangan kerajaan sehinggalah ia dituntut, katanya.-Bernama

LIHAT VIDEO DI SINI

 

Rakyat perlu sedia dikenakan surcaj elektrik - Suruhanjaya Tenaga

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Sungguhpun kerajaan amat prihatin dengan kenaikan tarif elektrik, namun pengguna seharusnya menyedari bahawa rebat yang dinikmati sekarang tidak akan berterusan selamanya dan perlu bersedia dikenakan surcaj.
 
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Kanan Pembangunan Industri dan Kawal Selia Pasaran Elektrik Suruhanjaya Tenaga, Ir Azhar Omar berkata memandangkan pemberian rebat itu bukan bersifat kekal, rakyat perlu bersedia dengan kemungkinan itu dan menggunakan tenaga elektrik secara berhemah.
 
“Walaupun kita sepatutnya mengenakan mengenakan surcaj, tetapi atas sikap keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat, kerajaan masih menggunakan wang yang ada untuk menampung kenaikan.
 
"Ini kerana duit yang ada mungkin tidak dapat menampungnya pada masa hadapan. Rakyat perlu bersedia," katanya dipetik daripada satu temubual dengan Bernama Radio, baru-baru ini.
 
ST merupakan badan kawal selia industri bekalan elektrik di negara ini.
 
Mengulas selanjutnya, Azhar menjelaskan, kerajaan bukannya tidak dapat menanggung kenaikan kos tersebut, sebaliknya sumber kewangan itu sewajarnya digunakan bagi tujuan pembangunan ekonomi dan negara memerlukan banyak sumber kewangan untuk pembinaan hospital, jalan raya dan sebagainya.
 
"Peranan suruhanjaya ini ialah memastikan bekalan elektrik yang berdaya harap pada harga munasabah dan telah mengambil kira kos-kos membekal elektrik serta pulangan munasabah untuk pihak utiliti, kos-kos bekalan api dan sebagainya," katanya.
 
Azhar berkata, ST juga tidak mahu syarikat utiliti negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) meraih keuntungan secara berlebihan, malah ia sedang melakukan audit ke atas TNB serta semua akaunnya bagi memastikan kos-kos yang ditanggung pada tempoh regulatori pertama adalah munasabah serta efisyen, sebagaimana yang ditetapkan.
 
"Tempoh regulatori pertama untuk proses semakan tarif akan berakhir pada 31 Disember 2017. Mulai 1 Januari, 2018, kita akan mulakan semakan kedua untuk tempoh regulatori kedua," katanya.
 
Beliau berkata, dalam perjanjian pembelian tenaga (PPA) generasi pertama, kebanyakan pengeluar penjana bebas (IPP) mencatat sedikit keuntungan.
 
Atas dasar itu, kerajaan telah merundingkan kadar yang ditetapkan sebelum ini dan kebanyakan IPP bersetuju untuk mengurangkan harga.
 
"Kita telah kumpul sebanyak RM1.8 bilion. Selama ini, kita menggunakan dana ini untuk memberi rebat dan sebagainya.
 
"Sehingga Disember 2017, kita masih mempunyai baki (daripada RM1.8 bilion), tetapi untuk Januari dan seterusnya, saya kena tengok semakan sama ada (berlaku) peningkatan atau tidak," katanya.
 
Menurutnya, ST juga telah menggunakan RM1.3 bilion daripada jumlah dikumpul itu.
 
Inisiatif lain yang diguna pakai sejajar dengan perubahan persekitaran global itu adalah rebat Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT).
 
“Dasar rebat ICPT itu ialah untuk mengimbangi kos-kos yang tidak boleh dikawal oleh pihak utiliti.
 
"Ia berkait rapat dengan kos-kos bahan api dunia. Jika ianya tidak dapat dilepaskan dari segi rebat atau surcaj, kos ini terpaksa ditanggung oleh pihak kerajaan," katanya.
 
Azhar berkata, bagi membolehkan TNB memberi perkhidmatan yang baik, ia juga memerlukan pendapatan yang boleh digunakan bagi menampung kos.
 
"Sekiranya kos asyik meningkat tetapi pendapatan masih tidak dapat diperolehi secara mencukupi, lama-lama ia (TNB) akan tutup, perkhidmatan akan merosot dan kerajaan terpaksa menyelamatkannya," katanya.
 
 

Rafizi dakwa Malaysia ‘derma’ RM142 juta kepada Arab Saudi




Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli hari ini mendakwa bahawa Malaysia sebenarnya yang menderma kepada negara Arab Saudi, dan bukan sebaliknya.

Beliau merujuk kepada kerugian sebanyak RM142 juta oleh Prasarana Malaysia Bhd akibat pembabitannya dalam dua projek landasan kereta api di negara ini.

"Rakyat dapat melihat dengan jelas - yang menyumbang adalah Malaysia kepada Arab Saudi, bukannya Arab Saudi kepada Perdana Menteri Najib Razak," kata Rafizi pada sidang akhbar di bilik media Parlimen hari ini.

Najib mendakwa bahawa AS$731 juta yang berada dalam akaun bank peribadi miliknya sebelum pilihan raya umum 2013 datang daripada derma keluarga diraja Arab Saudi.

Ini disahkan oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, walaupun para pengkritik mendakwa bahawa dana itu berasal dari 1MDB.

Projek kereta api Arab Saudi yang dirujuk oleh Rafizi itu adalah Al Mashaer Al Mugaddash Metro Southern Line (MMMSL) dan Makkah Shadow Operator.

Prasarana mempunyai kontrak RM930 juta untuk mengendalikan keretapi itu dari Disember 2014 hingga Mei 2018.

Rafizi berkata, berdasarkan laporan kewangan Prasarana yang bocor, yang diterimanya, menunjukkan bahawa menjelang Mei 2018, Prasarana akan kerugian SAR125 juta (RM142 juta) apabila jumlah pendapatan ditolak dengan kos operasi.

Beliau mendakwa bahawa jawapan parlimen bertulis daripada Kementerian Kewangan menyokong dokumen bocor yang diperolehinya itu.

Dalam jawapan bertarikh 24 Julai, Kementerian Kewangan menyatakan sehingga 30 Jun tahun ini, jumlah hasil daripada kedua-dua projek itu adalah RM580 juta, manakala jumlah perbelanjaan puloa adalah sebanyak RM679 juta.

Ini bersamaan dengan kerugian sebanyak RM99 juta.

Rafizi berkata laporan kewangan yang bocor itu menyatakan sehingga Mei 2017, jumlah hasil Prasarana daripada kedua-dua projek itu ialah SAR474 (RM530 juta), manakala jumlah perbelanjaan adalah SAR563 (RM630 juta).

Perbezaan antara dokumen bocor itu dan jawapan parlimen, katanya, berada dalam julat yang munasabah memandangkan perbelanjaan untuk bulan Jun dan Julai tidak diperincikan dalam laporan itu.

Walau bagaimanapun, jawapan parlimen juga menyatakan bahawa Prasarana telah membuat tuntutan sebanyak RM115 juta yang telah diluluskan tetapi belum diterima.

Malaysiakini telah menghubungi Prasarana untuk mendapatkan maklum balas mereka.

LIHAT VIDEO DI SINI

Buang persepsi negatif terhadap polis

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan pendekatan yang mewujudkan fikiran tenang dalam masyarakat bagi membuang persepsi negatif terhadap agensi keselamatan itu.
 
Timbalan Perdana Menteri berkata, PDRM perlu lebih mendekati masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melalui program bersifat mesra rakyat untuk mewujudkan persepsi lebih positif.
 
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan pada 'Forum Addressing Perception on Safety and Security' hari ini. - Foto BERNAMA
"Polis boleh garang, tegas tetapi kena senyum dan mesra dengan masyarakat.
 
"Macam saya, garang, lurus, tidak main-main tetapi saya senyum," katanya berucap pada Forum Meningkatkan Persepsi Terhadap Keselamatan dan Penguatkuasaan, di sini.
 
Yang turut menjadi ahli panel adalah Naib Pengerusi Kanan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye; Naib Presiden Eksekutif PEMANDU, Datuk Dr Amin Khan; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Telekom Malaysia (TM), Datuk Seri Shazalli Ramly.
 
Hadir sama Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Komuniti Selamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Wira Ayub Yaakob dan pakar kriminologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohammad Rahim Kamaluddin.
 
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, rakyat masih mempunyai keraguan terhadap keselamatan awam walaupun indeks jenayah sudah menurun 47 peratus, enam tahun selepas pelancaran Program Transformasi Kerajaan dan pengenalan Inisiatif Pengurangan Jenayah.
 
Katanya, PDRM sebelum ini diiktiraf sebagai agensi keselamatan terbaik di negara ASEAN menerusi pelbagai usaha dilakukan dalam membanteras jenayah.
 
"Ini realiti tetapi persepsi masyarakat masih tidak bersetuju kerana minda kita sering melihat kepada isu negatif.
 
"Ketakutan dan ragu-ragu adalah satu cabaran yang sangat besar bagi kerajaan kerana data yang diberikan itu diragukan orang awam," katanya.
 
Ahmad Zahid berkata, kementeriannya sedang melakukan pelbagai usaha menangani jenayah termasuk membantu bekas banduan.
 
Mengikut statistik hanya 0.6 peratus banduan di negara ini yang selesai menjalani hukuman kembali melakukan jenayah, katanya.
 
Ahmad Zahid berkata, ia jauh lebih rendah berbanding 65 peratus banduan di California, Amerika Syarikat yang kembali melakukan jenayah.
 
Selain itu, katanya Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) turut berusaha keras memulihkan 3,794 pesakit yang berada di pusat Pusat Pemulihan Jagaan dan Rawatan (CCRC) di seluruh negara bagi mengelak mereka kembali terjebak dengan najis dadah.
 
"Dadah, antara penyumbang kepada kejadian jenayah dengan 57.2 peratus banduan yang berada di penjara tempatan melakukan jenayah berkaitan dadah," katanya.
 
 

Harga petrol naik enam sen, diesel naik tiga sen

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Harga runcit mingguan bagi petrol dan diesel naik mulai tengah malam ini. 
 
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan kenaikan harga baru petrol itu di laman Twitter sebentar tadi.
 
Bagi tempoh 27 Julai sehingga 2 Ogos, harga runcit bagi RON95 ialah RM2.03 per liter (dari RM1.97 per liter), manakala RON97 adalah RM2.28 per liter (dari RM2.22 per liter), masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak enam sen per liter. 
 
Sementara itu, harga diesel akan meningkat sebanyak tiga sen, menjadikan harga barunya RM1.99 per liter (dari RM1.96 per liter).
 
Mekanisme pengumuman harga bahan api secara mingguan berkuat kuasa sejak April lalu.
 
 

Armada tidak ikhlas, memang nak cetus provokasi - Exco Pemuda Umno

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Exco Pergerakan Pemuda Umno, Muammar Ghadafi Jamal Jamaluddin menafikan sayap itu yang memulakan provokasi terhadap kumpulan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) sehingga mencetuskan kekecohan di hadapan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada petang semalam.
 
Beliau berkata, Pemuda Umno hanya bertindak balas selepas provokasi itu dimulakan oleh sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sejak awal. 
 
Tambahnya, Armada sebenarnya tidak ikhlas mahu menghantar jemputan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak untuk menghadiri forum Nothing To Hide 2.0. 
 
"Tanyalah siapa-siapa pun, jemputan itu bukan niat sebenar mereka, provokasi itulah niat yang sebenarnya," katanya kepada Antarapos.
 
Muammar berkata, beliau yakin Umno tidak mempunyai masalah sekiranya jemputan itu dilakukan secara berhemah serta dengan niat yang ikhlas. 
 
"Pada pandangan saya, paling penting, kalau nak beri surat, beri saja senyap-senyap. Tak perlu posting (di media sosial) untuk dapatkan liputan media.
 
"Nampak sangat tujuannya bukan untuk beri surat sangat, tapi tujuannya untuk buat provokasi. Jadi pergilah atas niat yang ikhlas, buat benda yang betul.
 
"Kenapa perlu buat posting awal-awal. Pada saya apa yang dibuat Armada itu tak betul daripada awal," katanya lagi.      
 
Semalam kedua-dua sayap pemuda Umno dan PPBM itu bertembung di hadapan pusat membeli belah Sunway Putra menuju ke PWTC, berpunca dari tindakan Armada yang mahu menghantar jemputan kepada Najib untuk menghadiri forum Nothing To Hide 2.0.
 
Forum yang dianjurkan Pakatan Harapan (PH) itu akan diadakan pada awal bulan depan, bertujuan untuk menjawab pelbagai persoalan yang akan dibangkitkan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 
 
Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyelar Pemuda Umno yang didakwa tidak 'gentleman' apabila cuba menghalang Armada yang hanya ingin menyampaikan jemputan. 


PKR, Amanah bodoh kalau pilih DAP terajui PH, kata Tun M

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad menolak dakwaan kononnya parti majoriti Cina, DAP mendominasi Pakatan Harapan (PH).
 
Menurut mantan perdana menteri itu, beliau percaya PKR dan Amanah bijak untuk tidak memilih DAP menunjangi gabungan itu apatah lagi dengan jumlah kerusi majoriti yang dimiliki kedua parti itu.
 
"Itu sampai bila pun akan ulang benda itu. Benda tak benar. Dalam Pakatan Harapan ini ada tiga buah parti yang diketuai oleh orang Melayu dan punya jumlah mereka sekarang ini pun menjadi majoriti. DAP bukan majoriti.  
 
"Kalau kita jumlah Amanah dengan Keadilan (PKR) sekarang ini mereka punya lebih banyak wakil rakyat daripada DAP. Kalau mereka begitu bodoh mereka akan pilih DAP lah. Tetapi mereka bukan bodoh macam itu.
 
"Dalam Pakatan Rakyat dulu pun dia kurang daripada jumlah kerusi yang dimiliki oleh pada mulanya PAS dan Keadilan (PKR). Sekarang ini Keadilan (PKR) dengan Amanah. Jumlah mereka lebih tinggi dari DAP," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PPBM di sini hari ini.
 
Tegasnya lagi, PH dianggotai tiga buah parti majoriti Melayu yang berteraskan sistem demokrasi dan tidak timbul isu mana-mana parti mengawal gabungan itu.
 
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata beliau tetap yakin, DAP tetap memegang kuasa pemutus dalam PH, walaupun gagasan itu beriya-iya mengemukakan senarai struktur baru pakatannya.
 
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dalam Persidangan Invest Malaysia 2017, semalam. 
 
DAP mempunyai 38 kerusi Parlimen dalam pakatan pembangkang, pemilik kerusi terbanyak di antara empat parti dalam PH.
 
Sebelum ini, pandangan sama turut disuarakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang mempersoalkan ketiadaan wakil DAP dalam tiga kedudukan teratas dalam barisan kepimpinan baru PH. 
 
Ujarnya lanjut, senarai baru tersebut seolah-olah mahu mengaburi mata pengundi dan rakyat kononnya segala keputusan dalam PH tidak dipengaruhi DAP.
 
Dalam barisan struktur kepimpinan PH yang baru sahaja diumumkan minggu lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai Ketua Umum, sementara Pengerusi PPBM Dr Mahathir diangkat sebagai pengerusi.
 
Isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik menjadi presiden PH. 
 
Manakala DAP hanya diwakili Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng yang dinamakan timbalan presiden PH, sementara naib presiden DAP dari Sarawak, Chong Chieng Jen, dinamakan naib presiden PH.
 
Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, bagaimanapun, tidak memegang sebarang jawatan dalam barisan kepimpinan utama gabungan itu.
 
 

Selasa, 25 Julai 2017

Samseng dan Umno berpisah tiada, kata Syed Saddiq

Ketua Pemuda PPBM itu berkata Umno sepatutnya menjawab isu dengan hujah dan bukan kekerasan.

Syed-Saddiq

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengutuk kekecohan susulan tindakan sekumpulan Pemuda Umno menghalang pemimpin pemuda parti itu menghantar jemputan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menghadiri sebuah forum bulan depan.

Syed Saddiq berkata tindakan Pemuda Umno menghalang dan menumbuk salah seorang exco Pemuda PPBM menunjukkan budaya samseng dalam Umno tidak boleh dipisahkan.

“Kita bukan nak maki hamun ke apa, cuma kita nak pastikan Najib datang program ‘Nothing To Hide 2.0’, malah tindakan mereka menghalang itu menunjukkan mereka takut berhujah.

“Budaya samseng dalam Umno berpisah tiada dan budaya samseng dalam Umno juga dah sebati. Sebab itu mereka takut nak jawab persoalan dengan hujah.

“Takut sangat berdebat sebab jawapan mereka sentiasa sahaja dengan tumbukan dan cemuhan,” katanya kepada pemberita selepas sidang media Pemuda Pakatan Harapan di Wisma Amanah hari ini.

Syed Saddiq mencabar Umno supaya tidak hanya berani bertumbuk tapi memberanikan diri untuk berdebat.

“Jangan jawab dengan tumbukan, jawablah dengan hujah, kita jumpa di Nothing To Hide 2.0,” katanya, mengulangi desakan supaya Najib hadir di forum yang akan turut disertai Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Terdahulu, sekumpulan ahli Pemuda PPBM hadir di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi menghantar jemputan rasmi kepada Najib menghadiri forum “Nothing To Hide 2.0”, yang dianjurkan Pemuda PPBM pada 13 Ogos.

Mereka dihalang kira-kira 200 Pemuda Umno hingga menyebabkan berlaku tolak menolak antara mereka.

Ketua Penerangan PPBM Ashraf Mustaqim mendakwa beliau turut ditumbuk.

Kit Siang: Musuh utama Najib ialah dirinya, bukan DAP atau PH

 
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang terharu Najib menggunakan acara Invest Malaysia 2017 untuk mengumumkan beliau ialah individu berkuasa di negara ini.


lim-kit-siang-najib-razak-malaysia-takut

KUALA LUMPUR: Musuh utama Datuk Seri Najib Razak ialah dirinya, bukan DAP atau Pakatan Harapan (PH), kata Lim Kit Siang.

Ketua Parlimen DAP itu juga berkata, Najib dan anggota Kabinetnya memfitnah DAP serta pemimpin PH.

“Saya terharu Najib gunakan acara Invest Malaysia 2017 umumkan saya merupakan individu berkuasa di dalam negara, tetapi kenapa saya tidak tahu mengenai perkara ini.

“Saya tidak tahu saya boleh jadikan bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai boneka (untuk) melakukan apa saya mahu,” katanya pada sidang media di luar Dewan Rakyat hari ini.

Perdana menteri hari ini menyerang PH dan seorang “ahli politik pencen” dalam program yang dihadiri pelabur dari dalam dan luar negara.

Najib menyifatkan struktur rasmi pucuk pimpinan PH yang baru diumumkan minggu lalu sebagai “program kembali bekerja” untuk ahli politik lama.

Katanya, DAP sengaja tidak ditonjolkan dalam barisan pimpinan tertinggi PH kerana ia strategi memperdaya pengundi khususnya orang Melayu.

Mengulas lanjut, Lim yang juga ahli Parlimen Gelang Patah terpegun apabila Najib dan pemimpin Umno serta BN menyifatkannya diktator kepada diktator dan pemimpin anti-Islam.

“Saya sudah tahu apa yang dikatakan Najib tidak benar. Jadi, apa yang menyebabkan Najib fikir delegasi antarabangsa dan pelabur luar negara percaya pembohongan Najib?” soalnya.

Hishammuddin: Saya tidak berminat bertanding di Langkawi

Hishammuddin berkata beliau masih lagi mahu mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong, Johor.


hishamuddin-langkawi


KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau tidak berminat untuk bertanding di kawasan Parlimen Langkawi, Kedah pada pilihan raya umum
(PRU) akan datang susulan beliau dicabar Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hishammuddin yang juga anggota Parlimen Sembrong berkata beliau masih lagi mahu mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong, Johor.

“Itu saya lihat seperti ‘budak-budak’ mencabar saya bertanding di Parlimen Langkawi, maka saya hendak memperingatkan kepada Dr Mahathir, beliau yang menawarkan dirinya sendiri untuk bertanding di Pekan, Pahang.

“Saya tidak pernah menawarkan diri saya untuk bertanding di Langkawi dan saya cukup selesa di Sembrong, jadi tidak perlu saya jawab lebih daripada itu,” katanya ketika diminta mengulas isu beliau dicabar untuk bertanding pada PRU akan datang di kawasan Parlimen Langkawi.

Hishammuddin berkata beliau tidak pernah menyatakan hasrat untuk bertanding kerusi Parlimen Langkawi.

“Apa yang saya nyatakan hari itu dia yang hendak bertanding di Pekan, bertandinglah…tapi itu hasrat dia (Dr Mahathir), saya tidak pernah menyatakan hasrat saya untuk bertanding di Langkawi.

“Oleh itu, saya rasa amat kecewa pada seorang ahli politik yang sudah veteran dan saya tidak mahu melayan lagi benda-benda sebegini,” katanya.

Pada Ahad lepas, Hishammuddin menyifatkan kenyataan Dr Mahathir untuk bertanding di Pekan pada PRU akan datang sekadar kenyataan bersifat populis.

Hishammuddin juga melihat kenyataan itu bertujuan mengganggu tumpuan anggota Umno kerana dibuat ketika Umno bahagian sedang sibuk mengadakan persidangan perwakilan.

Agensi Indonesia: Waspada jerebu, kebakaran hutan bertambah

 
Kebakaran yang berlaku sebuah wilayah utara di pulau Sumatera, menghasilkan jerebu dan beberapa penduduk dibawa ke hospital akibat masalah pernafasan.


bnpb


JAKARTA: Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan Indonesia (BNPB) memberi amaran ancaman kebakaran hutan semakin meningkat berikutan musim kemarau yang dijangka mencapai kemuncaknya dalam beberapa bulan ini, dan kawasan panas dikesan di wilayah Acheh mula mengeluarkan asap tebal.

Agensi itu berkata, kebakaran tersebar ke hutan dan ladang seluas 64 hektar di Acheh, wilayah utara di Sumatera, menyebabkan jerebu dan sesetengah penduduk terpaksa mendapatkan rawatan di hospital akibat masalah pernafasan.

“Kemuncak musim kering diramalkan Ogos dan September, jadi ancaman kebakaran hutan, ladang dan musim kemarau akan meningkat,” kata Sutopo Purwo Nugroho, jurucakap BNPB dalam satu kenyataan hari ini.

Kebakaran di Acheh bermulaSelasa minggu lepas dan pihak berkuasa masih berusaha memadamkan kebakaran di beberapa kawasan.

Sementara itu, Nugroho berkata, 1 imej satelit menunjukkan 170 kawasan panas di seluruh Indonesia petang semalam.

Indonesia sering berdepan kejadian kebakaran hutan yang boleh mengakibatkan asap tebal ditiup ke negara jiran seperti Singapura dan Malaysia.

Indonesia mengalami beberapa kejadian kebakaran hutan terburuk pada 2015, terutama di Sumatera dan Kalimantan.

Bank Dunia memetik data kerajaan berkata, tanah seluas 2.6 juta hektar di Indonesia terbakar antara Jun dan Oktober 2015, menyebabkan kerugian ekonomi dianggarkan bernilai AS$16 bilion.

Penukaran tanah gambut, selalunya didorong penanaman kelapa sawit, menyumbang kepada kekerapan jerebu akibat kebakaran, kata Bank Dunia.

Ketua Agensi Pemulihan Tanah Gambut Indonesia dalam satu persidangan pada Mei lalu berkata, “tidak ada lagi jerebu bertiup ke negara jiran” kerana pihak berkuasa mengambil langkah baru menangani kebakaran, lapor Yayasan Thomson Reuters.

Semalam, menteri alam sekitar dan perhutanan Indonesia mahu mengekalkan moratorium yang dilaksanakan ketika ini ke atas pengeluaran lesen baru menggunakan tanah dikhasnya untuk hutan primer dan tanah gambut.

November tahun lepas, Jakarta meletakkan lebih 66 juta hektar tanah di bawah moratorium itu.

Bukan Semua Pembangkang Sokong Tun Mahathir

Fuad Shahdan

Tun Mahathir


Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam Pakatan Harapan (PH) dan kemudian baru-baru ini diangkat pula menjadi Pengerusi gabungan politik pembangkang. Kedudukan dominan Tun M dalam PH sebenarnya menimbulkan pelbagai polemik dan pandangan dan tidak kurang juga kritikan terhadap penglibatan aktif bekas Perdana Menteri itu dalam pembangkang. 

Jika dulu kritikan ditujukan kepada Tun M oleh penyokong Kerajaan, kini kebanyakan kritikan datang dari penyokong pembangkang yang tidak berpuas hati dengan hal yang terjadi.

Misalnya kumpulan yang dikenali sebagai Otai Reformis 1998 yang dianggotai oleh aktivis politik tegar membantah sekeras-kerasnya penyertaan dan penglibatan dominan Tun M dalam PH.

Kumpulan berkenaan yang menghimpunkan aktivis era Reformasi 1998 dan dikenali dengan kelantangan suara mengkritik dasar dan pandangan politik Tun M menganggap beliau sebagai individu yang tidak layak bercakap soal integriti.

Otai Reformis 1998 sebenarnya penting untuk gerakan politik pembangkang kerana memiliki kekuatan perjuangan di peringkat akar umbi dan jelas gerakan seperti ini tidak mudah dipengaruhi oleh keputusan politik kerana mereka dianggotai oleh kelompok aktivis yang berprinsip.

Jelas sekali kehadiran Tun M dalam pembangkang sebenarnya bukanlah dialu-alukan sepenuhnya. Ramai melihat parti baru seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dilihat datang secara tiba-tiba dan dilayan dengan istimewa, berbanding dengan aktivis yang telah lama berjuang untuk pembangkang.

Tun M memiliki sikap politik Machiavelli dan yang penting bagi beliau hanya matlamat walaupun dilihat secara menyeluruh hubungan beliau dengan tokoh-tokoh pembangkang sebenarnya bukanlah akrab. Tun M juga sehingga kini masih berselindung dan tidak mahu berkata benar tentang tuduhan liwat dan salah guna kuasa yang dikenakan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Perdana Menteri ketika era beliau.

Pengaruh Tun M yang semakin membesar ini sebenarnya mampu menggugat keharmonian dan kestabilan parti-parti politik pembangkang kerana kemungkinan besar BERSATU akan merampas kosensus yang telah dibentuk secara halus. Alasan paling munasabah yang boleh digunakan BERSATU ialah mereka mewakili kaum Melayu dan sudah tentu mahu menguasai kerusi yang lebih banyak kerana BERSATU mahu menumpukan perhatian melawan UMNO yang sudah tentu dominan dan kukuh dalam Barisan Nasional (BN).

Malah baru-baru ini Tun M semasa ditanya tentang kesudian BERSATU membenarkan calon-calon dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) menggunakan logo parti berkenaan jika DAP dibatalkan pendaftarannya akibat krisis dalaman, Tun M dengan tegas menolak cadangan berkenaan dan mengganggap BERSATU ialah parti Melayu dan tidak sesuai untuk DAP menggunakan logo berkenaan.

Jelas melalui situasi itu, Tun M masih bersikap ragu-ragu dengan DAP dan pakatan yang berlangsung di dalam PH hanya pakatan sementara mahu merebut kuasa politik yang belum tentu memiliki kestabilan dan kemapanan untuk tempoh berpanjangan.


SPLASH Skandal Terbesar Azmin






Captain M – 1. Apa lagi helah Azmin Ali MB Selangor mengenai SPLASH? Kata Azmin, kerajaan pusat belum memaklum nilai ambil alih SPLASH kepada kerajaan negeri Selangor. Semua pihak tahu hubungan ISTIMEWA Azmin Ali dengan syarikat taikun Gamuda yang memiliki SPLASH.

April lalu Tan Sri Khalid Ibrahim bekas MB membuat kenyataan media mengenai SPLASH apa moral Azmin bersungguh-sungguh mahu membayar RM2.7 billion kepada SPLASH meskipun taksiran asal hanya RM250juta? Baca di sini




2. Azmin MB berkata, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) menerusi surat bertarikh 26 Mei 2017 hanya memaklumkan kaedah penilaian ke atas Splash oleh penilai bebas antarabangsa yang dilantik kerajaan pusat.

3. Splash adalah syarikat konsesi terakhir yang belum bersetuju dengan tawaran Selangor. Mengapa Azmin melengahkan? Tidak ada isu Kerajaan Persekutuan menaikkan tarif. Ini semua alasan Azmin sahaja.

4. Pada 12 September 2014 Kerajaan Persekutuan dan Selangor memeterai perjanjian utama bagi memuktamadkan penstrukturan industri perkhidmatan bekalan air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Menerusi perjanjian utama itu, Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), sebuah entiti baharu yang sebelum ini dikenali sebagai Pengurusan Air Selangor, akan mengambil alih operasi dan penyelenggaraan loji rawatan air serta perkhidmatan pembekalan air yang sebelum ini dilakukan empat syarikat konsesi. Sejumlah RM 9.13bilion dimuktamadkan



5. Menerusi perjanjian utama itu, Air Selangor Sdn Bhd mengambil alih tiga syarikat konsesi air negeri Selangor iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS) dan pemegang lesen perkhidmatan iaitu Konsortium Air Selangor Sdn Bhd (KASB). Baca selanjutnya di sini

6. Sehingga tarikh akhir tamat 7 Oktober rundingan Kerajaan Selangor dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (Splash) belum selesai. Malah sehingga kini nampaknya polemik itu berpanjangan. Kisah kepentingan Azmin dan Splash yang dijual RM250.6 juta menjadi RM2.7Bilion boleh dibaca di sini. baca Klik 1, klik 2,Klik 3



7. Pada Mei lalu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili dilaporkan bernada keras sebagai berkata bahawa kerajaan pusat mempunyai opsyen untuk mengambil alih Splash menerusi Akta Industri Perkhidmatan Air jika Selangor tidak dapat menyelesaikan isu konsesi air sehingga 7 Oktober, 2016. Hari ini Azmin Ali masih gagal menetapkan harga untuk SPLASH. mengapa?

8. Azmin masih berdiam mengenai komisen RM600 juta yang bakal diterima oleh PKR dan Anwar hasil jualan SPLASH. Azmin perlu menggunakan duit tersebut untuk pilihanraya. Begitu juga isu lot tanah 68054 Paya Indah Wetlands milik Gamuda yang diluluskan cepat pertukaran statusnya. Azmin kelu seribu bahasa dengan Gamuda hatta sekalipun Gamuda menipu!.



9. Sekarang Azmin Ali mahukan nilai dari KeTTHA sedangkan kerajaan negeri Selangor pimpinan Khalid Ibrahim terdahulu meletakkan nilai RM 250.6 juta dan Azmin kini penuh helah untuk meletakkan RM2.7b harga SPLASH. Jadi tak perlulah Azmin beralasan kononnya kerajaan persekutuan akan menaikkan taarif. Apa lagi helah Azmin ni?

Bukan Setakat Permatang Pauh, PAS Akan Tanding Semua Kerusi PKR






Bukan hanya di Parlimen Permatang Pauh, PAS juga berhasrat bertanding di semua kerusi yang ditandingi PKR sebelum ini, tegas Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Ini kerana kata Mohd Amar hubungan tahaluf siyasi dengan PKR telah terputus, maka PAS berhak bertanding di semua kerusi yang difikirkan perlu.

“Kita lawan, lawan tetap lawan, menang kalah nombor dua. Kalau lawan satu sama satu, Alhamdulillah. Kalau tiga penjuru pun kita lawan juga.

“Setakat ini memang dah (kita lawan) sebab kita tidak ada hubungan dengan PKR, jadi mana-mana kerusi PKR kita akan bertandinglah…itu terserah kepada kita,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian Online.

Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata, PAS tidak mempunyai masalah mencari calon untuk berdepan dengan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Di Permatang Pauh, calon ramai jadi tidak ada masalah,” katanya.

Beliau berkata, PAS kini sedang melakukan kajian untuk meletakkan calon di kawasan berpotensi menang pada PRU14 termasuk di kerusi milik DAP.

“Kita sedang membuat kajian selain daripada kerusi tradisi.

“Kita akan kaji kerusi PKR dan DAP,” katanya.

Baru-baru ini Naib Presiden PAS Idris Ahmad melancarkan jentera pilihan raya parti Islam itu di Permatang Pauh yang sinonim dengan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim.

Tindakan itu menimbulkan kemarahan Naib Presiden PKR Chua Tian Chang yang mengatakan PAS cuba melakukan provokasi.

Semalam, Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) Muhyiddin Yassin yang baru dilantik sebagai pengarah pilihan raya gabungan itu mengatakan mereka sudah bersedia untuk berdepan dengan pertembungan tiga penjuru pada PRU14.

PAS kini menubuhkan Gagasan Sejahtera yang akan berdepan dengan Barisan Nasional (BN) dan PH pada PRU14.

Jika Mahathir pun dicerca, tak tahulah Najib

SUBKY LATIF


BETAPA hebatnya sokongan Umno dan rakyat dihujung pentadbiran Perdana Menteri Dr. Mahathir bukan alang kepalang.  

 Dia menangis ketika mengumumkan persaraannya daripada politik dalam perhimpunan Umno. Wanita Umno menangis. Yang jantannya mengesat mata. Mereka tak terima persaraannya. Demikianlah sayang dan santun sekaliannya terhadapnya.
    
Tidak diduga kebanyakan yang kasih tak terhingga kepadanya itu mencercanya dan jamaah menteri sudahpun bersedia untuk mentribunalnya dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja.
     
Nilai Mahathir pada Umno mungkin lebih teruk daripada apa yang Dato’ Onn terima daripada Umno.
     
Kesnya dia tidak puas hati dengan pimpinan PM Najib, satu sikap yang dikongsi ramai termasuk setengah pembesar Umno. Tak senang Umno hanya tersimpan di hati, tak terkeluar di mulut seperti Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin.
      
Memang Mahathir pun banyak disunguti termasuk dalam kalangan Umno. Tetapi menjelang persaraannya, dia bagaikan dewa kepada Umno. Jika pun ada pebezaannya dengan Umno lepas bersara, tak terfikir sesiapa yang dikira dewa tadi dilihat Umno sebagai hantu.
     
Jika Mahathir dimaki hamun umum oleh Umno, maka apa yang boleh difikirkan tentang Najib sesudah tidak jadi Perdana Menteri dan pemimpin Umno nanti?
    
Mungkin Mahathir sebagai manusia tidak bebas daripada dosa dan banyak dosanya kepada Umno dan negara.
    
Akan tetapi Najib juga bukan malaikat. Untuk mengata Mahathir dalam pemerintahannya lebih teruk daripada Najib belum tentu disepakati oleh semua. Bahkan Najib juara daripada Mahathir sekalipun jadi Pedana Menteri belum sampai  sepuluh tahun.
     
Mungkin Umno tidak bangkitkan kelemahannya selepas bersara nanti jika dia membisu seribu bahasa terhadap pimpinan masa itu. Seperti beberapa bekas Perdana Menteri yang tak berdetik langsung akan apa yang Perdana Menteri selepasnya.
     
Setiap yang jadi Perdana Menteri ada pemimpin politik yang terbaik pada zamannya. Orang politik yang sebenar tidak boleh diam atas apa kecurangan sebelum dan sesudah jadi PM. Dia mesti kata sesuatu seperti yang Tunku Abdul Rahman buat.
     
Jika ulama diam terhadap sebarang kemungkaran di depan mata, dia dikelaskan sebagai syaitan bisu, maka mantan PM yang tak berkata apa-apa sama dengan makhluk ghaib tanpa suara. Bukanlah orang politik yang sempurna jika tengok dan dengar saja kepincangan yang berlaku. Yang macam ini adalah politikus kelas rendah.
     
Jika Najib  orang politik seperti Dato’ Onn, Tunku dan Mahathir, dia mesti tegur dan tegur tak jadi juga, dia mesti cabar. Bukan amalan manusia yang baik membenarkan orang berkuasa merosakkan muka bumi. Yang begitu adalah standard hamba.
     
Kelemahan Umno ialah mendengar saja sabda ketuanya, buruk atau baik. Jika Mahathir itu rosak ialah  tiada Umno selain  Ku Li dan Musa Hitam dan Anwar yang sanggup menegurnya. Yang lain termasuk Najib, kipas saja. Sikap Najib itu ikut merosakkan Mahahir.
     
Jika Najib mulia seperti Musa Hitam dan Anwar, dia akan tegur juga ada kecurangan orang selepasnya. Memberi peluang kepada yang salah membetul diri sendiri bukan sifat elok pimpinan dan negarawan.
     
Jika Najib mahu mempertahankan diri sebagai orang bestari dia mesti  buat macam Tunku dan Mahathir tegur dan tentang bapak penyelewengan selepasnya.
     
Nak tahu Najib terpuji atau hina, dia jangan jadi ulama bisu. Tegur berpada-pada. Jika Najib berani menempuh cabaran itu, dengan persepsi buruk yang ada sekarang, baru Umno akan cercanya pula lebih teruk daripada mencerca Mahathir. - HARAKAHDAILY 

Maahad Tahfiz Selangor tumpu kurikulum utama

HARAKAHDAILY

 
SEBANYAK 265 maahad tahfiz yang dibangunkan di Selangor menumpukan aspek kurikulum utama mengikut piawaian pendidikan ditetapkan di peringkat negeri dan Persekutuan.
 
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, teras kurikulum yang diajar di maahad tahfiz negeri tidak bersandarkan prospek ajaran hafazan Al-Quran sahaja.
 
Katanya, kurikulum pendidikan baru dipelbagaikan bagi memberi nilai tambah kepada pelajar untuk lebih berdaya saing seiring pelajar di sekolah biasa.
 
“Jumlah pelajar tahfiz keseluruhan di Selangor adalah 15,504 orang murid dengan kurikulum diajar selain menghafaz Al-Quran seperti Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
 
“Selain itu, Kurikulum Bersepadu Dini (KBD)(KPM), Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) (KPM) dan Kurikulum Agama Azhari di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” katanya dipetik SelangorKini.
 
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Yaakob Sapari pada persidangan penggal kelima Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-13 di Shah Alam, hari ini.
 
Terdahulu, kerajaan negeri komited melaksana agenda pembangunan madrasah integrasi tahfiz dan maahad tahfiz seluruh negeri.
 
Ahmad Yunus berkata, tumpuan itu membabitkan keperluan penambahbaikan sistem pendidikan aliran agama dan kenaikan tangga gaji baru guru sekolah agama negeri.
 
“Ia dibuktikan menerusi penambahan jumlah peruntukan dalam Belanjawan 2017 lalu termasuk peningkatan elaun sehingga RM1,500 kepada guru sekolah agama negeri.
 
“Kenaikan itu membabitkan peruntukan mencecah RM20 juta bergantung kepada tempoh perkhidmatan mereka,” katanya.

Cikgu Ibrahim tambah pengaruh PAS di Salor

MUHAMAD ARIF ISMAIL

 
 
GERAK kerja PAS di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Salor kini tambah bersemangat dengan pelantikan Ibrahim Isa sebagai penyelia Dun awal Julai lalu.
 
Sebelum ini pengurusan Dun terbabit di bawah kendalian anggota Exco, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman sebagai penyelaras Dun.
 
Ibrahim berkata, sebelum dilantik sebagai Penyelia Dun beliau terlibat secara tidak langsung dalam pengurusan di peringkat Majlis Tindakan Dun (MTD) Salor.
 
Katanya, pelbagai program diadakan sejak Adun Salor, Datuk Husam Musa menyertai parti lain pada tahun lepas.
 
“Setiap program yang kami adakan sentiasa mendapat sambutan meriah. Malah lebih ceria berbanding sebelum ini.
 
“Tugas sebagai penyelia Dun bukan kerja mudah. Saya memerlukan sokongan penuh jentera di peringkat MTD bagi mengembalikan semula sokongan penduduk terhadap PAS,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Masyarakat Dun Salor di Kampung Padang Sakar hari ini.
 
Hadir sama Timbalan Pengarah MTD Salor, Mohd Nuri Mat Yaacob dan setiausaha MTD, Hassan Ibrahim.
 
Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan cikgu juga berkata, program rumah duafat yang diberikan kepada penduduk miskin sedang rancak dibina dengan peruntukan RM40,000 sebuah.
 
Katanya, tahun ini sebanyak tiga rumah dhuafat dalam proses pembinaan iaitu di Kampung Dewan Beta, Dewan Beta Hilir dan Gaung, Pendek. – HARAKAHDAILY 
 
 

GGM bukan gagal tangani Islamophobia

ASTRO AWANI

GGM bukan gagal tangani Islamophobia
Reezal Mercan berkata gejala Islamophobia tidak boleh diatasi oleh Malaysia semata-mata kerana ia perlu dilakukan secara bersama oleh negara Islam dan negara bukan Islam.- Gambar dari fail
 
 
KUALA LUMPUR: Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) bukan satu pertubuhan yang gagal dalam menangani masalah Islamophobia, kata Timbalan Menteri Luar ,Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata pertubuhan itu sering dijemput ke luar negara untuk berkongsi pengalaman mengenai masalah tersebut antaranya ke negara-negara Asia Tengah, India, Sri Lanka, Maldives dan Kyrgyzstan.
 
"Saya tidak lihat peranan GMM tidak relevan. Cuma daripada soalan berkenan Islamophobia, ia tidak boleh diperangi daripada satu perspektif sahaja malah ia daripada pelbagai perspektif,"katanya ketika menjawab soalan tambahan Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah).

Kit Siang bertanya sama ada penubuhan GMM itu berkesan dalam menangani Islamophobia.

Reezal Mercan berkata gejala Islamophobia tidak boleh diatasi oleh Malaysia semata-mata kerana ia perlu dilakukan secara bersama oleh negara Islam dan negara bukan Islam. -- BERNAMA 
 
 

JIKA MAHU DIKOREK, SEJARAH TUN M ATAU SEJARAH KJ YANG LEBIH HITAM?

shahbudindotcom


Dengan garang, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang dilaporkan mahu merebut salah satu jawatan Naib Presiden dalam pemilihan akan datang berkata, UMNO akan menggali semula sejarah Tun Mahathir Mohamad ketika pemerintahannya dari 1981 hingga 2003 dahulu.

Kata beliau, tindakan itu bukan saja sebagai suatu serangan balas, tetapi juga untuk menjadikan bekas Perdana Menteri dan sekutunya dalam Pakatan Harapan tidak lagi selesa.

"Orang kata kami siasat skandal lama dalam kerugian forex, tetapi tak kisahlah berapa lama ia berlaku, kita perlu siasat salah laku.

"Saya tidak suka bercakap buruk, tetapi orang ini asyik menyalahkan pentadbiran sekarang sedangkan dia ada rekod lebih teruk. Jika tidak mahu sejarah dibuka kembali, duduk diam-diam saja.

"Tetapi dia cabar kami, cakap tentang semua benda...kleptokrasi dan macam-macam lagi. Jadi, sejarah akan dibuka. Kami akan gali dan bongkar, biar rakyat buat keputusan," kata KJ lagi di perasmian Meyuarat Perwakilan UMNO Kepala Batas, bahagian UMNO yang pernah dipiimpin oleh bapa mertuanya, Tun Abdullah Badawi.
Adakah Tun Mahathir gentar dengan tindakan itu?

Atau, adakah ia akan melemahkan beliau?

Tun Mahathir tentunya tiada masalah jika tindakan menggali dan mengorek sejarah kepimpinannya mahu dilakukan oleh kepimpinan Najib sekarang ini.

Beliau tidak saja dipercayai mampu menanganinya, malah tindakan itu secara tidak langsung merupakan serangan kepada UMNO sendiri yang akan menguntungkan Pakatan Harapan.

Ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, ia bukan saja bermakna semuanya adalah tentang UMNO dan BN, tetapi juga ketika itu Najib dan Tun Abdullah sendiri berada dalam kerajaan sebagai menteri.

Apa mereka buat ketika itu? 

Adakah terbukti mereka pernah bersuara atau hanya angguk membabi buta?

Jika semua kesalahan itu diungkit dan dikorek, manifestasinya ialah kerajaan UMNO dan BN memang tidak berguna di mata rakyat dan ia akan lebih memudahkan mereka menghumbannya daripada puncak kuasa dalam pilihanraya umum akan datang nanti.

Setidak-tidaknya, dengan apa yang dilakukan oleh Tun Mahathir sekarang, beliau bukan saja  menentang perlakuan Najib yang lebih membawa kerosakan kepada negara, malah juga untuk menebus kembali salah silapnya di masa lalu.

Tidakkah tindakan Tun Mahathir sekarang ini  patut dipuji dan disokong berbanding jika beliau hanya diam dan terus bersekongkol dengan kebatilan serta kemungkaran?

Selain itu, jika sejarah silam mahu dikorek dan diungkit, KJ juga harus ingat bahawa beliau sendiri banyak sejarah silam yang kelam dan hitam ketika era pemerintahan Tun Abdullah Badawi dahulu.

Apakah beliau lupa semua itu?

Seorang rakan, apabila terbaca berita mengenai KJ mengatakan mahu mengorek sejarah silam Tun Mahathir, lantas kegembiraan kerana memberinya idea spontan untuk menerbitkan sebuah buku mengenai kisah silam KJ bermula daripada kerja awalnya sebagai pegawai khas di pejabat Tun Abdullah (ketika itu masih menjadi Timbalan Perdana Menter), dilantik Exco Pemuda oleh Hishammudin, menjadi menantu Tun Abdullah, bertanding Naib Ketua Pemuda dan Ketua Pemuda yang penuh kontroversi, menguasai pentadbiran kerajaan melalui apa yang dikata budak-budak tingkat 4, didakwa mempunyai hubungan rapat dengan Singapura sehingga banyak saham-saham kerajaan dijual kepada Temasek Holding dan 1001 macam yang lain lagi.

Kata kawan tersebut, beliau akan cuba menyiapkan buku itu untuk pengetahuan generasi akan datang, kalau pun tidak diedar dan dijual menjelang PRU 14 akan datang, ia mungkin akan dilakukan sebelum pemilihan UMNO nanti.

Adakah sejarah silam Tun Mahathir menyebabkan wujudnya tanggapan campurtangan asing dalam kerajaan, harta-harta negara dijual sesuka hati dan kerajaan jadi lemah serta kucar-kacir?

Antara sejarah silam KJ dengan Tun Mahathir, sejarah siapakah sebenarnya yang lebih kelam, hitam dan memalukan UMNO serta negara?

Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia tiba di Madinah

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
MADINAH: Kumpulan pertama 483 jemaah haji Malaysia musim 1438 Hijrah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohamad Bin Abdulaziz di sini, kira-kira 9.30 pagi waktu tempatan (2.30 petang waktu Malaysia) pada Isnin.
 
Ketibaan mereka di bangunan penginapan jemaah haji di Hotel Anwar Al Madinah Movenpick pada kira-kira 1 petang (6 petang waktu Malaysia) disambut Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Zainol Rahim Zainuddin; Timbalan Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438H, Nurrinanuwar Shamsuddin; dan Konsul Haji, Mohammad Saimi Mat Som.
 
Jemaah haji berkenaan turut disambut petugas Tabung Haji (TH) yang telah melakukan pelbagai persiapan sejak beberapa bulan lepas di Madinah dan Makkah.
 
Kumpulan jemaah haji itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 5.30 pagi waktu Malaysia, pada Isnin.
 
Sebanyak 30,200 jemaah haji Malaysia akan menunaikan ibadah haji pada tahun ini, dan mereka dijadual tiba di Madinah dan Makkah secara berperingkat bermula Isnin.
 
Sementara itu, Zainol Rahim mendoakan semua jemaah haji Malaysia berada dalam keadaan sihat dan dapat melaksanakan ibadah haji dan umrah dengan baik.
 
Zamzuri Ariffin, 49, dan isterinya Rohana Latih, 45, masing-masing dari Kelantan, yang pertama kali mengerjakan ibadah haji, menyatakan syukur kerana terpilih menjadi 'Tetamu Allah'. 
 
 

Tak ada kuasa jangan buat, kata IGP kepada PPIM

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) diminta untuk mematuhi undang-undang negara, demikian gesaan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
 
Beliau juga turut menasihatkan badan bukan kerajaan (NGO) itu menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan.
 
Beliau mengulas tindakan PPIM yang mahu memburu pengusaha skim pajakan kereta di Seri Kembangan atas alasan bagi membela nasib pengguna yang teraniaya.
 
“Saya nasihatkan semua termasuk PPIM supaya mematuhi undang-undang.
 
“Kalau kita tak ada kuasa untuk melakukan apa juga tindakan, kita janganlah buat,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan terbaru kes tersebut.
 
Khalid berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Tugas Pengarah Jabatan PDRM dan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
 
Menurut Khalid yang dipetik Malaysiakini, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan terhadap kedua-dua laporan polis yang dibuat oleh PPIM dan syarikat pajakan kereta berkenaan.
 
“Sepertimana yang kita umumkan siasatan telah dijalankan oleh satu task force untuk melihat kedua-dua laporan polis dari kedua-dua pihak ataupun semua pihak jadi biarlah kita selesaikan siasatan itu dulu,” katanya.
 
Sebelum ini, PPIM didakwa menceroboh premis sebuah syarikat di Seri Kembangan dengan alasan bagi membantu pemilik kereta yang didakwa teraniaya dengan skim pajakan kereta.
 
Modus operandi syarikat tersebut menggunakan kaedah sambung bayar kenderaan menerusi satu perjanjian yang didakwa tidak mendatangkan sebarang nilai kepada pemiliknya.
 
Pemilik kenderaan dijanjikan kereta yang mereka pajak itu mempunyai penyewa dan mereka tidak akan mempunyai masalah pembiayaan dengan institusi kewangan.
 
Kekecohan pada 11 Julai lalu itu menjadi viral selepas video aktivis PPIM membantu mangsa mendapatkan semula kereta tersebar luas di media sosial.
 
Video tersebut memaparkan bagaimana aktivis PPIM berdepan dengan kakitangan syarikat terbabit melibatkan insiden perang mulut, merobohkan pagar premis dan mengambil semula kereta milik mangsa

Jangan lupa doakan Malaysia, pesan Najib kepada jemaah haji

 
Perdana menteri minta jemaah hari mendoakan Malaysia aman dan berjaya yang akan disanjungi semua pihak.


najib-haji


PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta jemaah haji yang bakal ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji tahun ini agar mendoakan Malaysia terus aman dan meraih lebih banyak lagi kejayaan di persada dunia.

“Lakukan ibadah haji sebanyak mana dan yang terdaya. Jangan lupa berdoa demi negara Malaysia kita tercinta. Berdoalah semoga Allah sentiasa memberi rahmat kepada negara kita agar menjadi sebuah negara yang aman, berjaya, yang akan terus disanjung tinggi oleh semua pihak.

“Semoga yang pergi haji ini akan mendapat haji yang mabrur. Selamat berlepas dan selamat kembali.
Moga dapat lakukan ibadah haji dengan aman dan tenang,” katanya ketika berucap sebelum melepaskan kumpulan kedua jemaah haji Malaysia di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya hari ini.

Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Duta Besar Arab Saudi di Malaysia Mahmoud Hussen Qattan.

Kumpulan ke-2 jemaah haji itu membabitkan 420 orang berlepas 9.30 malam ini manakala lebih 400 orang daripada kumpulan pertama jemaah haji berlepas kira-kira 6.00 pagi tadi.

Pada musim haji tahun ini, sejumlah 112 penerbangan disediakan untuk membawa 30,200 jemaah haji ke Tanah Suci menerusi penerbangan Malaysia Airlines Berhad dan FLYNAS, dengan penerbangan terakhir dijadual 26 Ogos ini.

Najib menarik perhatian, akhlak dan tingkah laku jemaah negara yang baik dan mematuhi arahan sewaktu menunaikan ibadah di Makkah antara faktor yang menyumbang kepada kuota tambahan yang diberikan kepada Malaysia tahun ini oleh kerajaan Arab Saudi.

“Kita di Malaysia ini dapat banyak keistimewaan. Jangan fikir yang pipih datang melayang, yang bulat datang bergolek, tidak. Ini berlaku kerana usaha dilakukan kerajaan Malaysia.

“Bukan saya hendak dapatkan semua (penghargaan itu), tidak, ini semua kerana jemaah haji kita yang akhlaknya baik, tingkah laku baik, sikapnya yang baik, boleh jadi contoh kepada yang lain,” katanya.

Jelasnya, selain itu, faktor pentadbiran kerajaan dan pengurusan Lembaga Tabung Haji yang cekap juga turut diambil kira Riyadh dalam memberikan kuota tambahan tersebut yang dipohon sejak 2013 namun hanya diluluskan tahun ini.

“Alhamdulillah, kuota haji bertambah kerana permintaan yang saya ajukan dalam lawatan Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud (ke Malaysia) baru-baru ini . Setelah mendapat pertimbangan istimewa, kuota haji kita naik kepada 30,200 berbanding 27,900 orang. Kerana itu ramai boleh pergi haji, jadi tidak perlu tertekan,” kata Najib.

Beliau menarik perhatian, selain itu hubungan istimewa dan akrab antara kedua-dua negara yang terjalin selama ini menjadi penyumbang kepada peningkatan kuota tambahan jemaah haji.

Menyentuh mengenai subsidi kerajaan kepada jemaah haji, perdana menteri menjelaskan, ada kemungkinan jumlah subsidi tersebut akan dinaikkan tahun depan namun beliau tidak mengulas lanjut.

“Kita mempunyai subsidi yang hampir sama banyak dengan apa yang jemaah haji sudah bayar iaitu hampir 100 peratus di mana tuan-tuan membayar RM9,980 dan kerajaan bagi subsidi sebanyak RM9,570. mungkin tahun depan akan lebih lagi subsidi berbanding RM260 juta tahun ini.

“Kalau Tabung Haji tidak diuruskan dengan baik dan menjadi modal politik, jadi siapa yang akan rugi tuan puan? Inilah institusi kita (yang perlu dijaga) kerana Tabung Haji lah kita dapat subsidi yang banyak,” katanya.

Najib dan isterinya kemudian bersalaman dan bertegur sapa dengan bakal jemaah haji sebelum meninggalkan majlis kira-kira 7.00 malam.

Kajang ke Sungai Buloh, Reformasi ke Transformasi

 
Politik MRT ini pula bertambah menarik apabila kebetulan 2 terminal akhir bagi kereta api itu ialah Kajang dan Sungai Buloh, yang mempunyai signifikan penting dalam politik semasa Malaysia.
 
 
MRT


Ahad lalu, seorang anak muda menceritakan kepada saya bagaimana kereta api Transit Aliran Massa (MRT) memudahkan perjalanannya untuk pergi menghadiri Seminar Pemikiran Reformis yang di Kelab Golf Diraja Selangor di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Beliau yang tinggal di Sungai Ramal menaiki bas perkhidmatan kereta api dari rumahnya untuk ke stesen MRT Kajang dan turun dekat Razak Exchange yang dalam pembinaan.

Beliau kemudian berjalan melalui bangunan Johor Corp, Kedutaan Besar Indonesia sebelum menyeberangi Jalan Tun Razak untuk ke kelab golf itu.

Perjalanan kaki dari stesen Razak Exchange ke kelab golf itu agak jauh tetapi baginya sebagai anak muda tidaklah sesuatu yang menyusahkan.

MRT memberikan kemudahan besar bagi warga Lembah Klang yang selama ini dan terus akan mengalami masalah kesesakan lalu lintas.

Bagi pihak kerajaan, MRT bukan saja merupakan salah satu projek dalam kerangka Program Transformasi yang diisytiharkannya apabila Datuk Seri Najib Razak menjadi perdana menteri pada 2009 tetapi juga merupakan antara perkara bagi membolehkan Barisan Nasional (BN) memperoleh markah politik menjelang pilihan raya umum ke-14.

Maka dinyatakanlah bahawa MRT adalah hadiah perdana menteri kepada rakyat. Malah beliau juga disebut sebagai Bapa Pengangkutan Awam.

Ternyata, bukan saja MRT tetapi juga keseluruhan pengangkutan awam menjadi sebahagian daripada isu politik.

Di pihak pembangkang, masalah kesesakan lalu lintas di Lembah Klang sentiasa menjadi bahan bagi menunjukkan kelemahan kerajaan. Sementara kerajaan pula menjadikan pembaikan pengangkutan awam sebagai pencapaian mereka.

Kajang dan Sungai Buloh

Politik MRT ini pula bertambah menarik apabila kebetulan 2 terminal akhir bagi kereta api itu ialah Kajang dan Sungai Buloh. Kedua-duanya di Selangor tetapi laluannya merentas Kuala Lumpur berhampiran mercu tanda bermakna seperti Parlimen, Muzium Negara dan Stadium Merdeka.

Bangunan Parlimen adalah institusi tertinggi rakyat sementara Muzium Negara menjadi tonggak jati diri negara bukan saja bagi Malaysia tetapi entiti politik sebelumnya menjangkau zaman prasejarah.
Stadium Merdeka tempat bermulanya projek kemerdekaan Malaya dan kemudian berkembang menjadi Malaysia.

Walaupun Kajang terkenal dengan sate dan Sungai Buloh dengan nurseri bunga, tetapi dalam sejarah politik semasa, dua tempat itu mempunyai makna tersendiri.

Kajang dan Sungai Buloh mempunyai penjara. Tetapi Penjara Sungai Buloh merupakan tempat di mana Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada.

Sementara Adun Kajang ialah Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menyandang jawatan itu selepas suatu projek Pakatan Rakyat yang gagal, dipanggil “Langkah Kajang”. Ia adalah usaha dilakukan Anwar selepas pilihan raya umum 2013, dihebahkan sebagai Jalan Menuju ke Putrajaya (Road to Putrajaya).

Dalam rancangan Langkah Kajang, Anwar diharap menjadi Adun Kajang dan seterusnya menyandang jawatan menteri besar menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim. Dengan mengetuai Selangor, Anwar diharap boleh merintis kepada mendapatkan kuasa di Putrajaya.

Berakhirnya Pakatan Rakyat

Tetapi persilatan politiknya itu gagal. Beliau terpaksa berada di Penjara Sungai Buloh. Dr Wan Azizah menggantikan beliau sebagai calon Adun tetapi gagal menjadi menteri besar Selangor seperti yang dirancangkannya.

Akibat krisis politik Selangor ini, PKR dan PAS mengalami masalah politik dalaman. PKR ditinggalkan Khalid dan PAS juga turut kehilangan Adunnya. Hubungan PAS-PKR tidak menjadi baik.

Datuk Seri Azmin Ali menjadi menteri besar Selangor dengan sokongan PAS. Akhirnya “Langkah Kajang” sedikit sebanyak turut menyumbang kepada pembubaran Pakatan Rakyat.

Tetapi pada masa yang sama ia mewujudkan hubungan baik Azmin dengan PAS hingga menimbulkan rasa tidak senang pada kalangan DAP dan Amanah yang bersama PKR menubuhkan Pakatan Harapan bagi menggantikan Pakatan Rakyat.

Maka tidak hairanlah PAS terus berada dalam kerajaan negeri Selangor walaupun Pakatan Rakyat sudah tiada. Pakatan Harapan berada lebih kecil daripada Pakatan Rakyat kerana ketiadaan PAS.

Namun penyertaan PPBM ke dalam Pakatan Harapan menjadikannya lebih besar daripada sebelumnya.

PPBM, 1MDB dan MRT

Kemunculan PPBM adalah jelas kerana isu 1MDB. Pada asalnya penubuhan 1MDB sepatutnya menjadi projek yang turut menyumbangkan kepada kemajuan negara melalui Program Transformasi.

Dua kawasan besar yang diperoleh oleh 1MDB ialah bekas Pangkalan TUDM Kuala Lumpur yang akan menjadi Bandar Malaysia dan bekas kawasan rumah kuarters kerajaan Pudu yang bakal menjadi Tun Razak Exchange. Di sinilah terletaknya salah satu stesen MRT.

Tetapi mercu tanda paling besar bukannya di Tun Razak Exchange tetapi berhampiran menara Merdeka PNB118 yang dijangka siap pada tahun 2024. Ia terletak dekat Stadium Merdeka. Bangunan ini akan mengalahkan ketinggian Menara Berkembar Petronas dan bakal menjadi bangunan ketiga tertinggi dunia.

Maka dapat dilihat bahawa pentadbiran Najib sedang berusaha mengalahkan apa yang dicapai oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini menjadi pengerusi kedua-dua PPBM dan Pakatan Harapan.

MRT lebih gagah daripada kereta api kota yang dimulakan oleh pentadbiran Dr Mahathir iaitu KTM Komuter, LRT Star/Putra dan Monorel.

Transformasi Nasional 2050 (TN50) adalah juga lebih besar daripada Wawasan 2020. Tetapi Program Transformasi itu pula dilancarkan ketika Dr Mahathir menjadi penyokong Najib.

Malah beliaulah bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggerakkan usaha supaya Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan presiden Umno ekoran prestasi buruk Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya 2008.

Transformasi dan Reformasi

Sokongan yang diperoleh Najib dalam Umno bagi menggantikan Abdullah adalah untuk memulihkan kedudukan BN dalam berdepan dengan gerakan pimpinan Anwar. Maka Program Transformasi itu dapat dilihat sebagai jawapan Najib kepada gagasan reformasi yang dilancarkan oleh Anwar.

Kedua-dua Tranformasi dan Reformasi mempunyai nilai-nilai tersendiri yang berbeza walaupun matlamatnya tetap untuk kebaikan rakyat dan negara. Tetapi ia turut memberi dividen politik pada pihak yang menganjurkannya.

Tentunya Transformasi dapat dilaksanakan kerana pihak penganjurnya mempunyai kuasa kerajaan pusat dan kebanyakan negeri.

Bagi Dr Mahathir yang berusia 92 tahun dan pernah menjadi ketua kepada kedua-dua Najib dan Anwar, beliau tidak menghiraukan apa yang dilakukan oleh program Transformasi atau gagasan Reformasi. Fokus beliau kelihatan hanyalah kepada soal 1MDB walaupun terdapat perkara lain yang dipersetujui beliau ketika turut menandatangani Kenyataan Bersama Pakatan Harapan serentak dengan mengisytiharkan logo mereka.

Kenyataan Bersama yang boleh dianggap sebagai janji pilihan raya Pakatan Harapan itu dapat dilihat sebagai lebih kepada usaha untuk perpaduan dan kerjasama parti-parti berkenaan. Walaupun semua parti mempunyai fahaman politik masing-masing mengenai bagaimana negara ini harus ditadbir, tetapi bagi PPBM dan PKR matlamat mereka adalah jelas. Perhatian PPBM adalah menangani isu 1MDB, dan PKR memperjuangkan supaya Anwar jadi perdana menteri.

DAP mempunyai cita-cita demokratik dan Amanah berusaha untuk melaksanakan politik Islam yang inklusif. Untuk rakyat umum, mungkin apa yang penting adalah penyelesaian masalah kehidupan seharian seperti bagaimana menghadapi kesesakan lalu lintas.

Namun bagi sebahagian anak muda dan peserta Seminar Reformis anjuran Islamic Renaissance Front (IRF) Ahad lalu itu pula, mereka ingin menggali pengalaman tokoh-tokoh lalu dalam hal melakukan pembaharuan masyarakat, iaitu melangkaui suasana politik semasa.

* Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Kumpulan Utusan.

Kos lawatan Rosmah: Menteri beri jawapan ‘sampah’, kata MP

 


Anggota Parlimen Kulai Teo Nie Ching hari ini mempertikaikan jawapan lisan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung soalannya mengenai kos lawatan program PERMATA ke London.

Malah, anggota parlimen DAP itu turut menganggap jawapan yang diberikan oleh Azalina sebagai 'jawapan sampah' kerana tidak menjawab soalan.

"Soalan saya, saya ingin tahu berapa kos lawatan ke London, butiran perjalanan dan apakah hasil lawatan Datin Seri Rosmah Mansor dan dua menteri lain ke London pada 4 hingga 10 Mei.

"Tapi bila saya terima jawapan, saya hairan dengan jawapan yang diberi Azalina.

"Dia (Azalina) langsung tak sebut berapakah jumlah yang dipersetujui oleh jemaah menteri.

“Ini contoh yang sangat teruk. Ini jawapan yang "rubbish"," kata Teo pada sidang media di Parlimen hari ini.

Dalam soalan bertulis, Teo meminta perdana menteri menyatakan kos, butiran perjalanan dan hasil lawatan penaung program PERMATA Datin Seri Rosmah Mansor ke London pada 4 hingga 10 Mei 2017 dengan diiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Azalina.

Jawapan yang diberi Azalina kepada Teo berhubung soalan itu pula ialah, kos yang terlibat dalam lawatan rasmi Rosmah ke Londonn adalah seperti mana yang dipersetujui oleh jemaah menteri melalui Memorandum Jemaah Menteri yang telah dibentangkan pada 26 April 2017 dengan menggunakan peruntukan sedia ada Jabatan Perdana Menteri.

Dalam jawapan bertulis itu juga, Azalina turut menyenaraikan lima program semasa lawatan rasmi tersebut serta empat hasil dan manfaat yang diperolehi daripada lawatan berkenaan.
 
Sehubungan itu, Teo mempersoalkan anggota parlimen Pengerang berkenaan kerana tidak memberitahu kos lawatan tetapi mampu memberi senarai manfaat semasa lawatan berkenaan.

"Kalau Azalina cukup yakin lawatan ke London memberikan hasil dan manfaat, kenapa tak boleh beritahu rakyat berapa banyak kos yang telah dibelanjakan?

"Memang semua orang tahu segala perbelanjaan perlu dilulus oleh jemaah menteri. Soalan saya hanya nak tahu kos. RM1 juta ke? RM2 juta atau setengah juta?

"Soalan mudah pun tak boleh beri jawapan," katanya.

Pada Mei lalu, Rosmah yang juga isteri perdana menteri bersama Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Azalina mengadakan lawatan ke London antaranya bertujuan untuk merasmikan Majlis Nobel Minda atau Nobelist Mindset iaitu sebuah program anjuran PERMATA Pintar dengan Royal Society of London.

Dalam lawatan itu juga Rosmah turut menyaksikan majlis menandatangani dua Surat Hasrat (LOI) iaitu antara PERMATA Pintar dan Cambridge University dan PERMATA Insan dengan Oxford Centre for Islamic Studies, University of Oxford.

PM Singapura ajak tolak tafsiran radikal Islam



Hsien Loong memberi contoh ajaran yang mengharamkan salam antara Islam dan bukan Islam di samping ucapan Krismas dan Deepavali.


Lee-Hsien-Loong-muslim


PETALING JAYA: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong semalam memberi amaran terhadap amalan yang lahir daripada pengalaman di negara lain dan tafsiran Islam yang ekstrem, dengan berkata ia akan hanya menggalakkan pandangan buruk masyarakat terhadap Islam.

Laman berita Singapura Berita Mediacorp memetik Lee yang memberi contoh amalan seperti melarang bersalaman antara Muslim dan bukan Muslim, serta mengharamkan ucapan perayaan kepada bukan Islam seperti Krismas dan Deepavali.

“Jika ia menyusup masuk ke Singapura, ia akan melemahkan keharmonian kaum kita dan membuatkan kita mudah terjejas oleh ancaman pengganasan. Ia juga akan menggalak Islamofobia dan ia tidak boleh diterima,” katanya dipetik laporan itu.

Beliau berkata masalah di negara Islam lain seperti Syria dan Iraq “bukanlah masalah kita di Singapura”.

Lee berkata disebabkan konflik di Timur Tengah dan dakyah IS, pihak berkuasa negara itu berdepan dengan penyebaran radikalisme di kalangan umat Islam tempatan.

“Kami menahan seorang (yang menjadi radikal) setiap sebulan atau dua bulan,” katanya.

Bulan lalu, Singapura menahan Syaikhah Izzah Zahrah Al-Ansari, gadis berumur 22 tahun yang dipercayai bercadang untuk ke Syria bagi menyertai IS.

Lee berkata ajaran dan tafsiran Islam yang radikal bukan sahaja tidak bertolak ansur terhadap bukan Islam, tetapi juga terhadap orang Islam.

Menurutnya, sebarang serangan keganasan oleh militan tempatan akan membawa kesan lebih buruk.
“Jika serangan pengganasan di Singapura dilancarkan sendiri oleh rakyat negara ini kesan psikologinya lebih buruk.”

Khalid: Polis ‘sekejap sahaja’ tangkap 6 baling bom ke arah polis

 
Polis menahan 6 individu ahli Geng 24 sehari selepas mereka membaling bom petrol di IPD Kuala Muda.


Khalid-Abu-Bakar_bom_ipd_600


KUALA LUMPUR: Polis menahan 6 individu yang terlibat dalam kejadian membaling bom petrol ke arah pagar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Sabtu lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis menangkap 6 individu daripada Geng 24 tersebut sehari selepas mereka membaling bom petrol.

“Kita dah tangkap 6 orang. Dia ingat dia ‘macho’ boleh baling bom petrol pada polis. Sekejap sahaja kita dah tangkap 6 orang itu.

“Mereka nak tunjuk mereka relevan sebagai ahli Geng 24. Saya nasihatkan mereka tidak akan ke mana. Hujungnya mereka akan mendarat di lokap kami,” katanya pada sidang medianya selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pengerusi Perkep dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis hari ini.

Sabtu lalu, 2 lelaki bermotosikal dipercayai ahli kongsi gelap membaling bom petrol ke arah pagar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda pada 3.30 jam pagi.

Tindakan dilakukan dipercayai berpunca rasa tidak puas hati terhadap penahanan ahli utama kumpulan kongsi gelap dalam Ops Cantas Khas, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Khalid menegaskan agar ahli kongsi gelap tidak mencabar pihak polis dengan melakukan kegiatan seperti itu.

“Tak payah tunjuk berani jadi ahli kongsi gelap dengan cuba baling bom petrol kepada pihak polis. Jangan cabar,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang masih terus memburu sindiket skim pajakan kereta di Seri Kembangan semalam, Khalid menasihati agar persatuan berkenaan mematuhi undang-undang dan tidak bertindak di luar batas.

“Saya nasihatkan semua termasuk PPIM supaya mematuhi undang-undang. Kalau kita tak ada kuasa untuk melakukan apa juga tindakan, kita janganlah buat,” katanya.

Khalid menambah, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan terhadap kedua-dua laporan polis yang dibuat oleh PPIM dan syarikat pajakan kereta itu.

“Sepertimana yang kita umumkan siasatan telah dijalankan oleh satu ‘task force’ untuk melihat kedua-dua laporan polis dari kedua-dua pihak ataupun semua pihak, jadi biarkah kita selesaikan siasatan itu dulu,” katanya.