HALAMAN SANTAI

Selasa, 18 Julai 2017

AG: Tiada apa mahu disembunyikan, saya tak takut Mahathir




Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata beliau tidak menyembunyikan sebarang bukti jenayah berhubung skandal 1MDB seperti yang didakwa oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Apa yang saya lakukan sebagai AG adalah berdasarkan fakta yang terkandung di dalam kertas siasatan.

"Tiada apa untuk disembunyikan," kata Apandi kepada Malaysiakini dalam mesej WhatsApp hari ini.

Mahathir malam semalam berkata, jika Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum akan datang, mereka akan menyoal Apandi untuk menjawab dakwaan bahawa beliau menyembunyikan bukti jenayah berhubung skandal 1MDB dengan menggunakan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Walau bagaimanapun, kata Apandi, beliau tidak gentar dengan kenyataan Mahathir yang kini adalah pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

"Saya tidak takut sesiapa, termasuk Mahathir. Saya tidak takut kepada manusia, tetapi saya takut kepada Allah," katanya.

Pada Januari tahun lalu, Apandi membersihkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung dana RM2.6 bilion yang berada di akaun bank peribadinya dan skandal SRC International.

Beliau juga telah menolak pertuduhan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat bahawa dana 1MDB telah diselewengkan.

Bagi Apandi, dana RM2.6 bilion yang berada di akaun Najib adalah sumbangan dari keluarga diraja Saudi, DOJ walau bagaimanapun mempertikaikannya.

Sebaliknya, DOJ, dalam saman sivil berkaitan MDB, mendakwa bahawa wang berkenaan berasal dari 1MDB.

Sementara itu, Najib secara konsisten menyangkal bahawa beliau menyalah-gunakan dana awam untuk keuntungan peribadi dan mendakwa bahawa pertuduhan tersebut adalah cubaan untuk menggulingkan kerajaannya.



Tiada ulasan: