HALAMAN SANTAI

Khamis, 13 Julai 2017

8 hakim tak dapat naik pangkat kerana lantikan Raus, Zulkefli

 
Hanya Tan Sri Azahar Mohamed yang bersara pada 26 April 2022, mungkin dinaikkan pangkat selepas persaraan Zulkefli Ahmad Makinudin.


judge-Raus-Sharif-Zulkefli-Ahmad

PETALING JAYA: Sekurang-kurangnya 8 hakim Mahkamah Persekutuan, termasuk 3 wanita hilang peluang kenaikan pangkat berikutan lanjutan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.

Lanjutan perkhidmatan Raus selama 3 tahun itu menyaksikan beliau akan meninggalkan pejabatnya pada 3 Ogos 2020, manakala Zulkefli pula hanya akan mengosongkan kerusinya pada 27 September 2019. Raus dan Zulkefli masing-masing dijadualkan bersara pada 3 Ogos dan 27 September ini, selepas lanjutan selama 6 bulan.

Umur bersara mandatori bagi hakim adalah 66 tahun, tetapi Yang di-Pertuan Agong boleh memberi lanjutan 6 bulan kepada mereka.

Rekod dalam laman web badan kehakiman mendedahkan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop yang mengambil alih jawatan itu pada 1 April lalu, akan bersara pada 24 Mei 2019.

Hakim Besar Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum yang berada di tangga ke-4 badan kehakiman akan bersara pada 12 Oktober 2018. Beliau memegang jawatan itu sejak 2006.

Hakim Mahkamah Persekutuan yang akan bersara tahun depan ialah Tan Sri Hasan Lah (3 Mac), Tan Sri Zainun Ali (4 April), Tan Sri Zaharah Ibrahim (16 November), Datuk Balia Yusof Wahi (25 September) dan Datuk Aziah Ali (21 Mei).

Hakim Tan Sri Ramly Ali pula akan bersara pada 23 Februari 2019.

Hanya Tan Sri Azahar Mohamed yang bersara pada 26 April 2022, mungkin dinaikkan pangkat selepas persaraan Zulkefli.

Jumaat lalu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengumumkan Yang di-Pertuan Agong meluluskan cadangan melantik Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan.

Menurutnya, ia dibuat mengikut Fasal 1A Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan, iaitu setelah menerima kelulusan Agong atas nasihat perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-raja pada Mei lalu.

Bekas peguam negara, Tan Sri Abu Talib Othman dilaporkan berkata, keputusan itu memberi gambaran hakim sedia ada di Mahkamah Persekutuan belum sedia dinaikkan pangkat.

Beliau juga mempersoalkan kenapa pelantikan itu dibuat dengan cara yang akan dipertikaikan orang ramai.

Sabtu lalu, bekas presiden Majlis Peguam, Zainur Zakaria berkata, mengekalkan Raus dan Zulkefli menghantar mesej kepada hakim lain di Mahkamah Persekutuan yang mereka tidak layak memegang jawatan mereka.

Presiden Majlis Peguam, George Varughese pula berkata, cara pelantikan itu dipersoalkan dan membayangkan wujud kekurangan calon sesuai di kalangan hakim Mahkamah Persekutuan.

“Persepsi ini akan menyebabkan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman dan kebebasannya semakin merosot dan meluas.

Tiada ulasan: