HALAMAN SANTAI

Ahad, 2 Julai 2017

Ada asasnya teguran Noh terhadap Iskandar - CASSA

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohamad Azhar
Post Pic


SHAH ALAM: Teguran Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar terhadap isu perumahan di Selangor perlu diterima secara terbuka.

Demikian menurut Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Datuk Dr Jacob George apabila mengulas pergeseran antara Noh dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad.

"Sebagai menteri kabinet dan yang bertanggungjawab ke atas hal perumahan dan kerajaan tempatan, beliau ada 'locus standii' untuk bersuara dan memberi pendapat berkenaan masalah perumahan dan masyarakat yang tinggal di sesuatu kawasan itu. Kita tak boleh kata itu politik, ini politik," ujarnya kepada Antarapos.

Pergeseran antara Noh dan Iskandar bermula apabila menteri kabinet itu mendakwa kerajaan Negeri tidak mengambil berat tentang pangsapuri-pangsapuri di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.

Dakwanya, walaupun kawasan itu dimenangi Iskandar yang juga exco kerajaan negeri, keadaan rumah di kawasan itu teruk sekali.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang turut membidas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan meminta rizab negeri yang terkumpul digunakan bagi memperbaiki keadaan perumahan negeri.

Kurang senang dengan tuduhan itu, Iskandar membalas kembali dengan mendakwa Noh sekadar untuk mencari publisiti murah sahaja.

Noh dalam responnya menasihatkan Iskandar turun sendiri ke kawasan yang menjadi pertikaian mereka.

Mengulas lanjut Jacob berkata tiada salahnya bagi Noh menegur cara pengurusan Selangor berkaitan isu perumahan memandangkan ia bukanlah kali pertama berlaku.

"Kita mahu menteri dan pemimpin kita prihatin dengan isu semasa dan tempatan. Benar beliau menteri kabinet dan lingkupnya seluruh Malaysia. Beliau sendiri mengambil berat isu di luar Selangor.

"Boleh jadi isu yang dikeluarkan Noh tidak disenangi oleh pihak mereka, memandangkan cara Noh bercakap mungkin kasar," tegasnya lagi.

Tiada ulasan: